Di sini, Dinar dan Dirham: Di sana, dengki dan dendam

Kadang-kadang tingkah laku pemimpin Umno ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan, itulah yang akan dibangkang habis-habisan oleh Umno. Sebut saja apa jua perkara yang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin Umno ‘menunjuk cerdik’ memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka.

Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai ‘budaya pemalas’, akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

Terbaru apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah Emas Dinar dan Perak Dirham (D&D) 12 Ogos lepas, maka bersatulah pemimpin Umno untuk menghentam langkah ini. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam kerajaan Kelantan.

Saya ingin nyatakan, apakah salahnya Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika Umno BN enggan memulakan, jangan pula menidakkan usaha pihak lain. Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Haji Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan oleh Kelantan bukanlah matawang, ia hanyalah  pengenalan kepada sistem barter trade.

Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan. Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak. Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan billion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti!

Seperti yang saya nyatakan di dalam ucapan perasmian pelancaran 12 Ogos lepas, sistem wang kertas diperkenalkan oleh penjajah untuk menguasai ekonomi umat Islam. Hasilnya, seluruh manusia di dunia diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untuk mempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas.

Kertas tersebut hakikatnya langsung tidak mempunyai sandaran yang didakwa. Jika kita menaiki bas atau keretapi contohnya, kita membayar dan diberikan resit. Resit tersebut ialah tanda kita telah membayar kepada perkhidmatan yang diberikan, ertinya resit tersebut tidak mempunyai nilai apa-apa kecuali setelah bayaran diberikan. Hari ini, bank mengeluarkan wang kertas tanpa sebarang sandaran nilai. Kononnya ia disandarkan pada nilaian emas, hakikatnya ia disandarkan kepada keadaan ekonomi semasa sesebuah negara. Ini sebenarnya lebih teruk dari resit bas dan keretapi tadi.

Realitinya matawang tidak berharga  melainkan  jika Kerajaan  memberi  nilai kepadanya. Wang  kertas  RM1 bukan  bernilai RM1 daripada segi harga kertasnya. Ia  bernilai  RM1 kerana itulah nilai yang ditetapkan oleh  Kerajaan.  Jika Kerajaan mencetak angka lima atau  sepuluh maka nilai kertasnya  tidak naik kepada RM5 atau RM10. Hanya  pengakuan dan jaminan Kerajaan yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan. Itulah hakikatnya wang kertas.

Tertarik saya apabila seorang Timbalan Menteri yang baru-baru ini heboh telah meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa Dinar Emas dan Perak Dirham ini boleh menyebabkan kerugian. Terlintas di benak saya, jika begini  taraf pemikiran seorang timbalan menteri, apa pula jenis pemikiran yang ingin diasuh kepada rakyat.

Emas merupakan komoditi yang paling stabil harganya. Ia akan terus meningkat jika dibandingkan dengan wang ringgit. Bukankah Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu? Mari kita semak harganya. Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1,082. Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104. Ertinya jika seseorang melabur sebanyak RM108,200 dengan membeli seratus keping Kijang Emas pada tahun 2001, kini ia boleh dijual dengan harga RM410,400. Keuntungan 400% dalam masa 9 tahun! Butiran ini boleh dilayari di (http://www.bnm.gov.my/). Ini bukti harga emas tidak akan turun sehingga merugikan. Paling tidak pun, lebih baik daripada sebuah syarikat penerbangan yang rugi RM535 juta pada suku kedua tahun ini!

Di dalam al-Quran sendiri menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur selama 309 tahun di dalam sebuah gua. Apabila bangkit mereka menggunakan duit perak yang ada di tangan mereka untuk membeli makanan. Ertinya, selepas 309 tahun, duit itu masih elok dan mempunyai nilai seperti sedia kala.

