Di sini, Dinar dan Dirham: Di sana, dengki dan dendam

Kadang-kadang tingkah laku pemimpin Umno ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan, itulah yang akan dibangkang habis-habisan oleh Umno. Sebut saja apa jua perkara yang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin Umno ‘menunjuk cerdik’ memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka.

Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai ‘budaya pemalas’, akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

Terbaru apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah Emas Dinar dan Perak Dirham (D&D) 12 Ogos lepas, maka bersatulah pemimpin Umno untuk menghentam langkah ini. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam kerajaan Kelantan.

Saya ingin nyatakan, apakah salahnya Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika Umno BN enggan memulakan, jangan pula menidakkan usaha pihak lain. Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Haji Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan oleh Kelantan bukanlah matawang, ia hanyalah  pengenalan kepada sistem barter trade.

Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan. Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak. Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan billion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti!

Seperti yang saya nyatakan di dalam ucapan perasmian pelancaran 12 Ogos lepas, sistem wang kertas diperkenalkan oleh penjajah untuk menguasai ekonomi umat Islam. Hasilnya, seluruh manusia di dunia diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untuk mempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas.

Kertas tersebut hakikatnya langsung tidak mempunyai sandaran yang didakwa. Jika kita menaiki bas atau keretapi contohnya, kita membayar dan diberikan resit. Resit tersebut ialah tanda kita telah membayar kepada perkhidmatan yang diberikan, ertinya resit tersebut tidak mempunyai nilai apa-apa kecuali setelah bayaran diberikan. Hari ini, bank mengeluarkan wang kertas tanpa sebarang sandaran nilai. Kononnya ia disandarkan pada nilaian emas, hakikatnya ia disandarkan kepada keadaan ekonomi semasa sesebuah negara. Ini sebenarnya lebih teruk dari resit bas dan keretapi tadi.

Realitinya matawang tidak berharga  melainkan  jika Kerajaan  memberi  nilai kepadanya. Wang  kertas  RM1 bukan  bernilai RM1 daripada segi harga kertasnya. Ia  bernilai  RM1 kerana itulah nilai yang ditetapkan oleh  Kerajaan.  Jika Kerajaan mencetak angka lima atau  sepuluh maka nilai kertasnya  tidak naik kepada RM5 atau RM10. Hanya  pengakuan dan jaminan Kerajaan yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan. Itulah hakikatnya wang kertas.

Tertarik saya apabila seorang Timbalan Menteri yang baru-baru ini heboh telah meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa Dinar Emas dan Perak Dirham ini boleh menyebabkan kerugian. Terlintas di benak saya, jika begini  taraf pemikiran seorang timbalan menteri, apa pula jenis pemikiran yang ingin diasuh kepada rakyat.

Emas merupakan komoditi yang paling stabil harganya. Ia akan terus meningkat jika dibandingkan dengan wang ringgit. Bukankah Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu? Mari kita semak harganya. Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1,082. Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104. Ertinya jika seseorang melabur sebanyak RM108,200 dengan membeli seratus keping Kijang Emas pada tahun 2001, kini ia boleh dijual dengan harga RM410,400. Keuntungan 400% dalam masa 9 tahun! Butiran ini boleh dilayari di (http://www.bnm.gov.my/). Ini bukti harga emas tidak akan turun sehingga merugikan. Paling tidak pun, lebih baik daripada sebuah syarikat penerbangan yang rugi RM535 juta pada suku kedua tahun ini!

Di dalam al-Quran sendiri menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur selama 309 tahun di dalam sebuah gua. Apabila bangkit mereka menggunakan duit perak yang ada di tangan mereka untuk membeli makanan. Ertinya, selepas 309 tahun, duit itu masih elok dan mempunyai nilai seperti sedia kala.

Justeru, saya nasihatkan kepada pihak-pihak tertentu, janganlah terburu-buru menidakkan usaha-usaha kerajan Kelantan. Tidak cukup tenaga di Malaysia, diambil pula tulisan kolumnis yang beraliran orientalis untuk menghentam kami. Sehingga langkah kami mengasingkan kaunter bayaran di pasar raya disifatkan sebagai ’aparteid agama’. Bagaimana pula langkah Keretapi Tanah Melayu menyediakan gerabak khas bagi wanita? Itu aparteid apa namanya?

