SELAMATKAN PERAK DARUL RIDZUAN DARIPADA MENJADI ‘DARUL RASUAH’

‘Detik 06hb Feb 2009 merupakan tragedi hitam dalam sejarah perjuangan rakyat Perak Darul Ridzuan dalam membina kerajaan yang ‘good governance’, adil dan berkebajikan…’

‘ Rampasan Kuasa ini menjadi faktor ‘Semangat Perak’ sebagai sebuah Darul Ridzuan dan negeri Madani mula terhakis…’

 


  
           Permulaan pemerintahan UMNO/BN secara ‘rasminya’ di Perak dimulakan dengan satu majlis angkat sumpah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. Tanpa dihadiri oleh 28 orang ADUN daripada Pakatan Rakyat menjadi simbol penolakan total kepada kerajaan rampasan kuasa ini. Di luar Istana Iskandariah Kuala Kangsar tiada sambutan percikan bunga api daripada rakyat untuk meraikan kejayaan rampasan kuasa ini.

            Namun sambutan ini ‘dimeriahkan’ dengan puluhan tembakan gas pemedih mata yang memenuhi ruang suasana sekitar luar Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Malahan diberitakan tembakan gas pemedih mata juga dihalakan ke Masjid Ubudiah untuk santapan mata rakyat sambil rakyat berlinangan  air mata kepedihan gas pemedih mata tersebut. Satu gambaran tragis permulaan terhadap pemerintahan UMNO/BN selepas ini yang bakal menyaksikan kemerdekaan dan kebebasan rakyat mula terhakis sedikit demi sedikit.

           Belum pernah berlaku dalam sejarah moden Perak apabila menyaksikan kegawatan siasah yang hebat dan getir ini. Perak selepas ini untuk seketika mempunyai dua orang Menteri Besar dalam satu masa. Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan lantikan daripada rakyat Perak pada 08 Mac 2008 manakala Dr Zambri Abdul Kader merupakan Menteri Besar hasil satu rampasan kuasa yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri.

           Di media-media pro-UMNO/BN isu derhaka kepada Sultan kembali dikumandangkan. Ianya cuba mengalihkan isu utama yang menjadi penyebab kemelut siasah negeri Perak ini. Isunya ialah soal penculikan politik, ugutan dan ancaman yang menyebabkan ketidaktentuan dalam politik. Persoalan rampasan kuasa ini cuba ditutup daripada dibincangkan dalam masyarakat. Dalam soal ini rakyat jelas sudah membuat pilihan pada 08hb Mac 2008 dengan memberikan sokongan penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat.

           Kemelut rampasan kuasa ini juga menyebabkan berlakunya krisis perlembagaan. Tafsiran terhadap beberapa undang-undang dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak sewajarnya diserahkan kepada pihak mahkamah dalam menentukan tafsiran yang tepat. Fakta kes rampasan kuasa ini yang bermula dengan keluarnya 2 Adun daripada PKR dan seorang daripada DAP dengan mengistiharkan diri sebagai Bebas mewujudkan pelbagai andaian umum.

           Kes perbicaraan rasuah dua bekas ADUN daripada PKR bermula pada 10hb Februari ini bakal menjadi perhatian utama. Kita menjangkakan mungkin kes ini akan ditangguhkan lagi untuk satu tempoh masa yang mungkin agak lama. Apa-apa keputasan yang berlaku bakal mengundang pelbagai spekulasi.

           Jika disabitkan kesalahan pasti kedua-duanya akan gugur jawatan sebagai ADUN.Pastinya Kerajaan BN Perak akan tumbang sekali lagi dalam tempoh yang paling singkat dalam sejarah. Manakala jika dibebaskan pasti wujud persepsi bahawa ia akan menjadi asas kepada kes bahawa lompat parti itu adalah disebabkan mungkin tawaran pembebasan daripada tuduhan rasuah ini.

           Fakta kini ialah kerusi ADUN daripada Pakatan Rakyat ialah 28, dan ADUN BN juga 28 kerusi, 3 ADUN daripada Bebas. Jumlah keseluruhan ialah 59 kerusi. Kewujudan kerajaan baru BN Perak kini berdiri atas ‘belas ehsan’ 3 ADUN Bebas yang bermasalah besar. Cukuplah  jika hanya dua sahaja ADUN Bebas atau BN bertukar fikiran dan menyertai kembali Pakatan Rakyat maka tumbanglah kembali Kerajaan BN di Perak.

