Kes 2 Adun Perak: Antara patung KeADILan dan patung Umno

Peletakan jawatan dua Adun Perak iaitu Adun Behrang dan Adun Changkat Jering kini menjadi isu yang panas.

Kedudukan dua kerusi Dun itu menimbulkan tanda tanya apabila Speaker Dun Perak, V Sivakumar mengeluarkan kenyataan media bahawa Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu telah menghantar surat perletakan jawatan. Bagaimanapun, tidak sampai tiga jam selepas itu, Jamaluddin dan Mohd Osman menafikan sekeras-kerasnya mereka berbuat demikian. Sivakumar telah pun menyerahkan surat rasmi memaklumkan kekosongan kerusi Dun Behrang dan Dun Changkat Jering kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, Ahmad Adli Abdullah.

SPR memutuskan bahawa surat peletakan jawatan tersebut ada keraguan dan memutuskan kerusi kedua-dua Dun tersebut adalah kekal. Bagi saya tindakan SPR adalah tidak sah. Saya nampak tujuan SPR membuat keputusan tersebut lebih kepada memindahkan beban membukti peletakan jawatan itu sah kepada pihak Speaker dan Kerajaan Negeri Perak.

Dengan lain perkataan kini bukan kedua-dua Adun tersebut yang perlu membuktikan bahawa peletakan mereka tidak sah sebaliknya pihak Speaker dan Kerajaan Negeri Perak pula kena buktikan yang perletakan jawatan kedua-dua Adun tersebut sebagai tidak sah. Dengan tiada keperluan mengadakan pilihan raya kecil kini tiada halangan bagi kedua-dua Adun tersebut untuk ‘membelot’ dan melompat menyertai Umno.?

Para pembaca, saya percaya, ingin tahu adakah peletakan jawatan kedua-dua Adun tersebut adalah sah di sisi undang-undang?

Pertamanya mari kita dengar terlebih dahulu daripada mereka yang mengatakan peletakan jawatan tersebut tidak sah. Hujah mereka bersandarkan kepada alasan-alasan berikut:-

a. Surat yang mendakwa mereka meletakkan jawatan itu sebenarnya surat lama tanpa tarikh. Mereka dan lima lagi Adun KeADIlan lain menandatangani surat itu pada Mac tahun lalu sebaik sahaja pakatan PAS, DAP dan KeADILan membentuk kerajaan di negeri Perak. Seseorang Adun tidak seharusnya memberikan mana-mana pihak surat peletakan jawatan apabila ia dipilih sebagai wakil rakyat. Orang yang dipilih oleh rakyat mesti diberikan kebebasan untuk bertindak (freedom to act). Beliau tidak boleh disekat untuk mencabar apabila ada pihak menyerahkan surat peletakan jawatannya yang tidak bertarikh mengikut sesuka hati pihak tersebut.

b. Terdapat keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 1982 di dalam kes antara ahli parti Sarawak United People’s Party (SUPP) Dato’ Ong Kee Hui lawan? Presiden SUPP iaitu Sinyium anak Mutit yang memutuskan mana-mana ‘arrangement’ menyerahkan surat peletakan jawatan seorang wakil rakyat kepada Speaker adalah bertentangan dengan polisi awam dan dengan itu ia adalah tidak sah.

Di dalam kes tersebut Mahkamah Persekutuan telah memutuskan seperti berikut:- “The candidate so chosen must also be free to act according to the best of his ability and his judgment and should not be subjected to the dictates of others. Therefore, any rule or contract with or without consideration which contravenes this freedom strikes at the very root of representative government and is therefore void and also against the public policy.”

(Terjemahan: mana-mana calon mestilah diberi kebebasan untuk bertindak mengikut kemampuan dan perkiraannya sendiri tanpa tertakluk kepada arahan orang lain. Oleh itu sebarang peraturan atau kontrak tanpa sebarang balasan adalah bertentangan dengan kebebasan ini. Oleh itu ia melanggar asas kerajaan yang diwakili dan dengan itu ia adalah tidak sah kerana bertentangan dengan dasar awam.

Secara ringkasnya mereka yang menyatakan bahawa perletakan jawatan kedua-dua Adun tersebut adalah tidak sah berhujah di atas asas kerana ia dikatakan melanggar prinsip kebebasan kedua-dua Adun tersebut. Peguam Dato’ Muhammad Shafee Abdullah berkata tindakan meminta kedua-dua Adun tersebut menandatangani surat peletakan jawatan tanpa mengandungi tarikh menjadikan kedua-dua Adun tersebut sebagai patung (puppet) yang talinya ditarik oleh parti-parti politik (whose strings are being pulled by respective political parties).

