Berikan kepercayaan penuh kepada PAS- Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Seluruh rakyat negara ini diseru memberikan kepercayaan penuh kepada PAS menggantikan Umno untuk memimpin mereka dengan lebih adil.

Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Umno tidak boleh lagi diberi kepercayaan kerana mereka mengelirukan masyarakat dengan memutar-belit ajaran Islam sebenar dan menggunakan isu perkauman utuk kelangsungan politik mereka.

“Kita menyeru kepada masyarakat Islam untuk memberikan kepercayaan kepada PAS sebagai alternatif yang memimpin mereka dan mengajak masyarakat yang bukan Islam supaya tidak memgambil contoh yang buruk yang ditunjukkan oleh Umno berhubung dengan Islam,” kata Presiden PAS itu dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Keadilan PAS jelasnya boleh dilihat sendiri oleh masyarakat bukan Islam semasa pemerintahan mereka di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri Pakatan Rakyat di ketika ini, bahkan terus istiqamah dengan prinsip Islam semasa dalam kerajaan pada tahun 70-an.

Menurutnya lagi, punca kepada kecelaruan yang berlaku hari ini adalah kerana kefahaman salah yang ditunjukkan oleh Umno selama puluhan tahun berkuasa di bumi Malaysia ini.

Sejak sekian lama, Umno katanya tidak pernah puas menjadikan isu agama dan perkauman sebagai senjata ampuh mereka menarik sokongan masyarakat.

Paling teruk apabila tindakan Umno tersebut sering digambarkan kepada masyarakat khususnya Melayu sebagai menepati ajaran Islam yang sebenar.

“Mereka telah mencampur adukkan sentimen perkauman sempit dan mengaitkannya seolah-olah tindakan mereka adalah dari ajaran Islam yang sebenar,” jelasnya lagi.

Tindakan Umno itu pula jelasnya disambut dan diangkat oleh media Umno sehingga mereka cuba menggambarkan seolah-olahnya hubungan antara kaum dalam negara kita ini berada dalam tahap yang paling buruk.

Masyarakat Islam jelasnya lagi dikelirukan dari segi fahaman agama yang sebenar, manakala masyarakat bukan Islam pula diadu-domba dengan api perkauman dan ketegangan hubungan kaum.

“Saya ingin memberikan nasihat kepada pihak media yang menggunakan isu agama ini untuk menghentikan tindakan mereka, kerana sebenarnya mereka telah mengelirukan umat Islam dengan kegagalan mereka merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi sumber rujukan umat Islam sejak zaman berzaman,” katanya.

Sehubungan itu beliau juga menyeru agar umat Islam meneliti setiap maklumat yang disebarkan supaya tidak diperangkap oleh sesuatu maklumat yang salah.

PAS juga menurutnya sentiasa konsisten dengan prinsip Islam dan bersedia untuk berdepan dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan, untuk menjelaskan garispanduan yang sebenar dalam semua perkara yang berkait dengan umat Islam.

Harakahdaily

Advertisements

1:40 pengundi baru agenda politik Umno

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) cuba menjayakan agenda politik Umno untuk terus berkuasa di tanah air pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Beliau berkata demikian kerana SPR dilihat sengaja membiarkan isu nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak PRU12 lalu adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40) berpanjangan.

“Mereka sengaja tak mahu menggunakan daftar automatik. Ini lebih bersifat mahu menyelesaikan agenda politik Umno untuk terus kekal memerintah di Malaysia,” ujar beliau petang tadi selepas mesyuarat berkala Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, SPR sepatutnya boleh menangani masalah mendaftar pengundi baru di kalangan masyarakat Melayu dengan melaksanakan daftar undi secara automatik.

“Sebenarnya SPR boleh mengatasi masalah ini dengan cara yang baik, iaitu melalui daftar secara automatik,” ujar beliau.

Katanya lagi, kenyataan ‘1:40’ yang dibuat oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno itu sebenarnya langsung itu memberi kesan pada sensitiviti rakyat yang nyata menolak politik perkauman Umno.

Ini kerana, beliau berkata, rakyat tidak kira Melayu ataupun masyarakat bukan Melayu sejak tsunami politik PRU12 lalu sudah mulai menerima kuasa politik Melayu yang baru, iaitu kepemimpinan Pakatan Rakyat sebagai teras pada kuasa politik negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS serta Pakatan Rakyat mampu menggantikan Umno BN dengan sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu, termasuk para pengundi baru kelak.

