Organisasi

” Hendaklah ada di kalangan kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada yang salah (buruk dan keji).

Al Imran – 104

TUJUAN PERJUANGAN PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ditubuhkan bertujuan untuk memperjuangkan Islam. Dasarnya ialah Islam. Hukum tertinggi yang menjadi pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijma Ulama dan Qias. Tujuan PAS ialah ;

1. Memperjuang wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

2. Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaaan dan kedaulatan negara.

PILIHANRAYA : WASILAH PERJUANGAN PAS

Berpaksikan dasar dan tujuan perjuangan PAS, ia menjelaskan betapa perlunya gerakan politik dan dakwah ke arah mewujudkan masyarakat dan pemerintahan dalam negara ini berdasarkan nilai-nilai hidup Islam yang diredhai oleh Allah SWT.

Justeru itu, medan pilihanraya adalah saluran bagi PAS mencapai tujuan berasaskan pendekatan aman (al-silmi). Kemenangan dalam pilihanraya memberi peluang untuk menyampaikan isi kandungan perjuangan kepada masyarakat dan melaksanakan tuntutan Islam. Pemilihan kaedah “Muwajahah Silmiyyah” adalah suatu strategi yang realistik yang diambil oleh PAS sejak menyertai pilihanraya umum pertama pada tahun 1955.

PENUBUHAN DAN PRESTASI PENYERTAAN PAS LABUAN DALAM PILIHANRAYA

PAS Wilayah Persekutuan Labuan secara rasminya ditubuhkan pada akhir 1998 diatas kerjasama dan komitmen 12 orang ahli penaja yang terdiri daripada rakyat tempatan dan diluluskan pendaftarannya pada bulan Jun 1999.

Tuan Haji Asbullah Mohamad Salleh Pilihanraya umum 1999, Tuan Haji Asbullah Mohamad Salleh (gambar) dipilih bertanding mewakili PAS Wilayah Persekutuan Labuan bertanding satu lawan satu melawan BN. Pilihanraya “sulong” PAS ini telah berjaya mendapat 1318 undi dan cukup untuk menyakinkan PAS bahawa perjuangan Islam dipulau ini mendapat sokongan rakyat tempatan jika persediaan, penerangan dan komitmen dipertingkatkan lagi. Ini terbukti apabila satu peningkatan yang tinggi dikeputusan pilihanraya umum 2004, PAS yang diwakili saudara Matusin Abdul Rahman telah berjaya memperolehi 3186 undi.

 Dengan kerjasama dan bantuan daripada PAS Wilayah Persekutuan dan PAS Pusat, Insya Allah PAS Wilayah Persekutuan Labuan akan terus kehadapan.

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesunggohnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan ( iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

An Nisa – 104