Selesaikah masalah dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja?

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Zaid Ibrahim mempertikai persoalan mewujudkan Suruhanjaya Diraja (RC) yang hanya untuk menyiasat prosedur pelanggaran hak asasi dan siasatan SPRM.

Sebaliknya isu tragedi kematian Teoh Beng Hock, tidak hanya boleh berpuas hati dengan pengumuman penubuhan Suruhanjaya Diraja oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Seolah-olah dengan adanya pengumuman itu, semua masalah akan selesai. Nampaknya ada orang Malaysia sudah lupa dalam soal salah laku polis dan kes-kes kematian semasa siasatan dan sewaktu dalam tahanan. Mereka sudah lupa bahawa cadangan-cadangan pokok yang dibuat oleh Tun Dzaiddin dan Tun Hanif dalam Laporan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) lima tahun lalu masih belum dilaksanakan,” katanya.

Mereka juga lupa mengenai cadangan-cadangan Suruhanjaya Diraja yang diketuai oleh Tan Sri Haidar mengenai kes pita video V.K. Lingam, katanya.

Walaupun kandungan laporan itu sudah dimaklumkan kepada umum, dan secara “prima facie” memang ada kes salah laku oleh orang-orang ternama, tindakan susulan yang sepatutnya dilaksanakan oleh Peguam Negara tidak pun berlaku, katanya

Kini satu lagi sejarah hitam berlaku dalam negara ini di mana Teoh menjadi mangsanya, ujar beliau.

Rakyat Malaysia sekali lagi mahu sebuah Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh, namun apakah penubuhan itu benar-benar akan menyelesaikan pokok permasalah sebenar, ujarnya.

“Nampaknya sekali lagi kita akan dipermainkan, dan sudah pasti kita akan terus kecewa dan hampa.

“Perdana Menteri menyediakan dua badan untuk menyiasat kes tersebut. Oleh kerana rakyat mahukan Suruhanjaya Diraja, maka Najib menghadiahkan satu Suruhanjaya tapi ia hanya untuk menyiasat prosedur yang digunakan oleh pihak penyiasat, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Yang menyiasat soal pokok yang lebih besar dan penting, iaitu mengenal punca sebab kematian Teoh yang memang semua orang ingin tahu; Najib menyerahkan tugas yang maha berat itu kepada seorang majistret, iaitu pegawai mahkamah yang paling rendah pangkat dan kedudukannya di bawah kawalan Peguam Negara,” katanya.

“Jadi, marilah kita sama-sama fikirkan sendiri, sejauh mana hasil siasatan sa orang majistret dan sama ada kebenaran akan terserlah nanti. Saya jangka satu lagi ‘cover up’ akan berlaku,” ujar Zaid yang juga bekas ahli Parlimen BN Kota Bharu.

Beliau mengingatkan bahawa Suruhanjaya Diraja di bawah undang-undang hanya boleh membuat cadangan-cadangan sahaja.

Sementara tindakan muktamad terhadap orang yang didapati bersalah bergantung kepada Peguam Negara, katanya.

Sekiranya Peguam Negara menyatakan tiada salah laku, maka dengan itu tak wujudlah kesalahan, walaupun Suruhanjaya Diraja mendapati ada kesalahan, ujarnya.

Lihatlah apa yang berlaku dalam kes pita video Lingam, hingga hari ini, yang jelas bersalah masih belum di bawa kamuka pengadilan, katanya.

“Kalau rakyat mahu tahu dengan sebenar-benarnya mengenai bagaimana dan sebab-sebab Teoh, A. Kugan dan 1,500 orang lagi yang mati dalam tahanan sejak 6 tahun lalu, hanya ada satu cara sahaja, kita kena tolak BN. Biarlah Pakatan Rakyat pula diberi peluang memerintah. Itu sahaja harapan kita untuk mengetahui perkara yang sebenar,” katanya. – mks. _ Wan Nordin Wan Yaacob

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s