PAS tidak gentar ribuan orang agama sertai Umno

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) menegaskan, parti itu tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai Umno.

Katanya, kalau beribu-ribu menyertai Umno pun PAS tidak takut, lebih-lebih lagi yang menyerahkan borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat. 

“Saya cuba hubungi rakan di Fakulti Islam UKM untuk bertanya seorang yang masuk menyertai Umno itu pensyarah Fakulti Islam, rakan saya beritahu, beliau pun tidak kenal,” ujarnya.

“Jikalau beliau yang menjadi pensyarah senior di Fakulti Islam UKM pun tidak kenal, macam mana pula Pak Mat di Dabong, Gua Musang dan Mak Minah di  Hulu Tembeling Pahang hendak kenal,” ujarnya sinis.

Tegasnya, perjuangan PAS bukan menentang peribadi tetapi menentang dasar Umno.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi mempertahankan dasar Umno yang  membawa perkara munkar dan mengkhianati amanah negara dan rakyat.

PAS, jelasnya tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul.

Beliau berkata, PAS yakin mereka yang berlatar belakang agama dalam Umno tidak ke mana akhirnya kerana hanya akan menjadi kupang tembaga yang digunakan ketika hendak melawan hujah PAS.

“Itu pun bukan secara berdepan. Mereka hanya berani bercakap ketika seorang diri tanpa di pihak lawan. Beberapa kali PAS ajak berdebat sampai hari ini tidak pernah disahut,” katanya lagi.

Tambahnya, PAS juga yakin bahawa Umno bukan tempat untuk orang agama berjuang.

Sekadar menyebut beberapa nama mereka di dalam Umno yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan pengaruh yang lebih hebat daripada 40 orang yang baru menyerah borang menyertai Umno, beliau bertanya ke mana perginya mereka yang berkenaan.

Antaranya ialah Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad di persada politik umno.

Justeru, ujarnya PAS merasa hairan ketika kapal Umno hendak tenggelam dan penyakit barah Umno sudah sampai kepada peringkat keempat untuk ditalqinkan, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang agama bersama-sama dengan Umno untuk karam sama.

“Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersekongkol dengan Umno.

“Parti yang  rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO  Yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunei,” katanya. 

Tegasnya, PAS yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.

Nazri Abdullah   -Harakahdaily

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s