Menjawab Rencana Zulkiflee Bakar, Mingguan Malaysia.

Suka saya mengambil kesempatan ini untuk menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh Zulkiflee Bakar di muka 8 Mingguan Malaysia. Didalam kolum Rencana, artikel yang ditulis oleh Zulkiflee Bakar bertajuk “Menilai Hujah Husam” antara lain telah menjatuhkan maruah penyunting akhbar arus perdana dan penganalisa politik tempatan.

Sebagai seorang yang rapat dengan pihak media, saya merasakan tulisan Zulkiflee ini satu penghinaan kepada pengamal media dan menunjukkan betapa ceteknya pemikiran beliau. Saya berharap ini bukanlah mentaliti yang dikongsi oleh kakitangan dan pengurusan Utusan Melayu.

Di dalam artikel tersebut, Zulkiflee ada menulis seperti berikut,

“Apakah dosa besar yang dilakukan oleh UMNO terhadap PAS sehinggakan sesiapapun pemimpin PAS yang cuba berbaik-baik dengan UMNO harus disingkirkan.”

Bersandarkan kepada anggapan bahawa tulisan Zulkiflee berlandaskan niat yang baik, ternyata ia hanya menunjukkan sikap malas penyunting akhbar ini untuk melakukan sedikit kajian. Berikut saya senaraikan diantara dosa besar UMNO terhadap bukan sahaja PAS sebagai sebuah parti politik tetapi kepada ahli-ahli PAS, penyokong-penyokong PAS dan pengundi-pengundi PAS.

  • Pada 30 Januari 2008 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir membuat pengakuan dihadapan lebih 30 orang pengamal media dengan mengaku telah dipaksa oleh pemimpin-pemimpin UMNO supaya menyekat sebarang bentuk bantuan oleh Kerajaan Pusat kepada Negeri Kelantan. Tun berkata, “… bukan sahaja Mustapha (Mohamed) tetapi pemimpin-pemimpin UMNO lain pun mintak sekat”. Pengakuan ini dibuat ketika mengulas pengakuan Dato’ Mustapha Mohamed yang ketika itu Menteri Pelajaran Tinggi dan ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas di dalam Dewan Negeri Kelantan.
  • Pada 24 November 2007, Dato’ Mustapha Mohamed ketika membahaskan usul ucapan terima kasih terhadap titah ucapan Tuanku Al Sultan Kelantan telah mengaku menekan Tun Dr. Mahathir supaya menyekat Negeri Kelantan dari menerima peruntukan dari Kerajaan Pusat.
  • Bukankah ini jelas satu pengainayaan kepada parti PAS selaku Kerajaan di Kelantan, ahli-ahli PAS selaku mereka yang berusaha keras memenangkan PAS, Pengundi PAS yang menunaikan tanggungjawab mereka di dalam PRU dan seluruh rakyat Kelantan yang setengahnya tidak ada kaitan langsung dengan proses menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional di Kelantan.

Dosa ini berterusan sehingga ke hari ini walaupun ada usaha oleh segelintir pihak di dalam PAS untuk membawa parti itu bekerjasama dengan UMNO.

Sikap barbarik UMNO sebenarnya amat dahsyat sekali dan saya amat pelik bila Zulkiflee seolah-olah tidak pernah mendengar Tragedi Memali yang berlaku pada subuh November 21, 1985. Ketika itu Presiden UMNO ialah Tun Dr. Mahathir dan Timbalannya adalah Tun Musa Hitam.

Saudara Abd. Rahman telah menulis di Muslimedia, January 16-31, 1999 yang saya temui di internet, antara lainnya,

“The police had surrounded the whole village by then, motorist to and from Memali were stopped and their names taken. Ustaz Ibrahim had just finished his daily lecture – kuliah subuh – after prayers,”

Beliau kemudian menyambung,

    “On that day, the police numbered around 4,000; they were heavily armed and dangerous. They were acting on orders from Mahathir (Presiden UMNO) to arrest Ibrahim Mahmood, the man the villagers were ready to defend till their last drop of blood – which they did.”
     

  • Sejarah mencatatkan seramai 14 orang terbunuh dan mereka terdiri dari lelaki dan perempuan yang bersama Ustaz Ibrahim menunaikan sholat subuh.
  • Al Shahid Ibrahim adalah ‘orang’ PAS begitu juga mangsa yang lainnya.
  • UMNO menerusi medianya menyalahkan Presiden PAS sekarang dengan berulang kali mengaitkan kejadian tersebut dengan Amanat Haji Hadi.
  • UMNO menuduh mereka yang terkorban mempertahankan hak mereka yang diperuntukkan oleh perlembagaan persekutuan sebagai telah termakan hasutan Tuan Guru Haji Hadi.
  • UMNO melepaskan tanggungjawab mereka terhadap kejadian itu dan sehingga hari ini menyalahkan PAS.

