EZAM – SELEPAS KOTAK, KINI SURAT PULA

Dikhabarkan bahawa Raja Sesumpah akan mengedarkan surat DS Anwar kepada Mahathir sewaktu DS Anwar mula-mula dipecat.  Kita ingin memberitahu Ezam, biar seribu atau berjuta pun surat-surat DS Anwar yang dia nak edarkan, yang penting sekarang rakyat tidak lagi mengambil tahu sejarah lampau DS Anwar ketika beliau di dalam UMNO mahupun ketika beliau mula-mula dipecat.  Semua rakyat kini mengenali DS Anwar telah jauh berubah, insaf dan sebagai tanda keinsafan beliau, DS Anwar sanggup terpenjara dan terus berjuang untuk rakyat di negara ini.  DS Anwar telah pun menerima `kifarat’ daripada  segala kesilapan yang telah beliau lakukan sewaktu di dalam UMNO.

     Apa yang penting sekali untuk rakyat ketahui,  DS Anwar tidak lagi bersama parti UMNO yang telah melalaikannya.  DS Anwar tidak malu untuk berubah dan tidak malu untuk turut sama-sama berjuang seperti Parti PAS.  Tetapi bagaimana dengan Ezam?  Beliau tidak seperti DS Anwar yang mampu bertahan untuk mengalami kesusahan demi membela rakyat.  Ezam mengambil langkah berundur dan menapak ke belakang kerana tidak sanggup lagi berjuang untuk rakyat.  Beliau hanya pentingkan diri sendiri walaupun pada mulanya beliau kelihatan ingin berubah seperti DS Anwar.  Ezam sanggup jadi pencacai UMNO walaupun terpaksa memijak kepala rakan-rakannya dahulu.  Semua rakyat tahu, DS Anwar banyak melakukan kesilapan semasa di dalam UMNO kerana UMNO tidak perlukan kepada sesiapa untuk memperbaiki kapalnya.  UMNO hanya dikendalikan oleh pemimpin elit mereka sahaja dan ahli-ahlinya umpama kerbau yang dicucuk hidung.

     Betapa buruk pun tingkah laku DS Anwar semasa di dalam UMNO ataupun ketika beliau mula-mula dipecat, tidak sedikit pun menghilangkan kepercayaan rakyat terhadapnya sekarang.  Berbeza sekali dengan Ezam, beliau bercakap seolah-olah beliau tidak pernah berada di dalam UMNO dan tidak mengetahui kejelikan parti sekular tersebut.  Beliau sentiasa menceritakan sejarah keburukan lampau DS Anwar seolah-olah selama ini Ezam menganggap DS Anwar umpama Malaikat.  DS Anwar telah menjadikan kisah lampaunya sebagai pengajaran untuk mengubah negara ini ke arah yang terbaik.  Tetapi Ezam menjadikan kisah lampau orang lain untuk mempopularkan dirinya agar beliau dilihat seperti Pahlawan UMNO.  Jika itu cita-cita Ezam, lupakan saja kerana di dalam UMNO ketika ini sudah terlalu ramai hendak menjadi Pahlawan.  Ezam mungkin boleh menjadi Pahlawan Bangsawan saja di pentas UMNO dengan skrip-skrip usangnya atau syair `Sumpah Keramat’nya.

     `Raja Sesumpah’ atau `Raja Segala Kotak‘ ini boleh terus menceritakan keburukan apa sahaja tentang DS Anwar kerana beliau kini adalah musuh bagi Pakatan Rakyat.  Tetapi jika beliau berhasrat untuk menceritakan keburukan DS Anwar kepada pemimpin atau ahli-ahli PAS, Ezam tersilap sasaran.  Semua pemimpin dan ahli-ahli PAS sedar apa yang DS Anwar telah lakukan samada yang baik atau buruk ketika DS Anwar bersama UMNO.  Malahan beberapa pemimpin PAS lebih tahu banyak perkara tentang keperibadian DS Anwar semasa beliau di dalam UMNO.  Alhamdulillah, sehingga kini pemimpin PAS tidak pernah mengungkit sejarah lampau DS Anwar kerana Islam mengajar kita untuk menerima sesiapa sahaja yang berani berubah ke arah kebaikan.  Kejujuran pimpinan PAS inilah yang menyebabkan DS Anwar terus kuat berazam untuk mengkuburkan UMNO yang diketahuinya tidak memperjuangkan rakyat jelata semua kaum dan agama.  Ezam harus bertanya kepada PAS, adakah beliau juga boleh dianggap pejuang bangsa dan ugama setelah beliau mengambil jalan mudah dengan menyertai Parti UMNO yang Ezam sendiri ketahui sifat-sifat UMNO ?

     Oleh yang demikian, Ezam tidak perlu mengajar orang-orang PAS untuk membenci DS Anwar.  Ezam boleh lakukan apa jua yang hendak beliau lakukan seperti di Permatang Pauh, tetapi jangan salahkan rakyat sekiranya rakyat memandang Ezam lebih jijik dari Mahathir.  Seburuk-buruk DS Anwar, beliau lebih bermaruah daripada Ezam.  Sehubungan itu, biarpun beratus kali Ezam mencabar DS Anwar atas apa jua yang DS Anwar telah lakukan ketika dahulu ianya tidak lagi memberi apa-apa erti untuk mengubah kredibiliti DS Anwar sekarang.  Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Umar Al-Khatab dahulunya juga penentang Islam terkuat bahkan sehingga ke tahap bercita-cita untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W, tetapi kedua-dua Khalifah Islam itu diberi taufik dan hidayah oleh Allahuntuk terus berjihad demi agama Islam.  Pernahkah sewaktu kedua-duanya ingin dipilih untuk menjadi Khalifah, terdapat suara-suara menceritakan keburukan dan kejahatan mereka sewaktu di zaman kejahilannya ?  Inilah ajaran Islam yang maha suci.  Ezam mungkin rajin membaca Al-Quran dan sejarah Khalifah Islam, tetapi apabila berada di dalam UMNO mungkin hati dan akalnya tertutup untuk berfikir.

     Apa yang boleh disimpulkan di sini, ternyata Ezam `berpatah arang, berkerat rotan’.  `Alang-alang seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’.  Alang-alang menjadi ahli UMNO, biar menjadi UMNO lebih daripada UMNO.  Harus beliau ingat, UMNO akan gunakan Ezam semahu-mahunya kerana UMNO berpegang kepada pepatah, “Tiada rotan, akar pun berguna”.

MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA
 

W.FAUZDIN NS – Laman M@rhaen

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s