BERNAMA salah lapor kenyataan Aziz Bari

IPOH, 9 Feb (Hrkh) – Bernama telah membuat laporan yang silap mengenai kenyataan Profesor Dr Abdul Aziz Bari Jumaat lalu. Bagaimanapun beliau mengakui ia mungkin berlaku kerana beliau sendiri tersasul dalam perbualan telefon dengan wartawan dari agensi berita berkenaan.

Aziz berkata beliau tidak bermaksud mencadangkan supaya sultan menarik balik perlantikan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin. Beliau berkata ini tidak boleh dilakukan kerana sultan tidak mempunyai kuasa berbuat demikian di sisi perlembagaan.

Profesor undang-undang itu berkata apa yang boleh dilakukan ialah menarik balik perlantikan Dato Dr Zambry Kadir atas alasan salah pertimbangan atau salah kira.

“Itu pernah berlaku di Sabah pada 1985 apa TYT Tun Adnan Robert menarik balik perlantikan Tun Datu Mustapha selaku Ketua Menteri Sabah atas alasan beliau ditekan oleh beberapa orang yang menceroboh masuk ke kediaman rasmi beliau”, jelas Aziz.

Harakah cetak edisi Isnin (Bil1413, 9-12 Februari 2009) memuatkan laporan Bernama mengenai kenyataan Aziz pada halaman N.9 Dalam kes berkenaan Tun Mustapha menyaman Tun Adnan Robert tetapi ditolak oleh mahkamah.

Bagaimanapun Aziz menjelaskan soal itu ialah soal teknikal dan apa yang lebih penting di Perak sekarang ialah cadangan beliau untuk menyelesaikan kemelut dan krisis politik yang berterusan. Beliau berkata krisis itu sudah berlanjutan dan perlembagaan tidak menyediakan sebarang peruntukan untuk menanganinya. Aziz berkata menunggu keputusan mahkamah agak lama dan ketika itu ia mungkin terlambat dan keadaan sudah semakin teruk.

“Dalam keadaan sekarang sultan mempunyai autoriti untuk mengambil beberapa langkah drastik dan tidak ada siapa pun termasuk mahkamah yang boleh mempersoalkannya”, tegas beliau.

Aziz berkata di bawah teori undang-undang perlembagaan sultan mempunyai kuasa khas atau kuasa simpanan untuk membubarkan dewan tanpa permintaan dari kerajaan yang ada. Beliau berkata keadaan sekarang kelam kabut dan sultan tidak boleh memberi perintah atau arahan kerana kerajaan tidak bergantung kepada mandat istana.

“Bagaimanapun sultan boleh bertindak atas sifat sebagai pelindung atau penjaga negeri dan perlembagaan. Kuasa ini meskipun kontroversial ia boleh digunakan untuk melaksanakan demokrasi. Bagaimanapun ia tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi sultan. Ia mesti digunakan dalam konteks menjernihkan keadaan dan memulihkan demokrasi”.

Aziz berpendapat apa yang dilakukan oleh istana Terengganu Mac 2008 lalu sebenarnya adalah kuasa khas atau kuasa simpanan. Ini kerana, katanya, perlantikan itu tidak mengikut peruntukan biasa yang menangani isu perlantikan. Ketika itu Umno, yang memiliki majoriti dalam DUN Terengganu, mahukan Dato’ Seri Idris Jusoh yang bagaimanapun ditolak oleh istana. Apa yang menarik ialah perlantikan itu disenangi oleh rakyat.

Di Perak sultan boleh menggunakan pertimbangan yang sama untuk membubarkan dewan bagi membolehkan pilihan raya. Jika dilihat kepada reaksi rakyat dan beberapa pungutan suara jelas rakyat mahukan dewan dibubarkan.

Aziz berkata cara sultan melantik Zambry sebenarnya betul di dalam keadaan yang biasa. Dan itulah yang dilakukan oleh Sultan Selangor, Raja Perlis dan Raja Nazrin sendiri Mac 2008 lalu.

Bagaimanapun, kata Aziz, dalam konteks pergolakan politik di Perak minggu lalu yang merupakan kemuncak kepada beberapa kejadian misteri seperti kehilangan, penculikan dan dakwaan rasuah formula tersebut tidak tepat dan ini jelas kelihatan dalam protes yang meletup selepas Sultan melantik Zambry.

Aziz berkata sultan boleh menangguhkan perlantikan tersebut apalagi di dalam keadaan kerajaan yang ada telah pun memfailkan saman mengenai status tiga ADUN yang menjadi misteri itu.

“Pendeknya, formula yang dipakai oleh sultan meskipun betul bukanlah merupakan ubat yang sesuai bagi penyakit yang sudah kronik itu. Takkanlah kita nak beri panadol setiap kali kita pening kepala. Mungkin pening kepala itu petanda penyakit lain”, ujarnya dan Aziz berpendapat undang-undang perlu ditafsir dalam konteks moden.

“Sekarang kita ada emel, blog dan segala macam. Pada 1956 itu semua tidak ada. Dan sebab itulah perlembagaan meletakkan budibicara yang seolah-olah mutlak di tangan Raja. Hari ini dengan teknologi canggih yang ada kita tahu apa yang rakyat mahu dan mereka jelas hendakkan pilihan raya.

“Pada saya tidak wajar faktor itu tidak diambilkira. Dan kita jangan lupa Suruhanjaya Reid mengingatkan Raja-Raja supaya meletakkan kepentingan negara dalam soal pembubaran dewan,”katanya.

Aziz mengakui memang ada insiden penolakan permintaan pembubaran dewan sebagaimana yang berlaku di Kelantan pada 1977. Tetapi, katanya, tindakan Pemangku Raja ketika itu – Sultan Kelantan sekarang – adalah betul di dalam suasana ketika itu. Prinsip Kelantan tidak boleh digunapakai di Perak dalam senario 2009.

Aziz menjelaskan meskipun peruntukan mengenai perlantikan kerajaan dan pembubaran dewan semacam berasingan kedua-duanya harus ditafsir bersama. Jika tidak akan berlaku kekecohan sebagaimana yang wujud di Perak sekarang.

Aziz menyebut bahawa dalam satu syarahan di INTAN tahun lalu Raja Nazrin sendiri menegaskan bahawa “Raja-Raja tidak pekak dan bisu”. – azm _

Tarmizi Mohd Jam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s