Tidak cukup dengan penyalahgunaan kuasa dan keganasan terhadap Parti lawan, UMNO juga seringkali sanggup membelakangkan undang-undang dan perlembagaan negara untuk mencapai hasrat mereka dalam merampas apa yang diberi Rakyat kepada PAS.

Kalau Zulkiflee boleh tidak ingat kepada kejadian Memali sudah tentu Zulkiflee juga tidak tahu tentang peristiwa Turn About About Turn.

Bagi mereka yang merasakan bahawa apa yang berlaku di Perak adalah sesuatu yang membelakangkan undang-undang dan pencabulan terhadap mandat rakyat, mungkin anda akan lebih terkejut dengan peristiwa ini.

Turn About About Turn adalah satu kejadian dimana 4 wakil rakyat PAS termasuk speaker Dewan Negeri Kelantan telah diculik, dikurung dan dipaksa membuat kenyataan media mengaku mereka menyertai UMNO.

YB. Umar Muhammad (diambil dari Steps Towards Mardhatillah)

Peristiwa yang berlaku pada 1968 ini sepatutnya berakhir dengan speaker yang diculik memanggil sidang Dewan Negeri bagi meluluskan usul Undi Tidak Percaya kepada Menteri Besar PAS. 3 orang ahli Dewan Undangan Negeri yang diculik pula akan hadir ke sidang Dewan dan menerusi undi mereka, Kerajaan Negeri pimpinan PAS Kelantan akan tumbang.

Berikut adalah rentetan apa yang berlaku,

  • Pada 25 Julai 1968, YB Umar Muhammad (ADUN PAS) yang ketika itu di dalam perjalanan balik dari Kota Bharu ke Tanah Merah telah ditahan oleh polis dalam satu sekatan jalan raya. YB Mustapha Ahmad, Ahli Parlimen PAS Tanah Merah yang mengekori YB Umar melaporkan bahawa YB Umar dibawa menaiki kereta Ketua Polis Tanah Merah ke Balai Polis Kota Bharu.
  • YB Umar kemudian tidak dapat dikesan selepas dibawa masuk ke Balai untuk soal siasat.
  • Pada 2 Ogos 1968, Suratkhabar (mungkin Utusan Melayu terbabit sama) melaporkan 4 ahli Dewan Undangan Negeri PAS Kelantan telah masuk UMNO. Mereka ialah YB Abdullah Haji Yusof, YB Umar Muhammad, YB Abdul Rahman Muhammad Soleh dan YB Yusof Abdul Latif, Speaker Dewan Negeri.
  • UMNO terus menggunakan media dan pada 3 Ogos 1968 dan 4 Ogos 1968 menabur fitnah dengan menyebut nama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PAS yang lain turut juga menyertai UMNO dan menyebabkan Kerajaan Kelantan Pimpinan PAS telah tumbang.
  • UMNO Besut dan Tanah Merah secara besar-besaran menyebarkan dakyah dengan pelbagai cara untuk menghancurkan hati dan perasaan ahli dan penyokong PAS dengan menyebarkan lakaran kubur PAS serta masuk ke kampung-kampung dengan kenderaan yang dipasang speaker melaungkan “PAS dah Mampus. PAS dan Mampus dan Perikatan memerintah Kelantan.
  • Pada 18 Ogos 1968, 4 ahli YB PAS Kelantan telah dipaksa keluar dalam televisyen mengisytiharkan sokongan kepada UMNO.
  • Selepas pengisytiharan di Televisyen, keempat-empat YB itu dibenar pulang ke Kelantan dengan kenderaan yang dikawal rapi oleh polis.
  • Pada 20 Ogos 1968, Speaker Dewan Negeri yang telah isytihar menyokong UMNO mengendalikan persidang khas Dewan Negeri.
  • 2 Ahli Dewan Negeri PAS yang turut isytihar menyertai UMNO telah memberitahu Dewan Negeri bahawa mereka tetap ahli PAS dan melafaz taat setia kepada Parti Islam SeMalaysia itu.
  • Usul yang ditaja UMNO tumpas dan PAS terus memerintah Kelantan sehingga Pemimpin PAS membawa PAS menyertai Barisan Nasional.
  • Akibatnya dalam pilihanraya umum 1974, PAS tidak lagi berdepan dengan UMNO dan ini memudahkan UMNO untuk merangka episod seterusnya membunuh PAS.
  • Selepas itu, BN bertegas melantik Menteri Besar yang tidak mendapat sokongan padu dari PAS.
  •  Akibatnya PAS berpecah dan akhirnya kehilangan Kelantan.