Saya ingin bertanya, apa kurangnya kami di Kelantan dengan anda yang berada di Pusat. Jika anda mempunyai pakar ekonomi, kami pun mempunyai pakar ekonomi. Takdirnya bertukar teraju di Putrajaya nanti, kami juga mampu mentadbir bahkan lebih baik dari anda, Insya-Allah. Janganlah dibiarkan hasad dengki menguasai menyebabkan ternafinya segala kebaikan yang kami lakukan. Jangan pula kami di sini melancarkan Dinar dan Dirham (D&D), anda di sana melancarkan dengki dan dendam!

Akhir kata, jika datanglah bertadarus dengan kami di Kelantan di bulan Ramadan ini. Salah satu ayat yang menjadi menjadi bacaan kami sekarang ialah ayat 63 dari Surah al-Furqan yang bermaksud: ”Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.”

Nik Abdul Aziz Nik Mat   – Harakahdaily

Advertisements

Bukan nak jaga Melayu, tapi jaga Umno

BACHOK, 8 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dakwaan kononnya Umno sebagai parti pembela Melayu hanya retorik setelah merasai semakin terhimpit.

“Parti sekular jaga Malaysia ni hampir 60 tahun dah. Akhirnya bila dia tua sekarang ini dia minta tolong kita pula jaga dia. Dia baik sangat nak jaga perpaduan Melayu, bukan nak jaga Melayu, tapi nak jaga Umno.

“Jaga Melayu lain, jaga Umno lain. Kelantan diduduki oleh orang Melayu, tapi apa dia buat? Dia buat JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) di Kelantan sebagai tempat tadah duit daripada pusat.

“Kalu betul dia nak jaga Melayu dia salur terus ke kerajaan. Kerajaan PAS Kelantan ini pun orang Melayu, bukan orang lain, bukan Korea, bukan Yahudi atau sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Menteri Besar itu mendakwa tuduhan kerajaan Islam tidak mampu membawa kemajuan sengaja dicetuskan oleh golongan sekular bagi mengancam kepada proses pengembangan Islam secara keseluruhan.

Beliau berkata, bahkan itulah juga antara punca menyebabkan orang bukan Islam terasa jauh dengan Islam.

“Apa tidaknya, apabila mereka cuba hendak rapat dengan Islam, dikatakan Islam mundur, Islam tidak dapat membawa kemajuan.

“Benda-benda begini telah menimbulkan masalah dalam masyarakat hasil daripada ajaran sesat golongan sekular terhadap Islam,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan tidak berminat untuk melayan mana-mana individu mencabarnya untuk berdebat dalam sesuatu isu khususnya tentang Islam kecuali ia membabitkan pemimpin dari kalangan Umno.

“Saya lawan umno. Saya tak lawan individu tertentu. Bukan kerja saya lawan budak-budak kampung,” katanya semasa ditemui selepas menyempurnakan akad nikah anak Setiausaha PAS kawasan, Huzaimi Che Hussien, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan pengasas pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah yang mencabar berdebat sekiranya apa yang didakwanya adalah tidak benar.

Abdullah kerap mengkritik Mursyidul Am PAS itu kerana berpendapat telah mengeluarkan kenyataan yang seringkali menyebabkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam.

Mengulas lanjut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengibaratkan tindakan Abdullah tidak ubah seperti individu yang hanya “menumpang semangkuk” dan tidak perlu dilayan.

“Ikut dialah, saya nak debat dengan Umno. Umno lawan saya.

“Ibarat kalau kata Joe Frazier nak lawan Muhammad Ali, dia (Muhammad Ali) akan terima, tapi kalau Muhammad Ali nak lawan orang macam saya dia akan kata menang awaklah.

“Begitulah juga saya, ambil ke dialah (Abdullah). Dia hanya nak tumpang semangkuk,” katanya.