           Justeru pembubaran DUN dilihat sebagai jalan terbaik untuk mendapatkan sokongan rakyat. Biar rakyat yang diberi hak untuk membuat kembali pilihan mereka sendiri. Apa yang berlaku kini ialah tindakan keluar parti disebabkan kronologi kehilangan misteri mereka beberapa hari terakhir dan hanya tiba-tiba muncul semasa satu sidang media bersama TPM di Putrajaya.

           Apakah budaya penculikan politik ini akan menjadi-jadi lagi jika TPM kini menjadi Perdana Menteri kelak. Apa jaminan pula selepas ini ahli-ahli politik di Malaysia dan rakyat merasa selamat daripada menerima nasib serupa ?.

           Rakyat seluruh negara kini amat bimbang kepada krisis rampasan kuasa di Perak ini. Yang dibimbangi ialah rasuah akan terus menjadi-jadi selepas ini. Ianya disebabkan proses cubaan untuk ‘membeli’ ADUN-ADUN daripada Pakatan Rakyat terus berjalan. Malahan barisan exco yang dilantik kelak bagai menimbulkan pelbagai isu yang akan timbul.

           Apakah barisan exco ini bakal mengisi salah seorang daripada  4 orang  ADUN yang berpaling tadah sebelum ini ? Bagaimana pula dengan imbangan barisan exco yang dilihat tidak memperlihatkan keseimbangan antara kaum yang akan menjejaskan hubungan kaum selepas ini ?

           Rakyat kini sedang menilai 100 hari pertama pemerintahan Dr Zambry Abdul Kader dalam membawa pembaharuan dan ‘good governance’. Apakah juga Dr Zambry Abdul Kader mampu bertahan sebagai Menteri Besar Perak dalam tempoh 100 hari ini. Apakah juga beliau mampu berhadapan dengan satu kes besar yang bakal dikemukakan di Mahkamah untuk mencabar kedudukannya sebagai Menteri Besar yang sah di sisi perlembagaan dan undang-undang.

           Menilai situasi kini dijangkakan ketidaktentuan bakal berlaku dalam pentadbiran 100 hari Dr Zambry sebagai Menteri Besar. Majoriti rakyat pastinya sukar menerima realiti rampasan kuasa ini kerana jelas rakyat diketepikan dalam proses membuat pilihan. Rakyat juga tidak dapat menerima bagaimana UMNO/BN kini berusaha melaga-lagakan antara pihak Istana Perak dan rakyat yang cintakan keadilan.

           Isu soal hormat kepada Sultan kembali dicanang oleh propaganda UMNO/BN. Seolah-olah mereka jaguh seperti Hang Tuah yang mempertahankan nasib Sultan-Sultan Melayu. Mereka sebenarnya lupa kepada fakta dan sejarah siapakah yang sebenarnya telah mencabut kekebalan institusi Kesultanan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

           Siapakah juga yang telah ‘merantai’ institusi Kesultanan Melayu sehingga menyebabkan Kesultanan Melayu hanya dilihat bertindak sebagai ‘rubber stamp’ ?. Rakyat tidak pernah lupa kepada apa yang dilakukan oleh UMNO/BN kepada krisis perlembagaan terhadap Kesultanan Melayu yang telah berlaku dahulu. Perlu diingat Hang Jebat mati bukan kerana derhaka kepada Sultannya tetapi Hang Jebat mati kerana berjuang menegak keadilan dan memperjuangkan kebenaran serta menentang sebarang bentuk kezaliman.

           Barisan kepimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah berhasrat derhaka kepada Kesultanan Melayu. Tetapi mereka ikhlas membetulkan kesilapan yang mungkin ada berlaku. Mereka menuntut sistem yang adil dan membawa kerajaan yang bersih dan telus. Malahan institusi Kesultanan Melayu terus dipertahankan malahan terus diperkasakan.

           Rakyat Malaysia juga sudah muak melihat lakonan murahan ini, bagaimana UMNO/BN memperlakukan kesultanan Melayu sebelum ini di Perlis dan Terengganu. Apakah mereka UMNO/BN sudah lupa. Perlu diingat membetulkan apa yang silap dalam keputusan yang dibuat oleh Sultan bukannya bermakna derhaka. Tetapi bagi memastikan amanah rakyat dipelihara di samping memastikan Kesultanan Melayu terus dihormati dan disegani.

