Publisiti murah,kebudak-budakan Pemuda Umno Kedah

ALOR SETAR, 1 Mac (Hrkh) – Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyifatkan tindakan Pemuda Umno menimbulkan isu bahawa Exco Kerajaan Negeri Kedah menghina Tuanku Sultan Kedah tanpa asas yang benar sebagai tindakan mencari publisiti murahan dan kebudak-budakan serta berniat jahat.

Beliau berkata demikian ketika diminta pihak media mengulas mengenai laporan polis yang dibuat Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada malam sebelumnya.

“Kita buat laporanlah pasai apa, pertama sekali kita nampak ini publisiti murahan yang dibuat oleh pemuda Umno. Kalau (pemuda Umno) nak buat laporan pun biarlah ada asas. Kerana saya difahamkan dia dapat satu nota yang kata begitu begini.

“Mungkin dia jumpa (nota tersebut) di pasar orang buang, dia ambik, dia tu pula tak ada kerja, dia pun cakap pasai nota tu. Jadi macam mana pulak dia pergi ambil benda yang tak ada sebarang kualiti dimasuk dalam berita dan TV3 pun siar sekali. Tak tahu nak bezakah di antara dialog ni; dua orang bercakap, di mana dialog (itu)?

“Ni cakap-cakap seperti ini dia ada ‘mala fade’, dia berniat buruk untuk memfitnah sebuah kerajaan dan mengheret Tunku Sultan dalam kes ini. Kita dukacitalah, patutnya bagi profesional sikitlah dalam hal ini. Sebab itu kita minta polis buat siasatan, orang yang buat laporan ini dia dapat dari mana (nota itu)?

“Mungkin dia sendiri yang buat dia kata orang kata (dibuat pihak lain), mungkin. Benda ni tak layanlah, benda ni kerja budak-budak!” tegasnya sambil menyindir pada sidang media selepas merasmikan Majlis Dialog Industri Dan Program Pembangunan Industri Halal Nasional Peringkat Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar, di sini semalam.

Disoal media kemungkinan pihak tersebut mempunyai agenda untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Dun Bukit Selambau, Ustaz Azizan tidak menolak kemungkinan itu.

“Kalau tak ada agenda dia buat untuk apa? Mesti ada agenda. Cari modal lainlah. Dia buat bising-bising macam tu yang untung kerajaan, orang simpati kepada kerajaan.

“Kerana kerja tu kerja tak ada asas, kalau ada asas tak apa juga. Ini tak ada tandatangan, yang tak ada tandatangan tu dia pergi cakap. TV3 Kuala Lumpur pun tak layan dah (kerja macam ini), Kedah saja TV3 layan lagi, tak berapa cerdik, buat rugi masa saja,” ujar beliau membidas stesen penyiaran tersebut.

Ditanya sama ada pihak istana memanggil beliau mengadap untuk menjelaskan perkara itu, Ustaz Azizan menegaskan bahawa tidak perlu untuk Tuanku Sultan memanggil beliau mengadap kerana beliau sendiri setiap minggu akan menghadap Tuanku Sultan.

“Tuanku tak perlu panggil mengadap, saya mengadap Tuanku tiap-tiap minggu. Baru ni saya mengadap Tuanku, saya sembang Tuanku senyum saja. Saya mengadap Tuanku setiap minggu, sebelum mesyuarat Exco. Baru ni saya mengadap Tuanku nak cerita tentang pelantikan Exco 3 Mac ini.

“Jadi sembang biasa, Tuanku pun (kata) “biasalah” Tuanku kata. Tuanku pun tahu yang buat kerja ni orang bodoh, Tuanku tak layanlah, kalau orang cerdik Tuanku layanlah. Orang bodoh nak layan buat apa, kalau kita layan orang bodoh kita pun bodoh macam dia juga.

“Tambah budak-budak (Pemuda Umno), susu mak dok ubuh di mulut lagi tu, baru habis susulah orang kata, baru berhenti menyusu saja. Biarlah, budak-budak.

“Hari tu dia (Pemuda Umno) melompat di Parlimen, kepung Karpal Singh. Tempik macam nak runtuh Parlimen tu, Karpal Singh jentik pun tidak. Patutnya jatuh Karpal Singh tu (dikerjakan mereka). Ini (buat) bising macam gembala kerbau!” tegas beliau menyebabkan sidang medianya itu diliputi gelak ketawa. – mks. _ Izwan Abdul Halim |izwan@harakah.net.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s