KENYATAAN AKHBAR PIMPINAN PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat sedar wujudnya satu muslihat politik oleh pimpinan Umno-BN untuk mengapikan sentimen perkauman sempit dan agama bertujuan memecahbelahkan keharmonian masyarakat. Politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pimpinan Umno-BN kerana mereka berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka. Demi mencapai cita-cita politik tersebut pelbagai jentera kerajaan seperti BTN dan media seumpama Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat.

Berhadapan serangan bertali arus itu, Pakatan Rakyat tetap beriltizam untuk melaksanakan Perubahan demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya. Kita beriltizam untuk memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat dapat diperteguh serta politik perkauman sempit akan sirna dari negara ini.

Pakatan Rakyat menghormati perjuangan parti masing-masing dalam Permuafakatan Pakatan Rakyat. Permuafakatan ini sememangnya berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun disepakati.

Dasar Pakatan Rakyat menyatakan:
“Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama.”

Kita akui sememangnya terdapat perbezaan di antara komponen Pakatan Rakyat, walaupun begitu kita tuntas menggalakkan perbincangan dan bersikap terbuka. Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan politik dalaman BN yang mana komponennya sering bertelagah dan bersikap menyembunyikan segala permasalahan.

Pakatan Rakyat tidak mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan kemungkaran dan penganiayaan Umno-Barisan Nasional terhadap rakyat. Kami beriltizam untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan negara ini. Menjelang 53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara ini meninggalkan politik perkauman sempit yang seumpama barah merosak masyarakat. Pakatan Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai kembali Kemerdekaan yang berlandaskan Politik Baru yang lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan rakyat serta negara ini.

Kita percaya antara lainnya serangan ini adalah untuk menutup kegagalan kerajaan Umno-BN menguruskan khazanah negara seumpama skandal rompakan saham untuk rakyat termiskin bernilai RM 52 billion. Kita menggesa satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan hak rakyat tersebut.

YB Anwar Ibrahim
Ketua Umum PKR

YAB Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP

YB Ust Nasharuddin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS

Sumber Tukartiub blogspot

Advertisements

Pasir ka Nasir?

Nasir Bukti Umno Parti Perkauman, Dakwa Di Mahkamah

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bertegas untuk mendesak pihak Polis melakukan siasatan dan membuat pendakwaan terhadap pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar yang terang-terangan menghina kaum India dan Cina dinegara ini.

PAS sesekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan hak mana-mana kaum yang sah taraf sebagai warganegara ini. Selagi Umno, MIC dan MCA masih wujud, isu perkauman akan sentiasa menjadi bahan pertikaian.

PAS melihat tindakan Nasir ini sebagai natijah penglibatannya yang sekian lama bergeluman dengan parti perkauman Umno. Nasir perlu dibicarakan kerana jelas pandangannya itu telah menghina intitusi Perlembagaan negara ini yang menjamin hak setiap warganegara tanpa mengira kaum.

Walaupun Nasir menafikan itu pendirian Perdana Menteri, namun jelas Perdana Menteri telah gagal untuk mengajar pegawainya untuk memahami gagasan 1 Malaysia yang dicanangkannya. Jika Pegawai yang rapat dengan beliau boleh menganggap gagasan itu sebagai remeh, bagaimana rakyat mahu percaya keikhlasan Najib terhadap dasar berkenaan.

Jika apa yang Nasir lontarkan itu disebut oleh pimpinan Pakatan pasti mereka sudah dipenjarakan dengan akta ISA. PAS tetap menolak akta ISA dan akta Hasutan. PAS mahu Nasir didakwa segera di Mahkamah.