Justeru, saya nasihatkan kepada pihak-pihak tertentu, janganlah terburu-buru menidakkan usaha-usaha kerajan Kelantan. Tidak cukup tenaga di Malaysia, diambil pula tulisan kolumnis yang beraliran orientalis untuk menghentam kami. Sehingga langkah kami mengasingkan kaunter bayaran di pasar raya disifatkan sebagai ’aparteid agama’. Bagaimana pula langkah Keretapi Tanah Melayu menyediakan gerabak khas bagi wanita? Itu aparteid apa namanya?

Saya ingin bertanya, apa kurangnya kami di Kelantan dengan anda yang berada di Pusat. Jika anda mempunyai pakar ekonomi, kami pun mempunyai pakar ekonomi. Takdirnya bertukar teraju di Putrajaya nanti, kami juga mampu mentadbir bahkan lebih baik dari anda, Insya-Allah. Janganlah dibiarkan hasad dengki menguasai menyebabkan ternafinya segala kebaikan yang kami lakukan. Jangan pula kami di sini melancarkan Dinar dan Dirham (D&D), anda di sana melancarkan dengki dan dendam!

Akhir kata, jika datanglah bertadarus dengan kami di Kelantan di bulan Ramadan ini. Salah satu ayat yang menjadi menjadi bacaan kami sekarang ialah ayat 63 dari Surah al-Furqan yang bermaksud: ”Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.”

Nik Abdul Aziz Nik Mat   – Harakahdaily

Advertisements

Bukan nak jaga Melayu, tapi jaga Umno

BACHOK, 8 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dakwaan kononnya Umno sebagai parti pembela Melayu hanya retorik setelah merasai semakin terhimpit.

“Parti sekular jaga Malaysia ni hampir 60 tahun dah. Akhirnya bila dia tua sekarang ini dia minta tolong kita pula jaga dia. Dia baik sangat nak jaga perpaduan Melayu, bukan nak jaga Melayu, tapi nak jaga Umno.

“Jaga Melayu lain, jaga Umno lain. Kelantan diduduki oleh orang Melayu, tapi apa dia buat? Dia buat JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) di Kelantan sebagai tempat tadah duit daripada pusat.

“Kalu betul dia nak jaga Melayu dia salur terus ke kerajaan. Kerajaan PAS Kelantan ini pun orang Melayu, bukan orang lain, bukan Korea, bukan Yahudi atau sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Menteri Besar itu mendakwa tuduhan kerajaan Islam tidak mampu membawa kemajuan sengaja dicetuskan oleh golongan sekular bagi mengancam kepada proses pengembangan Islam secara keseluruhan.

Beliau berkata, bahkan itulah juga antara punca menyebabkan orang bukan Islam terasa jauh dengan Islam.

“Apa tidaknya, apabila mereka cuba hendak rapat dengan Islam, dikatakan Islam mundur, Islam tidak dapat membawa kemajuan.

“Benda-benda begini telah menimbulkan masalah dalam masyarakat hasil daripada ajaran sesat golongan sekular terhadap Islam,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan tidak berminat untuk melayan mana-mana individu mencabarnya untuk berdebat dalam sesuatu isu khususnya tentang Islam kecuali ia membabitkan pemimpin dari kalangan Umno.

“Saya lawan umno. Saya tak lawan individu tertentu. Bukan kerja saya lawan budak-budak kampung,” katanya semasa ditemui selepas menyempurnakan akad nikah anak Setiausaha PAS kawasan, Huzaimi Che Hussien, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan pengasas pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah yang mencabar berdebat sekiranya apa yang didakwanya adalah tidak benar.

Abdullah kerap mengkritik Mursyidul Am PAS itu kerana berpendapat telah mengeluarkan kenyataan yang seringkali menyebabkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam.

Mengulas lanjut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengibaratkan tindakan Abdullah tidak ubah seperti individu yang hanya “menumpang semangkuk” dan tidak perlu dilayan.

“Ikut dialah, saya nak debat dengan Umno. Umno lawan saya.

