PAKATAN PAS DAN PKR TIDAK DISENANGI?

Kadangkala ada betulnya jika orang pernah berkata sewaktu susah kita mungkin boleh bersatu dan berpakat, tetapi apabila masing-masing sudah merasa hebat dan kuat kita mula merasa tidak perlu lagi berpimpin tangan seerat dahulu dan seperti ingin membawa haluan masing-masing.  Saya merasakan suasana ini sudah mula kelihatan di dalam PR terutamanya di antara PKR dan PAS.  Sama sekali saya tidak mempercayai bahawa pimpinan utama PKR dan pimpinan utama PAS yang bersikap demikian, tetapi saya dapat rasakan ianya meresap di kalangan pimpinan bawahan.  Pimpinan atasan mampu setakat ini bersuara dalam satu nada untuk menghapuskan Umno/Bn dari berkuasa di bumi Malaysia ini.

      Oleh kerana musuh PR menyedari bahawa kelemahan PKR dan PAS adalah di bahagian akar umbinya terutama yang begitu fanatik membuta tuli pada parti masing-masing, maka musuh PR telah mula menggunakan jarumnya agar penyokong-penyokong PKR dan PAS di akar umbi mula mencurigai kepimpinan mereka.  Lebih dahsyat lagi, usaha mereka lebih berjaya sekiranya penyokong-penyokong di akar umbi kedua-dua parti tersebut mula mencela, memperlekehkan kepimpinan parti kedua-dua pihak.  Isu berkenaan ahli PAS berkulit PKR dan ahli PKR berkulit PAS telah lama kedengaran terutamanya ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh.  Saya berasa hairan dan pelik di manakah salah besarnya jika PAS berbaju PKR dan PKR berbaju PAS, sedangkan kita tahu DAP sendiri sudah tidak segan silu atau takut untuk berbaju PAS.

      Saya faham betapa terdapatnya golongan di dalam PAS yang khuatir jika penyokong-penyokong mereka terpengaruh dan terikut dengan perjuangan PKR lantas melupakan perjuangan Islam yang ingin dibawa oleh PAS.  Tetapi sewajarnya kita lebih bimbang jika penyokong-penyokong PAS terpedaya dengan dasar Umno atau Bn.  Isu sama ada penyokong-penyokong PAS akan beralih arah menukar dasar perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS tidak timbul jika penyokong-penyokong PAS sudah cukup ditarbiyah dengan sebaik mungkin.  Mana mungkin dengan memakai baju PKR, mendampingi rapat dengan PKR atau DAP, maka ahli-ahli PAS akan bertukar prinsip mereka?  Apakah dengan melaungkan `reformasi’ sewaktu menyambut pemimpin PKR maka mereka sudah dianggap lari dari perjuangan PAS?  Bukan sedikit penyokong-penyokong PKR, malahan DAP yang bertakbir ketika menyambut pimpinan PAS.  Sebenarnya itulah keajaiban yang ada pada PR sekarang dan inilah yang paling ditakuti oleh Umno/Bn.

      Terdapat juga suara-suara sumbang di kalangan kita yang mengungkit segala jenis bantuan dan kerjasama sesama mereka sewaktu menghadapi pilihanraya.  Menjadi masalah bagi mereka apabila melihat penyokong-penyokong PAS lebih berminat bekerja di markas-markas PKR dari berada di markas PAS.  Timbul pula persoalan mengapa PAS lebih banyak membantu jentera PKR dari segi tempat ceramah, peralatan teknikal sehinggalah kepada kerja-kerja menampal poster diungkit kembali.  Ini memberi gambaran bahawa seolah-olah PKR langsung tidak membantu PAS sebaliknya PAS yang lebih banyak membantu PKR.  Kita tahu di dalam setiap pilihanraya diadakan, kesemua pimpinan PR akan bermesyuarat untuk menentukan pemilihan calon sehinggalah kepada strategi kempen dan pengagihan tugas.  Sudah tentu kesemuanya sepakat di dalam berbagai perkara dan sanggup bekerjasama menampung kekurangan parti-parti rakan mereka.  Oleh yang demikian, mengapa ada suara yang berbunyi mengungkit kembali apa yang telah disepakati ini?  Harus diingat, meskipun PKR kini menampakkan kekuatan lebih besar dari lima tahun yang lalu, tetapi hakikatnya PKR masih muda dan mentah berbanding dengan PAS.  Kerjasama PAS terhadap PKR terutamanya di dalam aspek jentera kempen termasuk lojistik banyak membantu kebangkitan PR bersama.  Amat tidak wajar samasekali jika perkara seperti ini ingin diperbahaskan.

