Tinggalkan Umno dengan syurga rasuahnya, kata Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Walaupun diserang dari pelbagai penjuru setelah kenyataannya disalah lapor oleh sebuah agensi berita, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bertegas dengan pendiriannya bahawa Umno memperjuangkan “Islam palsu”.

 

Sambil mengajak semua pihak meninggalkan Umno dengan syurga politik wangnya, dalam pesanannya kepada para pengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, beliau yakin pengundi yang beragama Islam akan menyokong PAS yang memperjuangkan Islam yang lengkap sempurna dan bukan Islam yang diterima sebahagiannya serta ditolak sebahagiannya.

Kepada para pengundi bukan Islam pula, beliau mengajak mereka mengundi PAS untuk merintis laluan kepada sistem kerajaan yang akan “menyemak institusi kehakiman, pelaksanaan ‘rule of law’ dan perjalanan demokrasi”.

“Bagi pengundi Islam tanpa mengira bangsa, mereka tentu ingin merakamkan sokongan mereka kepada sebuah gerakan Islam yang membawa perjuangan Islam syamil yang sebenar.

“Mereka tidak sanggup memangkah parti Umno yang mengamalkan Islam dari klon sekular; agama suku dan politik suku.

“Mana boleh diasingkan iman dengan Islam dan Islam dengan politik?” kata Menteri Besar Kelantan itu.

Menurut beliau, “Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh Umno inilah yang saya namakan sebagai Islam palsu”.

Sebagaimana adanya wang palsu, rambut palsu atau kad pengenalan palsu, kata Tuan Guru, begitu jugalah dengan Islam palsu.

“Benda palsu; nampak macam sebenar tetapi ia tetap tidak asli. Bagi yang ahli, dia akan tetap tahu membezakan antara bunga hidup dengan bunga plastik.

“Dengan keadaan tidak tulin itulah timbulnya keraguan.

“Soalnya bolehkah yang diragu-ragu (syak) itu dibawa untuk mendapatkan anugerah syurga Allah di akhirat kelak?

“Saya bercakap dari sudut aqidah dan kaedah. Jika buat begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudhu�, amalan sembahyang tidak diterima. Jika tolak Islam dari Allah, maka dengan apa nak digantikan?

“Ini bukan soal saya mendahului Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan. Ini soal kaedah,” beliau menjelaskan.

Beliau percaya, para pengundi Islam di DUN Permatang Pasir boleh dengan mudah memahami persoalan ini.

Kepada para pengundi bukan Islam pula, beliau mengajak mereka mengundi PAS untuk merintis laluan baru agar Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar melalui sistem kerajaan yang akan “menyemak institusi kehakiman, pelaksanaan �rule of law� dan perjalanan demokrasi”.

Tuan Guru mengajak semua pihak mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh Pakatan rakyat (PR) dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno Barisan Nasional (BN) jika berlaku lagi pilihan raya kecil.

“Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya.

“Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno/BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang.

“Jangan tertipu lagi untuk percayakan slogan-slogan baru yang dikitar semula. Dulu Islam Hadhari. Kini 1Malaysia pula. Esok entah apa pulalah.

“Umno ni nak jadi apa, entahlah. Nak kata udang pun tidak. Ikan pun bukan. Ingatlah pesan pepatah Melayu: Jika sudah kepalanya ular, mustahil ekornya belut,” kata beliau.

Beliau menyeru semua pihak menggunakan kesempatan membuang undi pada kali ini dengan penuh cermat.

“Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan itu pernah membawa kemenangan yang besar?

“Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadhan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekaligus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidak adilan,” katanya.

Tuan Guru sebelum disalah lapor oleh sebuah agensi berita yang mendakwa beliau berkata, anggota Umno tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Bagaimanapun, setelah di desak, media pro-BN menyiarkan transkripsi kenyataannya dan terbukti kenyataan beliau tidak dilaporkan dengan betul.

Dalam transkripsi kenyataannya, beliau berkata:

“Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh Umno ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa Umno.

“Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur. Bertengkar atas muka tak habis-habis dengan Melayu sendiri boleh bertengkar.” _ Abdul Aziz Mustafa

Sumber Harakahdaily

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s