“Ibarat kalau kata Joe Frazier nak lawan Muhammad Ali, dia (Muhammad Ali) akan terima, tapi kalau Muhammad Ali nak lawan orang macam saya dia akan kata menang awaklah.

“Begitulah juga saya, ambil ke dialah (Abdullah). Dia hanya nak tumpang semangkuk,” katanya.

Tuan guru Mursyidul Am menyempurnakan akad nikah anak kedua Huzaimi di Masjid Muhammadi Bachok yang turut dihadiri Yang Dipertua PAS kawasan, Datuk Omar Mohamed.

Hafiz Irwan – Harakahdaily

Bertasbih tapi menghalalkan yang haram

Di antara perkara yang sangat-sangat menggembirakan saya ialah apabila pimpinan PAS yang tidak mempunyai latar pendidikan agama yang tinggi (termasuk yang tidak berpendidikan formal dalam bidang agama) telah menunjukkan kemampuan dalam menghurai sesuatu dalam konteks Islam dengan begitu baik. Yakin sungguh di hati kecil saya, inilah kesan daripada perjuangan PAS yang dipimpin golongan ulama’.

Hasilnya, golongan dilihat telah mampu memahami dan menghuraikan aspek kehidupan dari perspektif Islam dengan jelas. Ia merupakan hasil didikan dan tarbiyah yang diperolehi di dalam PAS. Berbeza dengan Umno yang dilihat membekukan golongan ulama’. Jika tidak, mana mungkin sesuatu yang haram seperti judi, boleh dilesenkan sebagai halal.

Saya menyentuh begini kerana ada peristiwa menarik hati saya sewaktu penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan tempoh hari (9 Rejab 1431/22 Jun 2010). Ia adalah sidang kali ke-2 bagi tempoh penggal ketiga Dun Kelantan yang Ke- 12.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PAS menghuraikan falsafah solat begitu tepat sekali, walaupun tidak mendapat pendidikan agama yang tinggi secara formal. Jika boleh saya nukilkan kembali bagaimana YB Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) menyebut betapa peliknya sesetengah Muslim yang sewaktu rukuk dan sujudnya menyebut tasbih meninggikan Allah SWT, tetapi di dalam masa yang sama menyokong judi dihalalkan.

Tidakkah terdetik di hati kecil mereka betapa salahnya apa yang mereka lakukan. Dahi sujud kepada Allah membisik tasbih, memuji Allah SWT dengan mengaku bahawa Allah SWT yang Maha Tinggi, tetapi di luar solat mengangkat tangan bersetuju dengan judi. Tidakkah terdetik rasa malu kepada Allah SWT?

Saya ingin menambah dalam coretan ringkas ini. Sebenarnya Kerajaan Umno/BN melesenkan judi untuk meraih pendapatan yang lebih. Dalam erti kata lain untuk mendapat kemakmuran. Sedar atau tidak, persoalan kemakmuran telah disebut jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Jika saya diberi peluang berkuliah kepada pimpinan Umno, ingin sekali saya membaca ayat daripada Surah Al A’raf, ayat 96 yang bermaksud:

…Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya…

Sudikah kiranya pemimpin Umno yang beragama Islam mengambil sedetik dua masa untuk menelaah ayat ini? Jika sudi, perhatikanlah bagaimana janji Allah untuk melimpahkan segala macam berkat hanya apabila manusia beriman dan bertakwa.

Kemakmuran ialah satu keberkatan. Kemakmuran bukannlah bermakna kemewahan semata-mata. Hidup kaya raya tetapi hati susah bukan makmur namanya. Negara mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat jelata begitu teruk. Itu bukan makmur namanya. Sedangkan kami di Kelantan percaya bahawa keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT, dan atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan.

Sayangnya, pimpinan Umno pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran di atas. Barangkali, jika masih ada golongan ulama’ yang berminat mahu berada di dalam kubang Umno, saya hanya mampu untuk bersimpati.