Jika para Blogger yang menghina Institusi Beraja dinegara ini bioleh dibicarakan, maka Nasir juga berhak untuk menerima tindakan yang serupa walaupun beliau sudah meletakan jawatan sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Posted by albanjari

Kerajaan BN Jimat 1.3 Bilion untuk Gula, Bazir 1 Billion untuk F1

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan dasar meringankan beban tanggungan subsidi gula yang diperkenalkan Kerajaan BN sehingga menyebabkan kenaikan harga sebanyak 20 sen. Dasar ini menunjukan bahawa Kerajaan BN cuba melepaskan tanggungjawab ekonomi mereka terhadap rakyat. Mungkin pada pandangan kerajaan 20 sen adalah nilai yang kecil bagi kenaikan sekilogram gula, tapi rakyat risau dengan naiknya harga sedemikian sudah boleh dianggap besar sebab bukan gula sahaja yang ingin dibeli setiap bulan. Banyak lagi barang pengguna lain seperti tepung, beras, minyak masak dan sebagainya yang berkemungkinan besar akan naik. Jadi kerisauan ini akan terus berlaku sebab harga gula tanpa subsidi boleh berubah, begitu juga dengan harga keperluan lain yang boleh berubah.

Dasar Kerajaan BN yang mahu mengurangkan beban subsidi memang tidak digemari rakyat, apa lagi jika dalam keadaan sekarang Kerajaan BN juga mahu perkenalkan dasar GST untuk hampir semua jenis barangan serta kenaikan cukai-cukai lain. Ini membuktikan Kerajaan BN sudah tiada wang untuk memerintah sebab telah banyak dibazirkan sebelum ini. PAS memahami kesulitan Kerajaan dalam hal ini, namun sebarang kenaikan tidaklah wajar pada masa ini kerana negara masih mampu jika dasar berjimatnya betul. Walaupun Kerajaan BN bangga mengatakan bahawa telah berjimat sebanyak RM 1.3 Bilion, namun rakyat sakit hati kerana dari penjimatan itu, Kerajaan telah bazirkan RM 1 Bilion dalam budget tahun 2010 untuk tujuan memajukan sukan F1 yang bukan melibatkan kepentingan atau faedah semua rakyat.

PAS juga jelas bahawa, pelaburan RM 1 Billion itu adalah perbelanjaan hangus yang mana hasilnya tidaklah seberapa. PAS mahu kerajaan meningkatkan intergriti dan memperbaiki budget negara agar tidak membebankan rakyat.  Kerajaan seharusnya bijak untuk mengunakan wang cukai rakyat dan tidak meminta rakyat berjimat sedang kerajaan membazir.
 

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat  .

19.01.2010

Sumber Laman M@rhaen

Keputusan Mahkamah Persekutuan, Nizar MB Perak yang sah?

28 Muharram 1431H
 

Merujuk kepada isu yang disebarkan melalui sms mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada MB Pakatan Rakyat Perak, DS Ir. Hj. Muhammad Nizar Jamaluddin, maka saya suka untuk memberi beberapa kenyataan media seperti di bawah ;-

1. Saya menafikan bahawa pihak Mahkamah Persekutuan telah mengumumkan bahawa siapakah MB Perak yang sah.

2. Namun begitu, pendengaran kes di hadapan 5 hakim pada 5hb November, 2009 telah pun lengkap dan habis bagi peguam di pihak MB Pakatan Rakyat dan MB Kudeta Perak, namun sehingga kenyataan ini dikeluarkan saya mengesahkan bahawa Ds. Nizar masih belum dipanggil ke mahkamah yang sama bagi mendengar keputusan yang telah ditentukan. Oleh itu isu dan berita angin siapakah pemenangnya tidak berbangkit.

3. Namun begitu, Pakatan Rakyat Perak mengambil sikap dan suka menghebahkan kepada umum dimana kami berpendirian bahawa besar kemungkinan keputusan adalah memihak kepada Ds. Nizar sebagai MB Perak yang sah, sehingga telah melebihi dua bulan masih tidak diumumkan oleh hakim mahkamah persekutuan. Satu tempoh yang begitu lama dan tidak munasabah yang diambil oleh hakim mahkamah persekutuan bagi menentukan siapakah MB yang sah menguatkan lagi jangkaan itu.

4. Selain itu sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Zambry, kenapakah ianya tidak diumumkan dan mengambil masa yang begitu lama untuk disahkan. Satu persoalan yang pada pandangan kami menyebabkan wajar timbul isu dan cakap-cakap yang mengatakan keputusan memihak kepada Ds. Nizar.