“Umno sekarang dalam bimbang, mereka takut hilang kuasa dan mereka takut pengundi baik Melayu atau tidak pergi pada kuasa yang baru, iaitu Pakatan Rakyat,” tegas beliau.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu nisbah 1:40 tersebut mencerminkan kegagalan SPR dalam menguruskan urusan pilihan raya di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menyokong cadangan Abdul Hadi supaya daftar pengundi baru dibuat secara automatik.

Beliau turut mempertikai kaedah SPR dalam menyelesaikan masalah pengundi yang bermastautin di luar negara.

“Malahan, ratusan ribu rakyat Malaysia di luar negara sekarang seakan dinafikan hak untuk mengundi disebabkan masalah sulit ini,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, Pakatan Rakyat bercadang untuk menuntut semula SPR menerima cadangan mereka sebelum ini, iaitu daftar undi secara automatik.

“Ini yang akan kita tuntut dan sekiranya SPR jujur mahu memperkatakan tentang pilihan raya yang adil, telus dan demokratik, maka mereka perlu terima cadangan ini,” ujar beliau.

Bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula, selain mendakwa Pemuda Umno mendedahkan perangkaan yang palsu, beliau turut mencabar SPR untuk mendedahkan perangkaan yang sebenar berhubung isu nisbah 1:40 tersebut.

“Dari maklumat yang kita dapat, pendedahan Pemuda Umno itu saya fikir adalah tidak betul.

“Maka, kita nak cabar SPR untuk dedahkan angka yang sebenar, jumlah yang didaftar dan peratus penyusutan daftar pengundi baru mengikut bangsa,” ujar beliau.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan untuk menganjurkan konvensyen bersama peringkat kebangsaan pada Oktober ini.

Tetapi, Anwar sendiri tidak memberikan tarikh spesifik berhubung konvensyen tersebut ketika disoal oleh wartawan.

Dzulfikar Mashoor – Harakahdaily

Hubungan kerjasama PAS dengan bukan Islam berbeza dengan Umno

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan kerjasama PAS dengan orang bukan Islam adalah berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Umno dengan parti komponen dalam Barisan Nasional.

Beliau sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada muktamar PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini berkata, kerjasama PAS dengan orang bukan Islam sehingga tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong Cina (DHPP) berkata, perkara itu adalah ajaran Islam.

“Penubuhan DHPP berdasarkan Islam dan konsep kerjasama PAS dengan bukan Islam, tidak sama dengan kerjasama Umno dengan rakan-rakan mereka.

“Kerjasama kita adalah tahaluf siyasi, tapi kerjasama Umno dengan parti lain sehingga menggadai prinsip,” katanya.

Menurutnya juga, Islam mengizinkan kita membenarkan penglibatan orang bukan Islam dalam politik,” katanya lagi.

Beliau berkata, penubuhan DHPP itu juga menandakan dua tongkat Umno iaitu sokongan orang Cina dan India sudah hilang, namun orang Melayu masih menyokong Umno.

“Sekarang Alhamdulillah dua tongkat yang menjadi pergantungan Umno sudah rapuh. Cuma orang Melayu masih menyokong Umno. Nak membela orang Melayu dengan ISlam, bukan dengan Melayu. Rasulullah membela orang Arab dengan Islam, bukan dengan Arab,” katanya.

Beliau turut melahirkan kegembiraan dengan sokongan yang ditunjukkan oleh semua perwakilan terhadap penubuhan DHPP.

Sedangkan ujarnya, suatu ketika dahulu PAS pernah dicemuh tidak dapat mentadbir negara kerana Malaysia mempunyai masyarakat majmuk.

Namun katanya, hari ini PAS berjaya membuktikan keupayaan PAS menarik sokongan bukan Islam.

“Semua perwakilan menyatakan sokongan kepada penubuhan DHPP dan dapat ulasan yang baik dari pemerhati luar termasuk media. Pada tahun 50-an dan 60-an dahulu, ramai yang kata PAS tak boleh perintah negara kerana Malaysia rakyatnya majmuk,” katanya.

Hazayani Zakaria – Harakahdaily

PAS yakin ke Putrajaya

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang optimis PAS dan Pakatan Rakyat mampu menawan Putrajaya suatu hari nanti.

