Pemimpin akui Umno tidak lagi mampu dijadikan contoh

KOTA BHARU, 24 Nov (Hrkh) – Umno kini semakin kronik dan sendat dengan masalah dalaman. Benarkah demikian. Ramai di kalangan mereka tampil mendedahkan antara faktornya kerana kepentingan peribadi yang lebih diutamakan.

Maka bagi memulih kembali situasi tersebut ada di kalangan mereka mencadangkan Umno mengimbau kembali sejarah perjuangan lampau.

Setiausaha Umno Bahagian Kubang Kerian, Shamsudin Awang membayangkan parti itu kini tidak lagi mempunyai tauladan yang wajar dicontohi dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Lupa sejarah dan terlalu mengutamakan agenda selain dari dasar perjuangan sebenar punca berlakunya perpecahan sama sendiri.

“Sepatutnya kita mengimbau sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Melaka, Perang Uhud dan kerajaan Islam di Sepanyol sebagai pengajaran amat bermakna terhadap masalah dalaman Umno sekarang.

“Marilah sama-sama kita renungkan sejarah silam kerana sejarah memberi banyak pengajaran, tetapi kadangkala kita lupa,” katanya pada persidangan Pergerakan Pemuda Umno Kubang Kerian di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, sejarah menukilkan angkara kerakusan, keangkuhan dan budaya fitnah memfitnah di kalangan pemimpin sebagai faktor jatuhnya sesebuah kerajaan pada zaman lampau.

Menurutnya keretakan parti berlaku kerana kurang tumpuan di kalangan ahli kerana masing-masing mementingkan agenda lain daripada perjuangan parti.

“Marilah kita beri keutamaan kepada dasar perjuangan sebenar. Kita utamakan agenda-agenda perjuangan di hadapan dan soal-soal lain hendaklah dikesampingkan,” katanya.

Ketua pemuda Umno Kubang Kerian, Anuar Safian juga tidak menafikan Umno kini sedang berdepan dengan dugaan dan cabaran politik getir.

Menurutnya, terdapat di kalangan ahli parti tidak taat kepada prinsip parti sehingga sanggup menghentam dan cuba mempengaruhi orang lain bagi memecah belahkan sesama sendiri.

Beliau berkata, jika polemik politik Umno dibiarkan berlarutan ia nescaya boleh menghancurkan Umno.

Sebelum itu lebih 30 cawangan di bahagian tersebut diarah bermesyuarat semula yang membuktikan kepincangan dalam parti itu benar-benar berlaku.

Selain itu, lebih 100 pemuda cawangan dari bahagian tersebut mengadakan demontrasi di hadapan Pejabat Perhubungan Umno Kelantan sebagai membantah ketidakadilan yang berlaku.

Naib Ketua Umno Kubang Kerian, Dato? Muhammad Abdul Ghani berkata, pihaknya telah membuat aduan kepada Umno Pusat berkenaan isu 32 cawangan yang dikatakan bermasalah.

Oleh itu beliau menyangkal usaha pihak tertentu yang cuba menutup itu berkenaan.

“Dakwaan yang mengatakan cawangan terbabit bermesyuarat tanpa sebarang masalah bercanggah dengan aduan yang diterima.

“Pihak berkenaan tidak melakukan siasatan. Tidak buka fail di atas aduan itu. Apabila tiada siasatan secara tidak langsung ia menggambarkan tiada masalah berlaku, sedangkan aduan yang diterima sebaliknya,” kata beliau.

Muhammad turut mendesak mesyuarat bahagian berkenaan ditangguhkan sehingga semua cawangan yang bermasalah sebelum ini melakukan mesyuarat semula.

Ketua Umno Kubang Kerian, Mohd Fauzi Ismail enggan mengulas mengenai cadangan supaya mesyuarat bahagian itu ditangguh bagi membolehkan mesyuarat beberapa cawangan diselesaikan. – mj _ Zuharman MN

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s