Najib perlu selesai politik Perak sebelum ajak Pakatan pulih ekonomi – Nik Aziz

KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) – Dato’ Seri Najib Razak wajar menterjemahkan saranannya yang mahu Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik supaya terlebih dahulu memulihkan kegawatan politik di Perak.

Ini kerana Timbalan Perdana Menteri itu dilihat banyak pihak sebagai orang yang bertanggungjawab menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di luar lunas demokrasi.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin terbabit perlu mempamerkan keikhlasannya bagi meredakan kecamukan politik di Perak dengan memohon kepada istana supaya dibubar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

Katanya, tiada cara lain lagi dalam situasi sekarang di Perak kerana pertembungan menggunakan undang-undang tidak boleh memuaskan hati semua pihak melainkan dikembalikan semula mandat kepada rakyat.

“Saya hairan kerana banyak pihak menunding jari ke arah Timbalan Perdana Menteri sebagai pencetus kepada krisis yang berlaku di Perak sekarang.

“Jadi bagaimana dengan mudah beliau mahu Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik bagi memberi fokus kepada perkembangan ekonomi dan rakyat,” katanya di sini.

Semalam Najib dilaporkan mengajak Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik untuk bersama-sama kerajaan persekutuan memberi fokus kepada ekonomi dan rakyat.

Beliau mengajak semua pihak supaya berganding bahu dan berusaha gigih untuk mengembalikan ekonomi negara ke landasan pertumbuhan yang lebih kukuh dan mampan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, biarpun ucapan Menteri Kewangan ketika membentang mini bajet kelmarin kelihatan bernas, namun pemulihan politik di Perak patut menjadi keutamaan kerana ia turut memberi kesan kepada perkembangan ekonomi.

Menurutnya juga peruntukan yang disediakan bagi merangsangkan ekonomi negara begitu besar dan ia perlu digunakan secara telus dengan mengamalkan tender terbuka dan bukannya mengutamakan kroni.

“Semua tender projek kerajaan perlu dibuat secara terbuka, berasaskan merit, dan track record syarikat yang diberi kontrak kerajaan bagi memastikan ia mendatangkan manfaat kepada rakyat dan bukan segelintir pihak sahaja,” katanya.

Mengenai bon syariat yang diumumkan dalam mini bajet tersebut bagi memperkasakan ekonomi Islam, kata beliau sepatutnya kerajaan melihat dalam konteks yang lebih luas mencakupi akidah Islam.

“Apa salahnya selain tumpuan kepada ekonomi Islam, kerajaan pusat juga mengutamakan akidah Islam sebagai dasar bagi memulihkan seluruh sistem dalam masyarakat termasuk aspek sosial dan keadilan di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau titik pertemuan tiga bangsa utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India hanya dapat disatukan melalui akidah dan syariat Islam.

Kata beliau sekiranya kerajaan sukar untuk melihat contoh pelaksanaan pentadbiran berasaskan Islam, modelnya sudah ada di Kelantan sekarang.

Antaranya penghapusan judi, larangan hiburan melampau, sistem pajak gadai Islam (al Rahn), bantuan Ladang Rakyat, skim Takaful Armalah dan Takaful Kifaalah sudah dilaksana di Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, program kebajikan itu diterima semua kaum di negeri ini.

Katanya juga Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah mengagungkan sesuatu bangsa melainkan menjadikan Islam sebagai teras kepada perpaduan nasional dan keadilan sejagat. – mj/mks._  Lanjusoh

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s