5. Kerana itu saya menyeru kepada seluruh penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat di Perak supaya terus mempertingkatkan usaha untuk menyusun seluruh kekuatan melalui semua jentera di semua Parti PAS, DAP dan PKR serta pada gabungan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat Parlimen bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran DUN Perak.

6. Segala langkah yang perlu bagi memastikan semua calon Pakatan Rakyat yang bertanding menang adalah keutamaan yang mesti didahulukan. Seterusnya merialisasikan hasrat Parti dan rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat kembali memegang tampuk pemerintahan di Negeri Perak yang kita cintai.

Kenyataan Media 14hb Januari, 2010

YB.Drs. Khalil Idham Lim
Sekretariat Pakatan Rakyat Perak..

Sumber Laman M@rhaen

Draf Persempadanan Semula Ke Pejabat PM, Bukti SPR Tidak Bebas

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempersoalkan kerelevenan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia yang akan mengemukakan draf persempadanan semula melalui Pejabat Perdana menteri sebelum dibawa ke Parlimen. Walaupun amalan ini sudah menjadi kebiasaan, namun dari sudut  integriti dan kebebasan SPR masih boleh dipersoalkan.
 
Perdana Menteri merupakan seorang ahli parti politik yang berkepentingan dalam urusan Pilihanraya dan turut menjadi calon setiap kali ada pilihanraya. Sebarang draf cadangan pindaan terhadap undang-undang serta peraturan SPR yang melalui pintu pejabat Perdana Menteri pastinya menimbulkan kesangsian kerana ianya boleh dipinda sesuka hati oleh Perdana menteri mengikut kepentingan partinya.Kredibiliti SPR dan Perdana Menteri sebagai pegawai eksekutif dalam Kerajaan boleh dipertikaikan kerana kepentingannya itu.
 
SPR sewajarnya menjadi badan bebas yang tubuhkan melalui Akta yang dibentangkan di Parlimen. SPR sepatutnya bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan setiap dokumen atau draf hanya perlu dilihat oleh ahli Parlimen termasuk Perdana Menteri ketika dibentangkan dalam Parlimen dan bukannya dibawa ke Mesyuarat Kabinet terlebih dahulu untuk di edit.
 
Kabinet merupakan jawatankuasa eksekutif tertinggi negara, bukannya badan perundangan yang boleh menentukan kerelevenan sesuatu pindaan. Malah Kabinet yang ada pada hari ini dilihat mempunyai kepentingan yang tinggi dalam semua isu dan perkara.
 
PAS juga berharap agar setiap Suruhanjaya yang dibentuk melalui akta Parlimen hendaklah selepas ini merujuk terus kepada Parlimen dan tidak perlu lagi mengetuk pintu kabinet kerana keputusan mewujudkan Suruhajaya adalah keputusan Parlimen bukan Kabinet. Maka, Suruhanjaya harus bertanggungjawab dan menjawab terus kepada Parlimen.
 
Ketelusan sistem Kabinet, Parlimen dan Suruhanjaya nampak kabur dinegara ini kerana tiadanya pengasingan kuasa yang jelas. Konteks pentadbiran negara menjadi begitu berkecamuk dimana, parti yang memerintah mempunyai kuasa yang begitu dominan walau apa jua jawatankuasa yang ditubuhkan kerana masih ada kuasa ditangan mereka untuk menentukan sesuatu keputusan berdasarkan kepentingan parti mereka. Parti yang memerintah juga duduk dalam kuasa Perundangan dan Eksekutif serta turut mempengaruhi perjalanan kuasa Kehakiman termasuk dalam soal menentukan Ketua Hakim Negara. Jadi tidak nampak pengasingan kuasa disitu.
 