Nik Abdul Aziz Nik Mat – Harakahdaily

PRK Hulu Selangor – Satu Perspektif Perjuangan

Sebagaimana kita maklum, keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April lalu telah berpihak kepada Barisan Nasional. Sementara Pakatan Rakyat pula berjaya mempertahan undi yang diperolehi pada 2008 lalu. Sekadar ingatan, pada pilihan raya 2008 Pakatan Rakyat mendapat 23,177 undi dan pilihan raya kecil ini mendapat 23,272 undi. Bermakna jumlah undi Pakatan Rakyat tidak berkurang malah bertambah 95 undi.

Berdasarkan pilihan raya kecil ini, kenapa keputusannya jadi begitu? Sudah tentu di pihak Pakatan Rakyat ada kelemahannya menyebabkan tidak mencapai undi majoriti. Sebaliknya, pihak Barisan Nasional pasti ada kekuatannya menyebabkan mereka menang dan mencapai undi majoriti.

Atas dua nilai itu, segala kelemahan yang ada di sebelah Pakatan Rakyat, maka kita hendaklah sedia memperbaiki dan mengambilnya sebagai pengalaman. Paling penting untuk digunakan bagi mempersiapkan pasukan lawan menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Begitu juga, segala kekuatan yang ada di pihak Barisan Nasional hendaklah dijadikan asas kajian dan disesuaikan dengan keupayaan Pakatan Rakyat. Malah harus jadikan ikutan demi memantapkan jentera pilihan raya untuk berdepan dengan Barisan Nasional nanti.

Pengalaman Pengkalan Pasir

Ukuran pilihan raya kecil Hulu Selangor mungkin sesuai dibandingkan dengan pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada Disember 2005. Keputusannya sama, iaitu PAS telah kalah sebanyak 134 undi. Namun yang penting ialah pengajaran diperolehi daripada kekalahan itu telah mendorong kepada gerak kerja mempersiapkan jentera, terutama pendaftaran pemilih dan program cakna rakyat.

Hasilnya pada pilihan raya umum 2008, PAS kembali meraih kemenangan besar mencecah majoriti lebih 2,348 undi. Wajarlah pihak Pakatan Rakyat di Selangor membina kembali imej kalah itu kepada matlamat kemenangan.

Terlodeh kekotoran Umno

Kempen kotor Barisan Nasional memburuk-burukkan Zaid adalah gambaran strategi kempen bebal pihak Barisan Nasional yang akhirnya memabukkan pemimpin Umno/Barisan Nasional sendiri denga isu minum arak. Sebagaimana didedahkan oleh rakan-rakan kita dari KeADILan yang pernah ’tidur sebantal’ dengan pemimpin itu, hanya Tun Abdullah Ahamad Badawi (Pak Lah) sahaja yang dikatakan tidak terlibat dengan gaya hidup yang memabukkan itu. Pak Lah yang diketahui tidak minum arak itu pun turut dilodehkan sendiri oleh Umno. Sedangkan minum arak itu adalah ummul kabir (ibu bagi segala dosa besar). Semuanya, sekaligus mendedahkan sebahagian besar perangai pemimpin mereka, dan ini mencerminkan pegangan longgar Islam pemimpin Umno yang boleh dipanggil Islam Umno.

 Atas pendedahan ini, sukacita dinyatakan sikap PAS yang tidak bersetuju untuk berbaik dengan Umno amatlah tepat.

Perjuangan Islam sesuai bersama Pakatan Rakyat

Sesungguhnya, pendekatan kempen Pakatan Rakyat telah memberi ruang kepada PAS mendedahkan Islam. Ini kerana rakan-rakan parti Pakatan Rakyat adalah parti yang memperjuangkan bangsa dan tidak berasaskan Islam. Malah, parti-parti rakan Pakatan Rakyat dilihat sama dengan perjuangan parti-parti politik di negara-negara Eropah yang jelas tidak memperjuangkan Islam.