Di atas tadi adalah antara dosa besar UMNO. Dan jika diambil kira juga tindakan-tindakan zalim UMNO kepada orang-orang perseorangan di dalam PAS dengan pelbagai cara termasuklah menghumbankan mereka ke dalam penjara sebagai tahanan politik, tentu sekali tidak tercatat banyaknya.

Begitu juga penghinaan dan diskriminasi kepada penduduk-penduduk kampung yang mengundi PAS.

Zulkiflee Bakar juga mempersoalkan mengapa PAS boleh duduk semeja dengan DAP tetapi tidak dengan UMNO. Zulkiflee juga berpendapat bahawa DAP menentang penubuhan negara Islam yang dikatakan menjadi agenda PAS.

Adalah bukan suatu yang pelik bagi DAP menentang penubuhan negara Islam kerana rata-rata pemimpin, ahli dan penyokong DAP adalah terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam. Bagaimanapun DAP tidak pernah bertindak zalim sehingga membunuh, menculik dan mencederakan pemimpin, ahli dan penyokong PAS yang mahu menegakkan syiar Islam.

Zulkiflee mungkin lupa juga UMNO yang diangkatnya adalah lebih pelik. Ini kerana pemimpin, penyokong dan kebanyakkan pengundi UMNO adalah penganut ajaran Islam. Tetapi mempunyai pendirian yang sama dengan DAP.

Mungkin Zulkiflee boleh menjelaskan takrifan orang yang mengaku Islam tetapi menentang ajaran Islam sehingga sanggup membunuh, menculik dan mencederakan, menyekat hak dan menyekat pembangunan dari dinikmati rakyat.

Berbaik dengan UMNO tidak boleh disamakan dengan berbaik dengan DAP. DAP menghormati PAS, menghormati pejuang PAS dan kepimpinan PAS.

Zulkiflee menutup rencananya dengan berkata,

“Kalaulah puak Erdogan dipilih, ahli-ahli PAS harus bersedia melihat kedudukan ulama dalam parti itu berada dalam keadaan bahaya.”

Persoalan yang dibawa dalam menjadi teras penawaran diri sebagai Timbalan Presiden oleh Haji Husam adalah bukan persoalan puak atau fraksi sebaliknya diasaskan oleh rasa risau atas usaha-usaha oleh segelintir pucuk pimpinan untuk bersama dengan UMNO.

Haji Husam melihat cara terbaik untuk mengangkat kepimpinan ulama ialah dengan terus bersama Pakatan. PAS hari ini adalah parti induk Melayu kedua selepas UMNO. Berbaik-berbaik dengan UMNO tidak akan menjadikan PAS lebih besar sebaliknya berpotensi untuk menguncup dan sampai bilapun tidak mungkin PAS akan muncul sebagai parti induk Melayu.

Sebaliknya hanya dengan berdepan dengan UMNO secara bersemuka di gelanggang demokrasi, PAS akan dapat mengambil alih peranan itu.

Saya akhiri dengan petikan temubual Haji Husam dengan Ahmad Naim Tahir dari Berita Harian,

“Apabila saya menyertai Pas pada 1982, satu daripada sebabnya saya percaya Pas perlu jadi parti peneraju utama dalam negara jika dasar Islam yang komprehensif mahu dilaksanakan. Saya berpendapat jika ada kerjasama politik dengan Umno dalam bentuk berkerajaan, ia akan menyekat kemaraan Pas. Tak mungkin Pas dapat bertanding pilihan raya di kawasan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan ini akan hadkan kerusi Pas lalu Umno tetap jadi parti utama dan perjuangan Islam akan terbiar. Buat masa ini saya berasa Pas mesti berusaha untuk keluar dan memenangi kerusi yang dikuasai Umno dan BN bagi mencapai cita-cita politik parti. Di kawasan ramai pengundi bukan Melayu, rakan Pas seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menguasai kerusi itu, jadi tugas Pas yang utama sekali ialah menarik sokongan Melayu di kawasan kubu kuat Umno seperti di Johor dan Pahang. “

Lihat Ini Zulkiflee Bakar

Sementara saya mengarang jawapan kepada tulisan Zulkiflee Bakar di Mingguan Malaysia hari ini, saya mengajak kita melihat video di bawah sebagai jawapan kepada persoalan Zulkiflee kepada Husam dalam artikelnya “Menilai Hujah Husam”.

– KickDeFella(http://kickdefella.wordpress.com/)– SSLaman

Zulkiflee Bakar mungkin sudah lupa. (Video: Peristiwa Pembunuhan di Memali)

http://kickdefella.wordpress.com/2009/05/31/menjawab-rencana-zulkiflee-bakar-mingguan-malaysia/

Sumber Laman M@rhaen

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s