Beliau sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan di muktama PAS kali ke-56, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini berkata, tidak mustahil suatu hari nanti Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara melihat kepada sokongan yang biberikan oleh rakyat termasuk orang bukan Islam terhadap PR.

“Ke Putrajaya InsyaAllah, kita membawa kemenangan. Orang kata kita bermimpi, tapi kta bermimpi yang soleh,” katanya disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Beliau juga berkata, sekiranya syariat Islam benar-benar diamalkan di negara ini, segala permasalahan sosial yang melanda negara dapat diselesaikan.

“Jika benar-benar kita mengamalkan syariat Allah, insyaAllah segala permasalan sosial dan moral dapat diseesaikan,” katanya.

Beliau berkata, PAS berada dalam bahtera yang selamat bersama rakan-rakan Pakatan yang lain.

“Yakinlah, kita sekarang ini berada dalam bahtera yang selamat. Teruslah besama Pakatan rakyat untuk ke Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji mutu perbahasan seluruh perwakilan yang disifatkan sebagai matang dan menepati isu.

“Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh perwakilan yang menyampaikan perbahasan yang mutunya semakin meningkat,” katanya.

Hazayani Zakaria  – Harakahdaily

Buat Malu Negara ISLAM.. Tak ada pendirian..janji boleh jilat… terus sokong

Nuklear : PAS cadang sokong pendekatan Turki

KUALA LUMPUR, 14 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) meminta Malaysia berpendirian seperti Turki yang konsisten dalam isu penggunaan tenaga nuklear dan tidak bersikap double standard.

“Saya harap Malaysia mengambil sikap yang sama dengan Turki iaitu sikap yang konsisten dan tidak double standard, berani dan tegas supaya hak diberi kepada Iran seperti yang diberi kepada negara lain,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata, Amerika Syarikat bersikap double standard terhadap Iran apabila memohon sokongan Malaysia bagi memainkan peranan dalam pelucutan senjata nuklear yang ingin dimajukan negara itu.

Abdul Hadi dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini kesal dengan tekanan yang dibuat terhadap Iran meskipun negara itu telah membuat kenyataan terbuka bahawa mereka hanya ingin memajukan teknologi nuklear sebagai tenaga alternatif daripada sumber yang lain.

Sedangkan ujarnya, Israel yang telah mempunyai teknologi nuklear sejak sekian lama tidak dikenakan apa-apa tindakan sebaliknya bebas melakukan apa sahaja.

“Di sana berlakunya double standard dalam polisi yang dilakukan Amerika Syarikat. Ada negara yang boleh melakukan apa sahaja seperti Israel yang tidak menandatangani perjanjian mengharamkan senjata nuklear dan Israel telah mempunyai teknologi ini sejak tahun 60-an lagi.

“Sepatutnya satu tindakan yang tegas diambil terhadap Israel tapi apa yang berlaku ialah Iran yang membuat kenyataan terbuka bahawa mereka mahu memajukan teknologi nuklear untuk tenaga alternatif daripada sumber yang lain ditekan habis-habisan dan diberi amaran yang keras dan sudah dibuat keputusan untuk melakukan sekatan terhadap Iran,” ujarnya.

Perkara itu dibangkitkan sebagai menyentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyertai Presiden Barack Obama dan pemimpin dunia lain pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington hari ini.

Sidang kemuncak itu bermula selepas Washington melancarkan proses melobi yang sengit untuk beberapa hari untuk meraih sokongan dunia bagi memberi tekanan kepada Iran mengenai program senjata nuklear negara itu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut meminta Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mendesak OIC mengadakan satu sidang khas berhubung keganasan Israel terhadap Palestin yang masih lagi berterusan.

“Seterusnya, saya ingin menyentuh tentang apa yang berlaku di Palestin, tentang tindakan Israel yang mengura-ura untuk menghalau penduduk Palestin dari kampung halaman mereka dan pencerobohan terhadap Masjid Al-Aqsa yang masih lagi berleluasa.

“Malangnya media menutup perkara ini yang menyebabkan pertumpahan darah dan korban sedemikian rupa.

“Malaysia sebagai negara OIC diharapkan supaya mendesak diadakan satu sidang khas OIC berkait keganasan Israel ini,” tegasnya.

Beberapa negara yang memiliki senjata nuklear seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia, China, United Kingdom dan Perancis bersikap double standard dan hipokrit apabila bercakap soal bahaya senjata tersebut yang didakwa dimiliki oleh Iran, sedangkan dunia tahu Israel adalah negara yang sememangnya memiliki senjata nuklear.