Hakikat parti yang tidak memperjuangkan Islam ialah parti tidak akan membawa perjuangan ke arah mentakwakan Allah. Sedangkan perjuangan Islam adalah bermatlamat membawa anggotanya bertakwa dari segi akidah, ekonomi, muamalat, munakahat, perundangan dan bertakwa dalam serba-serbi kehidupan.

Oleh sebab itu, bila manusia tidak didedahkan dengan Islam melalui aktiviti parti atau program kerajaan, bagaimana kita nak bawa manusia itu mengenali diri dan mengenal tuhan? Jauh sama sekali bagi manusia untuk memahami asas-asas martabat diri di dunia mahupun di akhirat. Kepada rakan Pakatan Rakyat, terimalah pendekatan Islam yang dibawa PAS ini sebagai isi perjuangan yang boleh melengkapkan keharmonian masyarakat berteraskan agama.

Tazkirah kiamat

Sebenarnya rangkaian perjuangan politik Islam hendaklah dikaitkan dengan dunia dan akhirat. Merujuk firman Allah SWT (al-Waqiah 56:3) bermaksud, “Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar) dan meninggikan (golongan yang taat).” Justeru itu, setiap orang harus ingat bahawa Allah berkuasa penuh di akhirat nanti. Maka Allah akan merendahkan pangkat dan kedudukan orang-orang yang didapati ingkar terhadap perintah-Nya. Sebaliknya Allah akan meninggikan pula orang yang taat kepada Allah di akhirat kelak. Sehubungannya, tanggungjawab parti yang memperjuangkan Islam hendaklah memupuk kefahaman kepada masyarakat agar menerima kebenaran Islam dan menerimanya sebagai satu sistem hidup yang menyeluruh di dunia sehinggalah ke akhirat.

Begitu pula, firman Allah SAWT (al-Hasyri 59:19) bermaksud, “dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka).”

Natijah perjuangan yang berlandaskan nafsu tanpa dikukuhkan dengan akal akidah Islam pasti tidak menjadi amalan yang boleh menyelamatkan kita di akhirat kelak. Malah, Allah SWT mengecapkan para pejuang nafsu itu sebagai puak fasik dan penentang Allah yang tegar.

Sehubungan itu, peringatan penting untuk para pejuang parti politik sekalian, hendaklah kita memastikan perjuangan yang didukung itu boleh mengingati kita kepada Allah sepanjang masa. Janganlah jadi seperti sesetengah pejuang parti yang langsung tidak ingin menyentuh aspek agama dalam program mereka. Maka janganlah tiru perjuangan orang-orang yang lupa diri dan melupakan Allah.

Ingatlah, kita akan menerima bala daripada Allah apabila kita lupa diri, tak ingat dosa-pahala dan tidak langsung mengingati Allah. Sebenarnya, sifat lupa diri dan melupakan Allah termasuk dalam sifat orang-orang yang fasik. Janganlah semata-mata kita berjuang dan berpolitik menyebabkan kita tergolong ke lembah kefasikan. Semoga Allah menyelamatkan umat Islam daripada karenah perjuangan yang fasik.

Wassalam.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,

Mursyidul Am PAS
merangkap Menteri Besar Kelantan.

Sumber 26ramd.blogspot

APA2PUN KALAU TAK IKUT PERATURAN AKAN JADI LINTANG PUKANG…

Tak caya tanyalah Musa Hassan. Tak caya tanyalah Ghani Patail. Tak caya tanyalah Che Det…. Bukankah negara ni lintang pukang sebab dia orang semua. Habis dilanggarnya Perlembagaan Negara. Perlembagaan Islam jangan ceritalah…

Dun Perak kecoh kerana tidak ikut peraturan – Nik Aziz
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 3 April: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak tidak akan menjadi kecoh sekiranya anggota dewan khususnya mematuhi perlembagaan negeri yang sedia ada, namun yang paling utama ialah mematuhi perlembagaan diselaraskan dengan Al-Quran.

