Konsortium Baja Nasional batal kerana ‘mafia’?

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Hrkh) – Kerajaan bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat sejauh manakah perkembangan, kegiatan dan prestasi Konsortium Baja Nasional yang ditubuhkan untuk menjimatkan kos pembelian, penggredan dan pengedaran baja untuk sektor pertanian negara ini, kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

“Saya difahamkan jumlah perniagaan baja dalam negara ini berjumlah kira-kira RM10 bilion. Jika benar, ia satu jumlah yang sangat besar dan sudah tentu melibatkan aliran wang keluar dari negara ini yang sangat banyak.

“Jika Konsortium Baja Nasional ditubuhkan untuk menjimatkan kos yang terlibat, ia sangat-sangat dialu-alukan. Malangnya, kita pernah mendengar apa-apa perkembangan mengenai konsortium itu sejak penubuhannya diumumkan,” kata beliau.

Pihaknya, kata Salahuddin, semakin prihatin mengenai perkara itu apabila wujud dakwaan bahawa perniagaan baja dalam negara ini dikuasai oleh kumpulan tertentu yang didakwa sebagai ‘mafia’.

“Sebelum ini, kita mendengar dakwaan mengenai ‘mafia’ yang menguasai pelbagai perniagaan dalam negara ini termasuk perniagaan beras, gula, tepung, simen dan lain-lain.

“Setiap kali harga barang naik, kerajaan melalui penguatkuasanya hanya memburu peniaga kecil, peruncit termasuk peniaga roti canai. Kita tidak pernah mendengar tindakan terhadap golongan yang didakwa sebagai ‘mafia’ itu.

“Oleh sebab itulah, jika benar perniagaan baja juga dikuasai oleh ‘mafia’, kita amat dukacita kerana ia sudah tentu menjadi lintah darat yang menjadikan sektor pertanian negara ini, terutama para petani sendiri sendiri sebagai mangsanya,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berharap kerajaan dapat menafikan dakwaan bahawa penubuhan Konsortium Baja Nasional itu tergantung begitu sahaja kerana kebimbangan terhadap tindak balas ‘mafia’ yang berkenaan.

“Jika benar dakwaan itu, timbul satu lagi persoalan yang lebih besar iaitu adakah negara ini dikuasai mafia? Malah, akan timbul juga pertanyaan adakah ‘mafia-mafia’ berkenaan mempunyai kaitan dengan pembiayaan rasuah politik di dalam Umno?” beliau mempersoalkan.

Keprihatinan terhadap perniagaan baja dalam negara ini, katanya lagi, bukan sahaja terhadap dakwaan ia dikuasai oleh ‘mafia’ dan penindasannya ke atas para petani, malah ia juga berkaitan dengan isu halal haram.

“Saya masih ingat, bekas Ahli Parlimen Arau, (Datuk Seri Diraja) Syed Razlan (ibni Syed Putra Jamalullail) pernah membangkitkan di dalam Dewan Rakyat tentang baja daripada najis babi yang diimport dari China digunakan dengan meluas oleh penanam padi di negara ini.

“Malah, Syed Razlan berkata, penggunaan baja dari najis babi itu digalakkan pula oleh sebuah agensi kerajaan negeri,” kata Salahuddin.

Malangnya, katanya lagi, Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu, Datin Paduka Rohani Abdul Karim menyatakan beliau “tidak bersedia menjawab soalan itu”

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin pernah mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan meluluskan penubuhan Konsortium Baja Nasional.

Beliau berkata, konsortium itu akan beroperasi pada tahun 2007 selepas kumpulan pengurusannya dilantik oleh kementerian terbabit.

“Dengan konsortium ini, kita sendiri akan mengawal bekalan baja, menggred semula dan mengedarkan baja mengikut kualiti tertentu untuk kebaikan orang kampung dan pekebun kecil. Sekarang orang lain yang mengawal bekalan dan harga baja,” katanya ketika itu.

Selain itu, kata Abdul Aziz, tujuan penubuhan Konsortium Baja Nasional itu juga adalah untuk mewujudkan kepakaran penggunaan teknologi dalam bidang yang berkaitan yang datang dari kalangan masyarakat setempat._ Abdul Aziz Mustafa

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s