Mengikut Dr. Avner Cohen, pengarang buku “Israel and the Bomb”, Israel dianggarkan memiliki 200 lebih peluru berpandu nuklear atau nuclear warheads.

Selain itu Israel mempunyai keupayaan mengembangkan kekuatan nuklearnya, keupayaan menyerang negara lain (striking capacity), keupayaan nuklear juga senjata nuklear, serta secara rasmi mempunyai polisi tidak mengakuinya dan juga tidak menafikannya. Stesen Nuklear Dimona Israel terletak di Padang Pasir Negev.

Israel tidak dipersoalkan oleh negara-negara lain terutamanya AS. Polisi yang telah dimeterai antara AS dan Israel pada 26 September 1969 telah membenarkan Israel membangunkan senjata nuklearnya tanpa disoal oleh AS atau oleh mana-mana negara lain.

Malah Israel adalah negara yang paling berahsia mengenai senjata nuklearnya dan ia tidak diperlukan untuk mendedahkannya kepada Badan Dunia Mengenai Tenaga Atom iaitu International Atomic Energy Agency (IAEA), namun badan itu beria-ia mengenakan siasatan paling terperinci terhadap Iran yang didakwa mempunyai keupayaan nuklear.

Lebih jelas lagi AS didapati bersikap membisu mengenai senjata nuklear Israel. Bahkan Presiden Barack Obama telah bersetuju untuk mematuhi polisi 40 tahun yang membiarkan Israel menyimpan senjata nuklear tanpa mendedahkannya kepada pemeriksaan antarabangsa,

Tiada semakan secara rasmi perjanjian mengenai polisi itu yang dikatakan dimeterai pada 1969 antara Richard Nixon dan Golda Meir, Perdana Menteri Israel ketika itu.

Dalam laporan pada 3 Oktober 2009, The Washington Times menyebut 3 sumber tanpa nama yang mengatakan Obama mengesahkan kepada Benyamin Netanyahu, PM Israel, bahawa beliau akan mengekalkan polisi ‘don’t ask, don’t tell’. Apabila Obama bercakap mengenai polisi dunia tanpa senjata nuklear ia dianggap tidak realistik untuk Israel, tetapi ia tetap disebut dengan mengatakan hal itu ditujukan hanya kepada Korea Utara dan Iran sahaja.

Sumber KedahLanie

PAS mahu Rukunegara dipinda

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (bawah, berserban) berkata pemimpin Islam gagal menangani isu penggunaan kalimah Allah sehingga menyebabkan berlakunya serangan ke atas rumah-rumah ibadat. 

 Beliau yang juga wakil PAS berkata dari segi hukum, Islam tidak melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah berkenaan.

“Apa yang penting ialah penjelasan, dialog di antara pemimpin-pemimpin agama, bukan diserahkan kepada mereka yang bebal dan menggunakan hukum akal, tidak menggunakan nas.

“Malangnya perkara ini dibawa ke mahkamah, berlakunya pembakaran gereja, berlaku pembakaran masjid, berlaku perkara negatif.

“(Ini) menunjukkan kita tidak menangani perkara ini dengan baik,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

 

  Katanya lagi, peluang itu juga seharusnya digunakan untuk berdakwah dan memberi penerangan mengenai Islam kepada golongan bukan Islam.

“Mereka guna perkataan Allah, dan sepatutnya peluang ini digunakan untuk masuk ke gelanggang mereka untuk menjelaskan.

“Saya minta supaya kerajaan meminda Rukunegara yang pertama, kepada kepercayaan kepada Allah,” tegas Hadi.

Katanya lagi, al-Quran tidak pernah menghalang penganut agama lain daripada menggunakan kalimah Allah semasa hayat Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, pendirian seperti itu boleh dilihat dalam surat yang dikirim oleh Nabi Muhammad kepada Raja Mesir yang menganut Kristian.

“Tanpa memaksa mereka menerima agama kita, kita berhujah sekiranya berlaku kekeliruan,” katanya lagi.

Jelasnya, dalam warkah berkenaan, Nabi Muhammad memberitahu Raja Mesir bahawa umat manusia tidak boleh menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sama ada di kalangan pemimpin mahupun di kalangan paderi.

Katanya, Nabi Muhammad juga tidak menghalang penganut Kristian itu menggunakan kalimah Allah.

