KEMENANGAN NIZAR : BUBARKAN SEGERA DUN PERAK

Ramai penganalisis politik menyifatkan kemenangan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat di pilihanraya kecil Bukit Gantang semalam sebagai satu referendum (pungutan suara) sekalipun anggapan itu tidak diterima oleh pemimpin parti pemerintah.

Dengan keangkuhan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Pengarah Pilihan Raya BN bagi tiga pilihan raya kecil semalam enggan menerimanya sebagai referendum jelas membelakang suara dan keputusan rakyat yang bakal mengundang padah yang lebih besar selepas ini.

Pilihanraya kecil Bukit Gantang itu dilihat sebagai satu referendum samada rakyat memilih Nizar dari Pakatan Rakyat atau Datuk Zambry Abdul Kadir dari BN, yang telah mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perak dengan perkenan Sultan Perak pada Februari lalu.

“Keputusan itu akan memberi tekanan terhadap kerajaan negeri yang sedia ada menunaikan segala janjinya kerana di dalam hal tertentu pilihanraya kecil tersebut adalah satu referendum tentang siapa sebenarnya yang dikehendaki oleh rakyat Perak sebagai peneraju kerajaan negeri,” kata Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre.

“Jurang kemenangan juga mengesahkan bahawa undi di peringkat negeri masih kukuh untuk Pakatan Rakyat dan jika diadakan pilihanraya negeri, keputusan akan tetap serupa,” tambahnya.

Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang hari ini dengan memperoleh sebanyak 21,860 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang mendapat 19,071 undi manakala calon Bebas, Kamarul Ramizu mendapat 62 undi.

Beliau mencatatkan majoriti 2,789 undi – berbanding 1,566 yang direkodkan oleh calon PAS pada Mac 2008.

Nizar dalam ucapan penerimaan keputusan itu, yang diumumkan secara rasmi kira-kira pukul 9.45 malam tadi, menyifatkan ia sebagai referendum rakyat mahukan kerajaan demokrasi, urus tadbir baik dan adil.

Malah beliau meminta agar Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan untuk membuka laluan kepada pilihan raya baru di negeri itu.

Keputusan pilihanraya Bukit Gantang ini juga membawa maksud rakyat Perak telah menolak dengan sekeras-kerasnya peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat oleh rakyat Perak mendalangi rampasan kuasa haram 5 Februari lalu.

Selain itu, yang penting yang diperolehi melalui keputusan ini ialah isu derhaka yang cuba diapi-apikan oleh Umno dan BN dalam kempen sebenarnya melantun ke muka mereka sendiri.

Rakyat tidak lagi percaya kepada tohmah dan fitnah yang ditaburkan oleh Umno dan BN malah apa sahaja dakwaan terhadap Pakatan Rakyat ditolak bulat-bulat oleh pengundi Bukit Gantang.

Bukit Gantang juga menjadi landasan baru yang akan menjadi titik tolak perubahan total dan menyeluruh yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat dalam senario politik negara.

Konsep politik baru yang diwar-warkan oleh Pakatan Rakyat nampaknya diterima baik oleh pengundi Bukit Gantang dan ini menjadi kayu pengukur bagi sentimen rakyat diseluruh negara.

Lebih-lebih lagi keputusan pilihan raya kecil ini membuktikan penolakan kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan cubaan awal beliau untuk memberi “gula-gula” politik kepada rakyat melalui dua “hadiah” sempena perlantikan beliau tidak dihiraukan rakyat.

Sumber Pinkturtle

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s