     Saya amat tidak bersetuju jika ada yang berpendapat pandangan Mursyidul Am PAS terhadap PKR terutamanya gaya kepimpinan DS Anwar memperlihatkan PAS kini menyokong dasar PKR.  Apakah sokongan pimpinan DAP terhadap calon-calon PAS selama ini juga memberi erti pimpinan dan penyokong-penyokong DAP menyokong dasar Islam PAS?  Apakah sokongan penyokong-penyokong PAS kepada calon DAP juga turut memberi erti bahawa mereka menyokong dasar DAP?  Saya melihat pimpinan PAS lebih bijak di dalam mengatur strategi politik kerana berjuang di dalam politik demokrasi seperti di negara kita ini memerlukan strategi seperti berperang.  Berperang matlamatnya adalah untuk memusnahkan musuh tetapi tanpa strategi dan muslihat, terlalu sukar untuk menewaskan musuh.  Yang kurang bijak di dalam menafsirkan strategi politik PAS ini adalah beberapa kerat pimpinan PAS dan juga penyokong bawahan mereka.  Sebenarnya, Tuan Guru Nik Aziz tidak perlu menyuarakan pendapat dan sokongan kuat terhadap DS Anwar kerana di Kelantan PAS terlalu kuat untuk ditumbangkan tanpa bantuan PKR.  Tetapi, Tuan Guru Nik Aziz tidak memandang PAS Kelantan sahaja perlu diperkuatkan tetapi beliau mahu PAS berdiri gagah di persada politik tanahair.  Tetapi, usaha Tuan Guru Nik Aziz ini sering tidak difahami oleh segelintir pimpinan dan penyokong-penyokong PAS.

      Saya tidak melihat di mana silapnya peringatan Presiden PAS yang mahukan ahli-ahlinya komited di dalam mempertahankan dasar PAS.  Peringatan itu adalah wajib disampaikan oleh beliau selaku Presiden PAS dan peringatan itu sedikit pun tidak disanggah oleh mana-mana pemimpin PR yang lain kerana mereka arif itu adalah dasar PAS.  Cuma, ahli-ahli PAS sahaja yang perlu berpegang kepada dasar tersebut dan bagaimanakah cara terbaik untuk merealisasikan dasar yang ingin dibawa oleh PAS.  Apakah dengan menjauhkan diri dari rakan-rakan PR yang lain akan membantu merealisasikan dasar tersebut?  Sindrom anak-anak muda yang kadangkala dilihat seperti menyokong PAS dan kadangkala dilihat seperti menyokong PKR dan DAP seharusnya disyukuri kerana mereka tidak lagi cenderung kepada Umno/Bn.  Sikap buruk sangka perlu dihapuskan jika ingin bertahan lama dengan apa yang kita perolehi sekarang.  Terdapat anggapan anak-anak muda ini akan hanyut sekiranya PKR membentuk kerajaan adalah satu anggapan yang cetek.  PKR tidak akan membentuk kerajaan kerana yang berjuang sekarang untuk membentuk kerajaan adalah PR.  Sama ada PAS atau PKR yang menjadi pemimpin di dalam negara ini suatu hari nanti, yang pasti kerajaan ini sudah tentunya lebih baik dari kerajaan yang ada sekarang.

      Saya yakin, dengan penerangan demi penerangan oleh pemimpin-pemimpin dari PAS, PKR dan DAP kepada penyokong masing-masing betapa kerjasama rapat yang sedia ada ini harus dipertahankan, maka hilanglah keraguan dan syak wasangka sesama kita.  Di saat pemilihan pimpinan di dalam PAS ketika ini, mungkin terdapat beberapa suara dan nada yang ekstrim kedengaran.  Tidak kira siapa pun yang dipilih oleh PAS menjadi pemimpin mereka, yang penting pemimpin tersebut tetap akan menjinjing Al-Quran sewaktu menaiki takhta kepimpinan.  Keberkatan dan hikmah perjuangan PAS selama ini terutamanya pendekatan penuh bijaksana yang ditunjukkan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor suatu ketika telah mula menampakkan kesannya.  Apakah semua ini menggambarkan kita tersilap di dalam percaturan politik kita?  Jika kita merasa tersilap apabila kita melihat semua golongan bersama PR dan tidak bersama PAS semata-mata, maka perlulah kita mencari kaedah lain yang kita rasa kita mampu mencapainya..
 

MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA
 

W.FAUZDIN NS

Sumber Laman M@rhaen

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s