Saya berpendapat peletakan jawatan tersebut adalah sah. Hujah saya adalah seperti berikut:-

a. Di dalam kita menentukan sama ada peletakan jawatan tersebut adalah sah atau tidak adalah dengan pertamanya kita melihat peruntukan Perlembagaan Negeri Perak mengenai peletakan jawatan seseorang Adun. Saya sempat melihat peruntukan tersebut. Ia terkandung di dalam Perkara xxxv Perlembagaan Negeri Perak yang secara jelas memperuntukkan bahawa seseorang Adun tersebut boleh meletakkan jawatan sebagai Adun dengan menulis surat yang dialamatakan kepada Speaker.

b. Berdasarkan Perkara xxxv Perlembagaan Negeri Perak apa yang penting adalah terdapat surat peletakan jawatan dan surat perletakan jawatan tersebut dialamatkan kepada Speaker. Di dalam kes kedua-dua Adun ini adalah jelas terdapat surat yang mengandungi tandatangan kedua-dua Adun tersebut dan surat tersebut telah dialamatkan kepada Speaker. Atas dasar ini surat peletakan jawatan tersebut adalah memadai dan sah kerana ia memenuhi peruntukan xxxv Perlembagaan Negeri Perak.

c. Daripada apa yang dilaporkan di akhbar, kedua-dua Adun tersebut tidak menafikan ada menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Adun tetapi mempersoalkan keesahannya kerana surat tersebut tidak bertarikh dan kononnya tandatangan dibuat secara paksa. Saya berpendapat, hujah ini amat rapuh kerana jika dilihat kepada peruntukkan xxxv tidak mensyaratkan tentang keperluan adanya tarikh dalam surat peletakaan jawatan tersebut. Tentang tandatangan dibuat secara paksa saya juga berpendapat ia satu hujah ‘afterthought’ (datang kemudian). Kenapa sejak daripada awal kedua-dua Adun tersebut tidak membangkitkan hal dipaksa tersebut. Kenapa semasa mereka disuruh tandatangan surat tersebut sebelum mereka mengangkat sumpah menjadi exco dahulu mereka tidak pernah sama sekali membangkitkan bahawa mereka dipaksa tandatangan surat tersebut.

d. Di dalam menilai sama ada surat peletakan jawatan tersebut sah atau tidak kita perlu melihat dan mengambil kira sama ada kedua-dua calon tersebut bertanding atas tiket calon bebas atau atas tiket parti politik tertentu. Jika mereka bertanding atas tiket calon bebas, jelas tidak ada pihak boleh memaksa mereka menandatangani surat peletakan jawatan. Bagaimanapun apabila mereka bertanding atas tiket partai tertentu seperti apa yang berlaku sekarang, mereka tidak boleh bertindak sesuka hati mereka. Mereka kena faham bahawa rakyat mengundi bukan atas peribadi mereka tetapi kerana parti yang mereka bertanding. Oleh itu segala tindakan mereka tidak bebas seperti bebasnya seorang calon bebas. Mereka kini mewakili parti yang mereka bertanding. Oleh itu jika parti mengarahkan mereka tandatangani surat peletakan jawatan ianya tidak boleh dilihat sebagai satu tindakan memaksa. Tiada siapa paksa mereka bertanding atas tiket KeADILan kecuali dengan kehendak mereka sendiri.

Mereka menang dan dipilih bukan kerana kehebatan mereka tetapi kerana parti politik yang mereka dukung. Adalah tidak logik dan munasabah semasa mereka menang mereka tidak menimbulkan mereka dipaksa oleh KeADILan tetapi apabila mereka mula ‘menghilang diri’ dan dipercayai mempunyai sebab untuk membelot kini mereka membangkitkan pulu isu mereka dipaksa untuk meletak jawatan?

e. Saya bersetuju dengan hujah Muhammad Shafee yang menyatakan tindakan meminta kedua-dua Adun tersebut menandatangani surat peletakan jawatan tanpa mengandungi tarikh menjadikan kedua-dua Adun tersebut sebagai patung (puppet) yang talinya ditarik oleh KeADILan. Bagaimanapun tidakkah Shafie juga melihat tindakan kedua-dua Adun tersebut yang tiba-tiba hilang dan tidak dapat dihubungi oleh pimpinan parti mereka dan juga Menteri Besar Perak sendiri menunjukkan ada pihak lain selain KeADILan yang juga sedang menjadikan kedua-dua Adun ini sebagai patung ‘baru’ yang mungkin lebih mahal – siapa tahu mungkin patung baru ini kini bernilai RM50 juta! – lanh _ Mohamed Hanipa Maidin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s