Pilihanraya: Terbukti Penulis Blog Ada Karisma, Presiden PAS Mahu Dapatkan Pandangan Blogger

KUALA TERENGGANU – PAS akan menilai pandangan daripada pelbagai pihak termasuk penulis blog sebelum menentukan calon untuk bertanding pada pilihan raya umum, 17 Jan depan. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pemilihan calon yang benar-benar sesuai, adalah faktor yang paling penting dalam usaha mereka merampas kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN). “Kita akan lihat semua termasuk pandangan daripada penulis blog, malah surat layang juga kita akan lihat sebelum menentukan calon,” katanya ketika ditemui di luar dewan selepas hari ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12, di Wisma Darul Iman di sini semalam.

 Abdul Hadi, yang baru pulang mengerjakan ibadah haji dua hari lepas, berkata pada masa ini, pihaknya sedang membuat penelitian rapi terhadap calon yang boleh mendapatkan sokongan pengundi di Kuala Terengganu.“Kita sedang tunggu laporan daripada PAS cawangan, kawasan dan negeri. Kajian terperinci perlu dilakukan bukan sahaja di kalangan penyokong PAS malah masyarakat keseluruhan di Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau berkata ketokohan seseorang pemimpin itu penting memandangkan pilihan raya kecil itu diadakan di sebuah bandar raya, dengan kemudahan infrastruktur bukan menjadi masalah kepada pengundi. Abdul Hadi berkata Jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas di sini, Sabtu ini dan agenda utama adalah membincangkan soal calon. “Selepas nama calon dipilih, kita akan serahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya. Beliau berkata daripada pemantauan awal yang dilakukan, parti itu yakin untuk merampas kerusi parlimen tersebut daripada BN. Mengenai pandangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berharap Naib Presiden parti itu, Mohamad Sabu dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya kecil itu, Abdul Hadi berkata setiap PAS negeri mempunyai pandangan mereka sendiri.

“Kita dengar semua pandangan. Sebagai presiden, saya tidak mempunyai halangan jika Mohamad Sabu dicalonkan. Tetapi, akhirnya keputusan dibuat oleh suara majoriti,” katanya. Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian Datuk Razali Ismail, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, 28 Nov lepas. Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Razali selaku penyandang, menewaskan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi- Bernama

[Perkembangan ini jelas sekali membuktikan bahawa ulamak sendiri pun menghormati pandangan para blogger dalam membuat satu keputusan penting seperti ini. Maka itu, mengapakah Kerajaan Negeri Pahang masih mahu berdolak-dalih lagi dengan pandangan blogger di negeri itu. Bukankah blogger mempunyai pandangan yang jauh ke depan dari mana-mana pemimpin politik UMNO itu sendiri. Maka itu, setiap pendededahan dan pembongkaran yang dibuat perlulah disiasat dan diambil tindakan segera. Bukannya mencari pula hujjah dan alasan untuk mempertahankan segala rasuah, korupsi dan penyelewengan yang telah didedahkan itu. Tahniah buat PAS kena mendahului semua ini].

Sumber Pahangdaily

Leave a comment