Umno juara fitnah, cetus sentimen agama

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal kerana Umno terus memainkan intrumen fitnah bagi memburukkan Imej PAS dan Pakatan Rakyat, walaupun masih berada dalam bulan Ramadhan.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, tindakan cybertrooper Umno yang menggunakan nama “PAS Beruk” mencipta dan menyebarkan gambar super impose yang kononnya Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu korban untuk umat Islam dengan tagline “Sanggupkah kita lihat jika jadi begini? Dalil apa lagi nak halalkan perbuatan DAP??” adalah keterlaluan dan sengaja mencetus sentimen agama.

“DPPWP kesal kesal budaya fitnah terus membiak dalam Umno walaupun dalam bulan Ramadhan ini. Begitu jauh mereka tersasar dari hidayah Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Baginya, demi kepentingan politik mereka, gambar sedemikian dicipta, walhal gambar sebenar adalah menunjukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sedang menyembelih lembu korban untuk rakyat.

Katanya, gambar berkenaan sengaja direka dengan harapan rakyat melihat bahawa kerjasama PAS dan DAP kononnya merosakan Islam.

“Hal sebegini sudah berakar umbi dalam Umno sehingga diwarisi oleh anak-anak muda hingusan yang baru bersama Umno,” katanya.

Sebelum ini, media Umno-Utusan Malaysia memutar belitkan fakta dengan menyebarkan kepada rakyat yang ahli parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching beri ‘tazkirah’ dalam surau di mana ucapan aluan sengaja ditukar kepada ‘tazkirah’ bagi mencetuskan polemik awam.

Dua hari lepas, Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga mantan Ketua Penerangan Umno pula menyebarkan fitnahnya dengan mengatakan PAS mahu rampas harta Cina semasa peristiwa 13 Mei dan PAS kononnya turut menyokong tindakan Indonesia menyerang Malaysia semasa konfrontasi.

“Semua ini adalah fantasi Umno. Kini mereka bermain gambar pula, sama seperti gambar Zaid minum arak yang mereka cipta di Hulu Selangor. Tindakan ini menunjukan Umno semakin kehabisan modal untuk burukkan PAS dan Pakatan rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, DPPWP berharap pemimpin dan ahli Umno bertaubat.

Katanya, semakin banyak fitnah disebar, semakin terdedah keburukan Umno, semakin banyak fitnah disebar, semakin meluat rakyat kepada Umno.

“Malulah kepada bukan Islam, malulah kepada umat Islam, malulah kepada Allah kerana perbuatan fitnah ini begitu jijik dan jauh lebih dahsyat dari membunuh. Ianya tidak akan diterima oleh mana-mana kaum dan agama sekalipun,” ujarnya lagi.

Harakahdaily

Advertisements

Berikan kepercayaan penuh kepada PAS- Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Seluruh rakyat negara ini diseru memberikan kepercayaan penuh kepada PAS menggantikan Umno untuk memimpin mereka dengan lebih adil.

Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Umno tidak boleh lagi diberi kepercayaan kerana mereka mengelirukan masyarakat dengan memutar-belit ajaran Islam sebenar dan menggunakan isu perkauman utuk kelangsungan politik mereka.

“Kita menyeru kepada masyarakat Islam untuk memberikan kepercayaan kepada PAS sebagai alternatif yang memimpin mereka dan mengajak masyarakat yang bukan Islam supaya tidak memgambil contoh yang buruk yang ditunjukkan oleh Umno berhubung dengan Islam,” kata Presiden PAS itu dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Keadilan PAS jelasnya boleh dilihat sendiri oleh masyarakat bukan Islam semasa pemerintahan mereka di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri Pakatan Rakyat di ketika ini, bahkan terus istiqamah dengan prinsip Islam semasa dalam kerajaan pada tahun 70-an.

Menurutnya lagi, punca kepada kecelaruan yang berlaku hari ini adalah kerana kefahaman salah yang ditunjukkan oleh Umno selama puluhan tahun berkuasa di bumi Malaysia ini.

Sejak sekian lama, Umno katanya tidak pernah puas menjadikan isu agama dan perkauman sebagai senjata ampuh mereka menarik sokongan masyarakat.

Paling teruk apabila tindakan Umno tersebut sering digambarkan kepada masyarakat khususnya Melayu sebagai menepati ajaran Islam yang sebenar.

“Mereka telah mencampur adukkan sentimen perkauman sempit dan mengaitkannya seolah-olah tindakan mereka adalah dari ajaran Islam yang sebenar,” jelasnya lagi.

Tindakan Umno itu pula jelasnya disambut dan diangkat oleh media Umno sehingga mereka cuba menggambarkan seolah-olahnya hubungan antara kaum dalam negara kita ini berada dalam tahap yang paling buruk.

Masyarakat Islam jelasnya lagi dikelirukan dari segi fahaman agama yang sebenar, manakala masyarakat bukan Islam pula diadu-domba dengan api perkauman dan ketegangan hubungan kaum.

“Saya ingin memberikan nasihat kepada pihak media yang menggunakan isu agama ini untuk menghentikan tindakan mereka, kerana sebenarnya mereka telah mengelirukan umat Islam dengan kegagalan mereka merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi sumber rujukan umat Islam sejak zaman berzaman,” katanya.

Sehubungan itu beliau juga menyeru agar umat Islam meneliti setiap maklumat yang disebarkan supaya tidak diperangkap oleh sesuatu maklumat yang salah.

PAS juga menurutnya sentiasa konsisten dengan prinsip Islam dan bersedia untuk berdepan dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan, untuk menjelaskan garispanduan yang sebenar dalam semua perkara yang berkait dengan umat Islam.

Harakahdaily