Bolehkah orang pecah amanah menjadi wakil rakyat?

PERMATANG PAUH, 19 Ogos: Masuk hari kedua berkempen, calon Umno Rohaizat Othman berulang kali menegaskan bahawa beliau akan turun bertemu semua peringkat untuk menjelaskan profesyen kerjanya yang sebenar.

Dalam kalangan Umno, Setiausaha Bahagian Permatang Pauh itu masih dikenali sebagai pengamal undang-Undang atau peguam. Ia ditegaskan oleh mediapro Umno dengan tajuk hebat, “Peguam syarie lawan ahli perniagaan” untuk membayangkan status calon BN itu.

PAS dan Pakatan Rakyat pula terus mempersoalkan sebab musabab mengapa calon taruhan Timbalan Presiden Umno Dato’ Seri Muhyiddin Yassin itu tidak meletakkan kerjaya ‘Peguam’ dalam borang penamaan calonnya kelmarin.

Sebaliknya, Rohaizat mengakui bahawa beliau adalah ahli peniagaan; sama seperti calon Pakatan Rakyat dari PAS Mohd Salleh Man.

Dikatakan persoalan itu ada kaitannya dengan pengumuman yang dibuat Presiden Majlis Peguam Negara Ragunath Kasavan ? Rohaizat ditarik balik (struck off) status peguam berdasarkan Bahagian 103D Akta Guaman 1976 atas kes penyelewengan wang.

Senada dengan Majlis Peguam Negara, Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Naib Presiden PAS Dato’ Mahfuz Omar menjelaskan bahawa Rohaizat mesti menjelaskan segala kesangsian dalam kalangan pengundi Dun Permatang Pasir sekarang.

“Isunya jelas…Majlis Peguam membatalkan lesen beliau (Rohaizat) atas isu-isu berkaitan peribadi seperti pecah amanah RM161 ribu wang Koperasi Pekebun Kecil tahun lalu.”

Tegasnya lagi, bagaimana seorang yang sah pecah amanah boleh menguruskan amanah rakyat di Permatang Pasir kelak.

Respon Muhyiddin, kes pecah amanah itu tidak boleh dikaitkan dengan peribadi Rohaizat, sebaliknya ianya adalah kesalahan firma serta rakan kongsi Rohaizat.

Bagaimana pun, Ragunath menegaskan pergantungan Rohaizat oleh Majlis Peguam atas kesalahan peribadi, bukannya atas firma guamannya atau rakan kongsi beliau.

Lantas itu, penamaan Rohaizat terus dianggap suatu penghinaan kepada pengundi Dun itu sendiri kerana tidak bersih dan menghadapi beberapa masalah moral.

Ahli Parlimen Kuala Kerai Dr. Mohammad Hatta Ramli berkata, Umno sebenarnya gagal menghidu isu integriti dan moral Rohaizat sehinggalah proses penamaan calon kelmarin selesai.

ImageMenurut Dr. Hatta, tidak ada maknanya seseorang bakal Adun Permatang Pasir berkelulusan tinggi, jika dibelit pelbagai kes pecah amanah.

Ditanya sama ada beliau bersetuju PAS menyerang peribadi Rohaizat disebabkan isu tersebut, Dr. Hatta menegaskan bahawa Umno juga memperlekeh kerjaya ‘peniaga ikan’ Mohd Fauzi Abdullah (PAS) di Manik Urai; kerana calon Umno Tuan Aziz Tuan Mat berpendidikan tinggi.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifli Ahmad menjelaskan soal peribadi seseorang calon wajib dihitung di Permatang Pasir kerana Allah memerintahkan kepemimpinan Islam mestilah memiliki sifat keupayaan bekerja (al-quwwah) dan integriti (al-amanah).

Mengulas gesaan Umno supaya tidak ada serangan peribadi ke atas Rohaizat, Dr Dzulkifli menyifatkan usaha itu sekadar untuk menutup amalan pecah amanah oleh calon pertaruhan Umno semata-mata.

Bagi Ahli Dewan Negara, Senator Mumtaz Md Nawi ? bulan Ramadhan ini seharusnya dijadikan medan terbaik menjelaskan peribadi calon yang haq dan batil; dengan mengambil iktibar dari prilaku Rasulullah s.a.w mendepani Peperangan Badar al-Qubra.

Kata Mumtaz lagi, memilih Adun Permatang Pasir sama seperti memilih imam solat jamaah. Imam mestilah seorang yang beramal Islami serta berakhlak mulia.

Seorang yang individu yang sah dibuktikan pecah amanah, tidak boleh menjadi imam solat jamaah mahupun Adun sendiri.

Tinjauan yang dilakukan dalam beberapa Bilik Gerakan Umno di sini sejak petang tadi, menyaksikan Umno tidak menyerang peribadi calon Pas.

Ini kerana, Mohd Salleh Man dikenali khalayak sebagai seorang yang Islamis, bersarjana pengajian Islam, berakhlak luhur serta ahli peniagaan yang tidak bermasalah.

Bagaimana pun, Umno menjadikan isu ‘ahli Umno tidak masuk Syurga’ untuk menyerang peribadi Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Biar pun Nik Aziz sudah menafikan laporan media arus perdana itu, Umno percaya isu tersebut sekurang-kurangnya boleh mengalih tumpuan khalayak dari isu ‘pecah amanah’ yang sedang membelit peribadi Rohaizat.

Malah, teknik membina ikon kebencian (icon of hatred) itu diyakini mampu memberi kredit tidak langsung kepada Rohaizat.

Setakat ini, kempen PAS masih kurang menonjolkan manifestonya untuk pengundi Permatang Pasir.

Begitu juga Umno, strategi menabur janji-janji ‘politik pembangunan’ masih kurang menonjol seperti beberapa siri pilihanraya kecil sebelum ini. -zs_ Dzulfakar Mashoor

Sumber Harakahdaily

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s