“Di sinilah mengapa Islam membenarkan penganutnya makan sembelihan daripada penganut agama lain (ahli kitab).

“Sembelihan mereka halal kerana mereka menyembelih dengan menyebut nama Allah.

“Ini menunjukkan keizinan itu berlaku,” kata Abdul Hadi lagi.

 

   Ketika ditemui media selepas itu, Abdul Hadi berkata beliau turut mencadangkan supaya perkara ‘kepercayaan kepada tuhan’ dalam Rukunegara diubah dengan ‘kepercayaan kepada Allah.’

Jelasnya perkara tersebut boleh dilakukan memandangkan masyarakat bukan Islam sudah boleh menerima Islam sebagai sebahagian daripada agama mereka.
“Kerajaan perlu terima positif dalam tangani isu ini, bukan negatif. Penganut agama Kristian dan agama lain sudah sedar Allah diberi nama unggul, perkataan lain yang mereka guna sebelum ini, God, Lord dan lain-lain tidak tepat,” katanya.
“Ini menunjukkan mereka sudah terima Allah sebagaimana mereka terima Islam sebagai agama. (Jadi perlu) ubah Rukunegara kepada lebih pro-aktif dalam masa sama tuju ke arah perpaduan rakyat,” katanya lagi dan menambah kekeliruan yang berlaku adalah akibat kejahilan orang Islam sendiri dalam membuat penafsiran.
Salhan K Ahmad
sumber malaysiakini

Kezaliman BN Menyamai Kerajaan Firaun

SEBERANG JAYA 11 Mac – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional pada masa sekarang boleh disamakan dengan kerajaan Firaun yang sentiasa mengamalkan perkara bertentangan agama dan juga penyelewengan besar yang memberi kesan buruk pada rakyat.

“Jangan mereka (BN) terlalu berhasad dengki menjatuhkan orang lain dengan kekuasaan yang diberikan dan jangan juga lupa kezaliman mereka tidak akan mampu bertahan lama.

“Kerajaan BN tidak akan mampu bertahan lama lagi berikutan pelbagai kegagalan telah dibalaskan oleh Allah akibat kezaliman yang diamalkan tetapi tetap masih lagi meneruskan kejahatan tanpa batasan,” kata Abdul Hadipada ceramah sambutan ulangtahun kedua Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.

Sehubungan itu tambah beliau kerajaan Pakatan Rakyat yang kukuh dan kuat bukan terletak pada bangunan pencakar langit atau jambatan tersergam yang dibanggakan tetapi atas kepimpinan yang bersih dan telus.

Abdul Hadi Awang berkata kerajaan Pakatan Rakyat berjaya mewujudkan kerajaan berkarisma yang mempunyai ciri-ciri lengkap bukan sahaja untuk mentadbir kerajaan negeri malah kerajaan pusat kerana tidak mengamalkan kezaliman dan penyelewengan yang diharamkan Allah.

“Ikatan Pakatan Rakyat semakin teguh walaupun baru dua tahun mentadbir empat kerajaan negeri tetapi mampu membuat pelbagai perubahan tidak seperti kerajaan BN yang telah mentadbir kerajaan pusat dan negeri lebih 52 tahun tetapi masih gagal.

“Mereka(BN) hanya pentingkan pembangunan baru yang boleh memberi keuntungan kepada mereka dan tidak mementingkan pentadbiran yang telus dan bersih. Ini menyebabkan mereka sentiasa terdedah dengan pelbagai penyelewengan dan rasuah,” kata Abdul Hadi.

Beliau turut menyatakan bangga dengan kemampuan Pakatan Rakyat kini yang terus maju dan progresif walaupun terpaksa mengharungi bermacam-macam serangan dan dugaan yang sengaja dicipta oleh BN sebagai aktiviti khianat mereka.

“Kita Pakatan Rakyat tidak akan takut dan gentar dengan serangan bertubi-tubi BN dan Umno tetapi akan terus merancang pelbagai dasar baru yang akan terus memberi manfaat kepada rakyat.

“Walaupun kerajaan BN boleh memerintah beratusan tahun, kerajaan BN yang penuh kezaliman dan kejahatan tidak akan direstui dan diterima Allah. Rakyat sepatutnya diberi hak sama rata dan bukannya tertumpu pada kepentingan seseorang individu,” tegas beliau lagi.

Sumber Kerajaan Rakyat