           Derhaka kepada rakyat itu lebih besar kesannya kepada negara dan tamadun. Amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dipandang ringan. Memperkenankan berlakunya rasuah dan penyelewangan kuasa juga merupakan satu penderhakaan yang cukup besar kerana ianya akan dibicarakan di Mahkamah Agung di Padang Mahysar di Akhirat kelak !.

           Sejarah kegemilangan Islam sudah memperlihatkan bagaimana sikap Saidina Umar Al-Khattab menerima kritikan dan pandangan berbeza daripada rakyatnya dengan sikap terbuka dan berlapang dada. Status sebagai Khalifah Islam adalah yang tertinggi dalam pentadbiran negara pada ketika itu. Namum mempertikaikan keputusan yang dibuat tidak pernah dianggap sebagai satu penderhakaan tetapi jelasnya adalah untuk menyelamatkan khalifah daripada menjawab persoalan besar di Padang Mahsyar kelak.

            Ini sifat sebenar pemimpin agung dan hebat yang mampu menerima pendapat daripada rakyatnya walaupun khalifah mempunyai pandangannya sendiri. Keadaan ini yang sepatutnya wujud dalam soal membina kepercayaan kepada memperkasakan Kesultanan Malayu. Rakyat tidak pernah ada niat untuk derhaka tetapi rakyat ihklas dalam memberi pandangan yang berbeza semata-mata untuk kesejahteraan negeri dan negara.

            Para penganalisis menjangkakan dan apa melihat fakta situasi kepimpinan Dr Zambry akan berada terumbang-ambing. Ianya dijangka apabila berlakunya sedikit salah faham dengan ADUN Bebas ini pasti tumbang juga kerajaannya. Beliau juga pasti tidak mampu membuat keputusan besar untuk membawa pembaharuan serta kerajaan adil dan telus kerana keputusannya terpaksa bergantung ‘belas ehsan’ daripada ADUN-ADUN yang melompat ini.

           Kesetiaan ADUN Bebas ini boleh dipertikaikan kredibilitinya kerana mempunyai prinsip perjuangan yang kabur kini. Apakah kepentingan peribadi akan lebih diutamakan selepas pandangan rakyat diketepikan selama ini. Tidak mustahil juga di kalangan ADUN BN juga boleh mengalihkan sokongan kepada kerajaan sebelum ini jika mereka diketepikan dan kecewa terhadap sesuatu perkara walaupun isu-isu kecil. Jelas kini kepimpinan Dr Zambry Abdul Kader berada dalam kedudukan yang amat lemah untuk membawa Perak menjadi sebuah negeri Madani serta ‘good governance’.

           Selepas ini pastinya rakyat juga mahu melihat peristiharaan harta Dr Zambry Abdul Kader bersama barisan exconya. Mampukah beliau menjalankan urusan pentadbiran dengan telus dan amanah seperti yang ditunjukkan oleh Kerajaan pimpinan Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Rakyat akan menilai prestasi kedua-dua pimpinan ini yang pasti PRU-13 bakal menjadi tarikh penting untuk rakyat membuat keputusan penilaian.

           Kita juga mahu melihat perjuangan membentuk good governance kerajaan negeri Perak di bawah Dr Zambry benar-benar komited dan konsisten. Selepas tarikh perbicaraan dua ADUN bebas ini apakah beliau mampu untuk berbuat sesuatu untuk memastikan barisan pentadbirannya bersih dan bebas daripada rasuah?.

           Rakyat Perak pastinya tidak mahu melihat Perak yang dikenali ramai sebagai sebuah negeri dengan gelaran Darul Ridzuan akan bertukar pula kepada ‘Perak Darul Rasuah’. Cabaran membanteras rasuah dan membawa good governance adalah amanah yang perlu dilaksanakan dalam 100 hari pertama beliau mengetuai pentadbiran negeri Perak.

           Akhirnya, semua mengharapkan agar kuasa rakyat dikembalikan, peranan Kesultananan Melayu diperkasakan dan membina sebuah negeri madani serta ‘good governance’ dilaksanakan. Asas membina sebuah tamadun yang gemilang bermula daripada perjuangan rakyat yang cinta kepada keadilan,pemimpin yang istiqamah membawa keadilan, para ulama yang terus mendidik ummah dan keihlasan kepada para pejuang-pejuangnya.
 

KE ARAH  DUNIA YANG LEBIH ADIL DAN AMAN
 

Mohd Ezli Mashut   (LL.B Hons)
ezli007@hotmail.com
THE BEST OF THE BEST

Blog : www.ezli007.blogspot.com

Sumber Laman M@rhaen

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s