”MEREKA ADA AGENDA !!”

Aku bimbang anak-anak muda murtad. Tetapi, aku bimbang juga, kalau orang bukan islam semakin hari semakin menolak Islam. Aku kadang-kadang marah, jika islam ini tidak dilihat sebagai ”for all” disebabkan tindakan bodoh dari orang-orang islam sendiri.

Secara peribadi, aku amat pelik apabila Timbalan Presiden PAS mengatakan tentang isu kalimah “Allah” dibenarkan kepada non Muslim memggunakannya dengan kata beliau;

“Keputusan mahkamah itu bukan sahaja melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan malah melanggar akidah umat Islam dan ini tindakan yang tidak dapat diterima. (klik sini)

“Dalam hal ini, seluruh umat Islam perlu bersatu membantah kebenaran yang diberikan selain menyokong rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keputusan itu,“

Tidak diketahui, apakah benar dia berkata sedemikian atau tidak. Jika benar dia mengatakan sedemikian, padaku Islam yang Timbalan presiden PAS belajar itu mungkin berlainan versi dengan Islam yang aku belajar.

Aku tidak tahu, Islam versi aku salah, atau Islam versi Timbalan presiden PAS itu yang salah. Jika aku salah, mengapa tidak wujud sama sekali nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis yang melarang orang bukan islam daripada menyebut kalimah “Allah”?. Bukan sekadar itu, bahkan sememangnya wujud nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis yang membenarkan penggunaan kalimah Allah itu dikalangan non Muslim. (sila klik). Mungkin Al-Quran dan As-Sunnah itu salah kot?

KALIMAH ”ALLAH” ISLAM LAIN, MEREKA LAIN

Memang tidak sama segi tafsiran maksud ”Allah” itu dari sudut agama mereka dengan agama Islam. cumanya, apabila wujud tafsiran ”Allah” itu berbeda, bertindak menghalang mereka daripada menggunakannya adalah tindakan yang terlalu salah. Kerana, ia adalah tindakan menafikan hak mereka yang dibenarkan menggunakan kalimah ”Allah”

Tindakan menafikan hak, waima terhadap orang bukan Islam merupakan tindakan yang tidak dibenarkan dalam islam. bahkan, ia adalah terlarang dari sudut Islam.

Apa yang dapat dilihat, tafsiran kalimah Allah dari sisi yahudi dan nasrani, sememangnya wujud dalam Al-Quran. Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran, bahawa yahudi menganggap Uzair anak Allah, dan Nasrani menganggap Isa Anak Allah. Perkara ini jelas dalam al-Quran, surah At-Taubah, ayat 30.

Penurunan ayat ini, semasa nabi SAW masih hidup lagi. Apa yang dapat dilihat, waima Nabi Saw dimaklumkan oleh Allah bahawa fahaman Yahudi dan Nasrani terhadap Allah sedemikian, tetapi Nabi SAW tidak pernah bertindak menghalang mereka daripada menggunakan kalimah Allah.

Memahami tindakan Nabi SAW itu, perkara yang paling penting didebatkan, bukannya menghalang non Muslim daripada menggunakan kalimah ”Allah”. Tetapi yang wajib didebatkan adalah, apa yang perlu Umat Islam lakukan dalam memberi kefahaman terhadap maksud kalimah ”Allah” dalam bentuk yang betul dan tepat. Kerana, inilah cara nabi Muhammad SAW ketika berdakwah di makkah dahulu.

Jika kita mengambil sikap menghalang non Muslim daripada menggunakan kalimah ”Allah”, ternyata KITA BUKAN IKUT NABI SAW, tetapi ISLAM YANG KITA BAWA ADALAH ISLAM VERSI KITA SENDIRI.

MEREKA ADA AGENDA

Hujjah menghalang non Muslim dari menggunakan kalimah ”Allah” dengan alasan bahawa non Muslim mempunyai agenda tersembunyi, merupakan hujjah yang paling bodoh.

Semua manusia mempunyai agenda. Mana mungkin manusia melakukan sesuatu tindakan, tanpa agenda. Pemuda PAS mengedar risalah dakwah malam tahun baru kepada anak-anak muda, mempunyai agenda juga. Begitujuga Kristian yang menerbitkan majalah agama mereka.

Apabila mereka menerbitkan majalah kristian dengan menggunakan kalimah ”Allah”, sudah pasti mereka mempunyai agenda. Terlalu bohong, kalau kita kata mereka tidak mempunyai agenda.

Cumanya, yang kita perlu fikir, bagaimana kita hendak berhadapan dengan agenda mereka?

Kita perlu berhadapan dengan agenda mereka dengan bijaksana. Jika kita menganggap agenda mereka ini sebagai ancaman, ini membuktikan pemikiran politik kita terlalu lemah setahap gaban dan ultraman. Sebaliknya, ia perlu dianggapan sebagai cabaran dalam mengkuatkan usaha dakwah kepada non Muslim.

Jangan disebabkan kita menganggap ia sebagai agenda, lalu kita bertindak satu tindakan yang boleh menyebabkan pandangan umum terhadap Islam semakin buruk, seperti ia boleh melahirkan pandangan bahawa Islam adalah agama yang mengongkong, tidak berfikiran terbuka, penakut, pengecut dan sebagainya. Jika ini berlaku, sedikit sebanyak kita telah berjaya diagendakan oleh mereka.

Justeru, kita perlu bertindak sesuai dengan apa yang telah dilakukan oleh Nabi SAW. Iaitu, bersungguh-sungguh dalam menerangkan maksud ”Allah” kepada non Muslim dengan maksud yang sebenar. Ketika itu, kita akan dapat melihat perubahan yang besar akan berlaku dalam masyarakat Malaysia, sepertimana perubahan besar yang telah dilakukan oleh Nabi SAW.

Cumanya, apakah umat Islam bersedia? Apakah ulama PAS bersedia? Apakah pemuda PAS bersedia? Apakah muslimat PAS bersedia?

Selagi pemikiran kita setaraf pemikiran abad ke 18, selagi itu kita tidak akan berjaya.

Sekian

p/s : Jika kita boleh marah kepada Non Muslim yang ada berusaha hendak menghalang kita azan menggunakan pembesar suara, apakah kita fikir mereka tidak marah apabila kita halang mereka menggunakan kalimah ‘Allah” dalam agama mereka, walhal agama mereka membenarkannya?

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s