Tuan guru Mursyidul Am menyempurnakan akad nikah anak kedua Huzaimi di Masjid Muhammadi Bachok yang turut dihadiri Yang Dipertua PAS kawasan, Datuk Omar Mohamed.

Hafiz Irwan – Harakahdaily

Umno bertahan dengan tentera upahan

KUALA LUMPUR, 3 Ogos:

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan keberadaan Umno sehingga kini adalah kerana ‘tentera upahan’ yang dibayar untuk mempertahankan parti itu agar kekal berkuasa.

Kenyataan Abdul Hadi ini dibuat dalam sessi sembang dengan beliau di pejabat Harakah semalam ketika negara sedang menyaksikan tindakan keras diambil oleh polis terhadap pelbagai program anjuran pelbagai pihak khasnya Pakatan Rakyat.

Ia dikatakan dibuat berdasarkan arahan agar menyekat semua program Pakatan Rakyat termasuklah majlis memperingati 50 tahun ISA di seluruh negara dan Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada, Pasir Salak.

36 telah ditangkap polis di majlis memperingati ISA di seluruh negara termasuk di Kota Bharu manakala 16 di perhimpunan Felcra di Pasir Salak.

 “Umno sekarang hidup dengan tentera upahan. Mungkin kenyataan saya ini kasar sedikit tetapi itulah realitinya. Bukan aqidah atau ideologinya yang memenangkan Umno tetapi jentera kerajaan,” kata Abdul Hadi.

Bagaimanapun, beliau yakin, masyarakat tidak akan boleh ditipu Umno untuk selama-lamanya.

 “Apa yang perlu adalah kita sabar dalam perjuangan disertakan dengan kerja kuat. Sejarah pilihan raya khasnya pilihan raya kecil di negara ini membuktikan PAS akan menang di kawasan yang kita kuat dan banyak cawangan,” katanya lagi.

Beliau memberikan contoh kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Gantang kerana kerja kuat dan cawangan PAS yang banyak di situ.

“Oleh itu, sebagai persiapan saya menyeru supaya PAS memperbanyakkan cawangan di seluruh negara. Kenapa Kelantan dan Kedah kita menang? Kerana di sana banyak cawangan PAS,” kata beliau dalam pertemuan itu.

Abdul Hadi menolak teori yang mengatakan pencapaian PAS akan merosot dalam pilihanraya umum ke 13 selepas berjaya besar dalam pilihan raya umum ke 12 lalu.

“Saya tidak percaya kepada teori sebegini termasuk ramalan sotong. Saya yakin kalau kita kerja keras dan betul strateginya kita akan menang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Mengikut sejarahnya, kejayaan PAS akan turun naik dalam pilihanraya umum di mana pencapaian PAS akan jatuh dalam pilihan raya yang melibatkan persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana BN sentiasa menggunakannya untuk kepentingan parti yang memerintah itu.

Dalam pertemuan itu juga Abdul Hadi menyeru umat Islam di negara ini memberikan peluang kepada PAS pula untuk mentadbir negara bagi menggantikan Umno yang sudah diberi peluang lebih 50 tahun.

“Melayu dan Islam tetap menjadi teras politik di negara ini. Sudah lebih 50 tahun Umno diberi peluang untuk mentadbir dengan konsep ketuanan Melayu berlandaskan sekularisme barat dan Islam hanya hadir tanpa kuasa.

“Saya rasa sudah tiba masanya Melayu kembali kepada Islam dan memilih PAS untuk menggantikan Umno bagi mentadbir negara ini,” kata Abdul Hadi.

Beliau juga berkata, kerajaan BN sekarang sengaja memberikan subsidi kepada rakyat dalam keadaan yang sangat sedikit.

 “Subsidi ini sekadar untuk membolehkan rakyat hidup tetapi rakyat tidak boleh berlari. Ia sengaja dibuat untuk mengawal rakyat,” kata beliau dalam pertemuan itu.

Zulkifli Sulong – Harakahdaily