Serentak dengan itu, beliau yang juga Menteri Besar mempertikaikan ahli Dewan Negeri yang ‘dibawa masuk’ (menjadi anggota Dewan) melalui mahkamah, namun beliau akur bahawa perjalanan Dewan Negeri termasuk di Perak perlu berdasarkan peraturan.

“Dalam dewan ada peraturan, dan menjadi peraturan dewan (bahawa) mereka yang menganggotai dewan itu mesti wakil rakyat.

“Dan kalau nak jadi wakil rakyat mesti melalui undi (malalui proses demokrasi), itulah peraturannya. Tetapi sekiranya (ahli yang menjadi anggota Dewan itu) sebahagiannya melalui undi, dan sebahagiannya pula melalui tok hakim (mahkamah), mana boleh demikian,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang disifatkan sesetengah pihak sebagai dalam ‘zoo’ sedangkan padanya termasuk di negeri Perak, ada peraturannya.

Beliau mendakwa kekecohan yang berlaku dalam dewan itu di mana golongan yang cerdik yang tidak boleh tunduk kepada perbuatan zalim, manakala mereka yang satu pihak lagi merasakan dizalimi, mereka melawan.

“Itu tanda mereka cerdik, tetapi kalau dikhianati namun mereka buat senyap saja itu tanda tak cerdik. Bagaimana pun, perbalahan itu mesti ada punca, takkan sebelah A lawan B dengan tidak ada sebab, tidak begitu. Mesti B buat masalah pada A dan A kena lawan atau pun A buat masalah pada B dan B kena lawan.

“Islam pun mengajar demikian. Demokrasi pun ajar, jadi jangan nampak benda kekecohan dalam Dewan lalu diburukkan lagi keadaan. Mesti ada sebab, kita kena tengok kepada sebab, kekecohan itu kerana apa termasuk dalam Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya.

Beliau mendakwa, kekecohan itu disebabkan rakyat yang mengundi memilih calon A ke dalam dewan, namun orang lain pula membawa masuk orang lain melalui mahkamah.

“Mana boleh, sepatutnya memberi peluang kepada rakyat. Ini kerana membawa masuk wakil dalam dewan pun rakyat, hendak membawa masuk calon lain pun terlebih dahulu mesti tanya rakyat.

“Itu yang kita sebut beri peluang kepada pilihanraya semula, ini bendanya. Orang bawa masuk wakil rakyat melalui dewan, kita (pihak tertentu) mengubahnya,” katanya.

Mursyiyul Am menasihatkan bahawa semua perkara hendaklah bertindak dengan betul mengikut peraturan.

“Dari segi agama mestilah mengikut Islam. Kalau tak mahu agama, ikutlah perlembagaan, tetapi perlembagaan itu setakat di dunia sahaja. Apabila masuk kubur (mati) tidak berguna lagi.

“Oleh sebab itu kita di Kelantan mempastikan bahawa proses perlaksanaan perlembgaan selaras dengan Quran, dengan itu dalam kubur nanti (di akhirat) kita selamat , dan atas dunia pun kita jadi selamat, insya Allah,” katanya.

Sumber Kopitiam Bang Nan

Bantu saya jayakan misi bersama Pakatan Rakyat – Nik Aziz

KOTA BHARU, 29 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan pertamanya selepas dipilih semula sebagai Mursyidul Am meminta semua pihak dalam PAS agar membantu beliau bagi menjayakan misi parti bersama dengan Pakatan Rakyat.

“Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat,” kata beliau dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada media sekejap tadi.

Kenyataan ini dibuat beliau selepas dipilih sekali lagi sebagai Mursyidul Am dalam mesyuarat kedua Majlis Syura Ulamak PAS pagi tadi. Turut dipilih semula adalah Datuk Dr Haron Din sebagai timbalannya.

