Antara Haji Mabrur dan mengekalkan amalan buruk selepas haji

Setiap daripada jemaah haji yang baru selesai menunaikan ibadat rukun Islam yang kelima itu, pasti berdebar-debar untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta sejak ditinggalkan lebih sebulan lalu, dan debaran hati mereka bertambah kuat setelah melalui ujian getir ketika berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

Pelaksanaan rukun-rukun haji telah pun selesai, ini bermakna mereka sudah boleh dilabelkan dengan gelaran haji di depan nama-nama mereka. Sesungguhnya gelaran haji itu merupakan satu penghormatan daripada manusia yang memanggil dengan gelaran itu. Ini kerana apabila seseorang itu bergelar haji, bertambahlah tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Sekurang-kurangnya mereka boleh bertindak sebagai ‘role-model’ dengan menunjukkan perilaku yang baik, bertutur dengan kata-kata yang manis, menegur-sapa orang-orang di sekeliling tanpa ada syarat tertentu, berbudi bahasa dan jauh daripada sebarang penggunaan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan saudara-saudara seagama yang lain.

Tetapi apakah mungkin seseorang yang sudah bergelar haji atau hajjah melakukan sesuatu yang terbaik, lebih baik daripada sebelum mereka ke tanah suci?

Ia bergantung kepada sejauh mana jemaah haji mendapat pengajaran daripada setiap langkah, perbuatan dan amalan haji ketika berada di sana. Kerana semua amal ibadat dan rukun-rukun haji yang dilakukan sebenarnya ada kaitan dengan persoalan akhirat, iaitu satu keadaan di mana ia mampu mengingatkan manusia untuk berhubung dengan Allah SWT selaku Pemilik hari akhirat dan kiamat, yang akan menghukum kepada siapa sahaja yang tidak tunduk kepada arahan-Nya dan melakukan segala tegahan-Nya.

Justeru, sekembalinya para jemaah haji daripada tanah suci Makkah dan Madinah, apatah diiringi dengan haji mabrur yang diterima di sisi Allah SWT, bagaikan mereka baru keluar (dilahirkan) daripada perut ibu-ibu mereka iaitu tidak berdosa, ia satu keadaan di mana mereka berpeluang untuk menebus segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak sepi daripada melakukan dosa, apatah lagi terhadap Allah, Rasul-Nya, kepada kedua ibu bapa, guru-guru, jiran-tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.

Apa yang penting setelah bergelar haji, elakkan daripada terlibat dengan banyak duduk di kedai-kedai kopi iaitu satu keadaan sebelum mereka menunaikan fardu haji dengan bersembang pada perkara yang tidak banyak boleh membantu mereka nanti di alam akhirat dan kiamat.

Mereka perlu memikirkan bagaimana untuk banyak duduk di dalam rumah-rumah Allah seperti masjid, surau atau di tempat-tempat ceramah yang boleh mengingatkan mereka untuk terus bersiap sedia dengan bekalan-bekalan akhirat, banyak membaca al-Quran, mendengar kuliah atau tazkirah, bercakap pada perkara yang boleh menambahkan pahala, bukan menambahkan ‘koleksi’ dosa.

Memilih kawan-kawan yang baik-baik, apatah lagi yang boleh mengingatkan mereka kepada Allah sepertimana yang ditegaskan Allah dalam al-Quran menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud : �Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengingatkan kamu kepada Tuhan pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.�

Begitu juga mengelak diri daripada menampilkan diri di khalayak ramai dengan penampilan yang tidak boleh dijadikan contoh seperti memakai gelang tangan, berseluar pendek, membiarkan isteri dan anak-anak gadis tidak menutup aurat dan bertudung ketika berada di luar rumah, tidak menyokong manusia yang suka mempersenda Islam, memakai pakaian yang bersesuai dengan taraf seorang yang bergelar haji, ini tidak lain bagi mengekalkan kelangsungan pahala-pahala haji untuk tahun-tahun mendatang.

Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik?

Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim dan muslimah mencapai status hamba Allah yang diterima di sisi-Nya. Antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :

-Melakukan solat lima waktu dengan baik

-Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran

-Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

-Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w, sirah para sahabat Nabi, malah bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.

– Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah.

– Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya.- azm _ Ustaz Zainudin Hashim I ustazzain@harakah.net.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s