Peluang terbuka kepada lebih ramai wakil rakyat BN sertai PR

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Hrkh) – Sikap para pemimpin Umno membuka peluang kepada lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) membuat keputusan menyertai Pakatan Rakyat (PR), kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, jika para pemimpin Umno dan BN boleh menerima ADUN PR melompat parti menyertai parti pemerintah itu, mereka tidak lagi boleh bercakap mengenai undang-undang anti lompat malah mereka tidak lagi boleh menyekat lebih ramai ADUN dan Ahli Parlimen mereka menyertai PR.

“Jika Umno dan BN boleh menerima adanya ADUN PR menyeberangi parti itu, Umno dan BN sepatutnya tidak lagi boleh menyekat ADUN dan Ahli Parlimen mereka lebih ramai menyertai PR.

“Ini peluang terbuka kepada lebih ramai ADUN dan Ahli Parlimen Umno dan BN membuat keputusan mereka dalam masa terdekat, lebih-lebih selepas patern pemilihan UMNO selesai akhir Mac ini,” kata Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu.

Husam juga menyifatkan Umno dan BN lebih tergugat kedudukannya dengan sikap para pemimpin Umno itu.

“Kalau akhbar The Star online pagi ini menulis kerajaan Perak di ambang tumbang dengan isu dua ADUN ini, kedudukan kerajaan BN lebih-lebih lagi tergugat.

“Ia mungkin tumbang dengan polisi kerajaan BN bahawa bertukar pemain diizinkan. Satu lagi penyeberangan, Umno akan goyang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ada kemungkinan ADUN dari PR di Perak akan menyertai BN.

“(Mereka akan) diterima dengan baik kerana itu pilihan mereka dan mereka hendak menyertai kita dalam perjuangan yang lebih besar dalam Umno dan BN… menjadi satu pengalaman baru dan memberi kesempatan untuk berjuang (dalam BN),” kata Perdana Menteri.

Husam menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu membawa maksud BN boleh menerima konsep pertukaran kedudukan parti.

“Undang-undang lompat nampaknya bukan pilihan BN bila ada ADUN atau Ahli Parlimen yang akan menyertai BN,” katanya.

Beliau juga menyindir ADUN yang dijangka akan melompat parti dan para pemimpin Umno apabila ADUN tersebut tiba-tiba keluar dari persembunyiannya apabila Speaker DUN Perak, V Sivakumar mengumumkan beliau menerima surat pengosongan kerusi dua ADUN yang disebut ‘hilang’ kerana ‘dikurung’ dan gagal dihubungi itu.

“Berita pengosongan kerusi dua ADUN berkenaan segera menggemparkan negara. Jam sepuluh malam tadi, bekas ADUN Behrang tiba-tiba muncul dari ‘kurungan’ atau kehilangan misteri.

“Beliau tiba-tiba ada. Beliau menafikan bersetuju meletakkan jawatan ADUN. Beliau mengesahkan akan keluar dari PKR tetapi akan menjadi ADUN bebas.

“Inikah salah seorang yang didakwa PM akan menyertai BN?” kata Husam dengan nada menyindir.

Dilihat dari gaya berita tersebut, katanya, Jamaluddin sebenarnya tidak berhasrat meletakan jawatan sebagai ADUN tetapi surat persetujuannya meletakkan jawatan ADUN yang telah ditandatangani sebelum ini mungkin telah digunakan untuk dimajukan kepada Speaker.

“Maknanya, Jamaluddin bersetuju keluar parti dalam proses menjayakan apa yang disebut Abdullah tetapi tidak mengjangka langkahnya dihalang dengan tindakan pengosongan kerusi.

“Jamaluddin mungkin terkejut. Itu menyusahkan beliau,” katanya.

Pemimpin Umno yang mungkin bersama merancang penyeberangan juga sudah tentu terkejut, katanya lagi.

Husam menyifatkan reaksi tersebut menunjukkan pilihan raya semula adalah sesuatu yang tidak mereka gemari kerana “mereka nak kerusi percuma dan tak mahu berhadapan semula dengan pengundi”.

“Bagi Jamaluddin, pilihanraya semula bererti ‘mati’? Jamaluddin tentu bertambah cemas menjelang perbicaraan kes beliau 10 Februari ini.

“Jika tiba-tiba kes beliau gugur, tentulah dunia mengesyaki kerajaan BN sudah sedemikian teruk dan rule of law adalah menjadi mainan semata-mata. Kalau kes diteruskan, ‘perniagaan’ beliau ternyata amat tidak menguntungkan.” kata Husam.

Berikutan pengumuman pengosongan kerusi itu, kata beliau lagi, adalah mustahak untuk dilihat samada pemimpin Umno menyokong atau tidak satu pilihan raya kecil diadakan.

“Jika tidak, Umno telah tersilap langkah dan pengumuman Abdullah telah menjejaskan strategi Umno samada untuk mendapatkan ADUN percuma maupun stand Umno dan BN tentang lompat parti. Selepas ini, Umno dan BN tidak lagi boleh bercakap mengenai undang-undang anti lompat.

“Abdullah yang pada mulanya telah ceria dengan bakal berita penyeberangan, sudah tentu tercabar kredibilitinya. Watak beliau kelihatan seperti Pak Kadok – pengumuman Pak Kadok mengundang malang.”kata Husam._ Abdul Aziz Mustafa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s