Oleh itu, PAS menyeru agar Ahli Parlimen Malaysia membuka mata dan mengkaji isu ini bagi memastikan institusi Parlimen mendapat pengiktirafan yang sepatutnya dan Kabinet menjadi Badan Eksekutif yang hanya melaksanakan keputusan Parlimen, bukan sebagai badan yang menentukan arah tuju Parlimen mengikut telunjuk Perdana Menteri.
 
PAS tidak beriman dengan demokrasi, tetapi menganggap demokrasi sebagai alat untuk mencapai kebersamaan politik dimana jika sistemnya betul, keadilan untuk rakyat dapat ditegakkan dan penindasan dapat dihapuskan.
 
 
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sumber Laman M@rhaen

PAS Kesal Ugutan KDN Kepada Anwar, Jangan Guna ISA Tutup Kelemahan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) amat kesal dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengugut akan mengambil tindakan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membendung gejala serangan ke atas gereja dan menuduh UMNO sebagai dalang sebenar di dalam perkara ini.
 
Apa yang dikatakan oleh Anwar itu adalah persepsi masyarakat Malaysia pada masa ini dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewajarnya mengambil kenyataan itu sebagai satu teguran. Persepsi rakyat juga melihat bahawa Umno cuba mendalangi isu ini. Maksud mendalangi itu luas kerana segalanya berpunca dari kelemahan Umno yang meletakannya salah seorang pemimpinnya sebagai Menteri KDN, tetapi gagal memainkan peranannya. Sewajarnya KDN menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan rundingan bukannya membiarkan NGO-NGO pro-Umno menghangatkan isu ini dengan demontrasi serta pelbagai provokasi.
 
PAS menghormati tugas pihak Polis dan KDN, tetapi kelembapan KDN bertindak boleh menyebabkan isu ini mencetuskan ketegangan yang berpanjangan. Berulang kali Hishamuddin menyebut bahawa KDN sudah kenal pasti suspek, tetapi hingga hari ini tiada satu tangkapan pun dibuat. Menteri sepatutnya ‘walk the talk’ bukan ‘Talk the walk” sahaja.
 
Ugutan kali kedua tentang penggunaan ISA semalam juga mengukuhkan persepsi bahawa Menteri sedang cuba menutup kelemahannya dalam menguruskan isu ini. Bila  ada sahaja isu yang gagal ditangani, Menteri akan ugut ISA. Sikit-sikit ugut ISA, macam perangai budak tadika.
 
PAS tegas untuk menolak ISA dan mahu ianya dimansuhkan. PAS juga melihat amaran penggunaan ISA kali kedua ini menghampiri Ops Lalang kedua dimana orang-orang yang bersalah tidak dibawa ke Mahkamah, tetapi orang yang persoalkan tindakan lembap KDN pula ditahan di kamunting. Ini jelas sebagai satu strategi untuk menjadikan dilihat BN begitu dominan.
 
Dengan pengalaman yang ada, percaturan politik BN sudah dapat dibaca rakyat. Oleh itu, PAS mengingatkan KDN supaya bertindak bijak, bukannya menurut hawa nafsu politik Menteri yang mahu menyelamatkan partinya yang kini terdesak untuk memulihkan keyakinan rakyat dan mahu dilihat ‘juara rakyat’ dengan mengorbakan pimpinan Pakatan.
 
PAS berharap isu ini dapat diselesaikan melalui pendakwaan di Mahkamah dan menyeru agar semua pihak agar terus bertenang disamping mengukuhkan perpaduan serta saling bertolak ansur. Marilah kita berkongsi seruan dari Allah swt;
 
“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal…” (Al-Hujurat; 13).
 
 
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sumber Laman M@rhaen

Pakatan kutuk serangan ke atas gereja

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Pakatan Rakyat mengutuk keras tindakan pihak-pihak tertentu yang menyerang tiga gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi.

Demikian kenyataan pemimpin tertinggi Pakatan yang dikeluarkan petang ini. Kenyataan itu ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Pakatan.

KENYATAAN AKHBAR PIMPINAN TERTINGGI PAKATAN RAKYAT

8 JANUARI 2010

Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini.

Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan.

Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan.

Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.

YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum PKR

YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP


YB DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Sumber Harakahdaily