Dalam kenyataan itu beliau berkata, “menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti.”

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:-

 

KENYATAAN RASMI
YAB TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN
PERLANTIKAN SEMULA SEBAGAI AL-MURSYIDUL AM PAS

• Saya telah dimaklumkan mengenai perlantikan semula saya sebagai Al-Mursyidul Am bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk sesi 2010-2015 sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat kedua Majlis Syura pada hari ini, jam 10 pagi pada hari ini, 29 Mac 2010.

• Sukacita saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat di atas kepercayaaan diberikan kepada saya bagi memikul amanah yang berat ini. Ia juga adalah satu cabaran bagi saya untuk terus memberikan khidmat sebagai Al-Mursyidul Am menurut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS.

• Namun, saya anggapkan ia sebagai ketentuan Allah Subhanahu wataala kerana kemampuan saya untuk menjalankan tugas ini amat bergantung kepada masa dan keupayaan serta keadaan kesihatan saya. Bahkan pada pagi ini pun, saya baru saja menghadiri sesi pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

• Seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, bahawa saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima pelantikan ini sekiranya Majlis Syura berpandangan untuk terus memberi kepercayaan kepada saya. Saya sifatkan itu adalah keputusan ‘syura’ yang bakal membantu saya memikul amanah ini. Lebih-lebih lagi di dalam mempersiapkan upaya parti menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 nanti.

• Menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti.

• Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat.

Semoga kerjasama dan husnul-zhon (sangka baik)dari semua kepimpinan, saya yakin PAS akan terus menjadi parti yang perkasa dan Insya-Allah PAS di Kelantan bersama-sama PAS di seluruh Negara akan terus utuh bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam mendepani cabaran politik baru di Malaysia hari ini.

Sekian, wassalam.

TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 29 Mac 2010

Sumber KedahLanie

HUJAN TURUN SEBAIK NIK AZIZ KETUAI SOLAT SUNAT ISTISQA

KOTA BARU, 12 Mac – Solat sunat Istisqa’ yang diadakan memohon hujan pagi ini bukan sahaja menakjubkan 2,000 jemaah yang hadir bahkan rakyat negeri ini apabila kerahmatannya langsung terbukti sebaik sahaja solat dimulakan,

Hujan pun mula turun ketika bacaan surah al-Fatihah.

Solat yang dimulakan pada pukul 8.30 pagi ini itu diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia diadakan di Padang Perdana bersebelahan jalan berhadapan dengan Stadium Sultan Mohamad IV, dekat sini.

Hadir sama seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk exco, Adun dan Ahli Parlimen dari parti Pakatan Rakyat.

Nik Aziz yang ditemui selepas solat sunat tersebut melahirkan rasa syukur tidak terhingganya kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT.

“Syukur, kita sembahyang Istisqa’ hari ini mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah sembahyang itu turun hujan.

“Saya sendiri telah didedah oleh Allah dengan air hujan yang pertama semasa sembahyang hari ini sangat-sangat besarlah harapan, mudah-mudahan Allah beri pada kita bahagia di dunia dan akhirat.

“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Ayat-ayat Quran banyak menyebut bala yang menimpa manusia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Oleh yang demikian kita kena pakat-pakat (sama-sama) tegur, nasihat, tak kiralah dalam apa jua pun keadaan termasuk politik, ekonomi kerana ini cara Islam, bukan cara demokrasi, bukan cara komunis dan juga sosialis, tapi cara Islam” katanya.

Menjawab soalan sama ada solat hajat dan solat istisqa yang diadakan pagi ini sebagai tradisi negeri Kelantan, beliau berkata “wallahualam. Yang pastinya nabi Muhammad SAW sendiri sembahyang istisqa’ setiap kali berlakunya kemarau”.

Sumber Manjaddawajada.blogspot