Kedah akan bongkar penyelewengan BN

TEMERLOH, 4 Nov (Hrkh) – Anggota Exco Kerajaan Kedah, Ir Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan negeri Kedah mula mengambil posisi menyerang dengan membongkar penyelewengan Barisan Nasional (BN) semasa berkuasa satu demi satu.

Katanya, ekoran laporan yang buat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) para pemimpin BN Kedah mula lunak daripada terus mengganggu kerajaan Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, katanya ada pihak tertentu yang menghasut pelabur asing kononnya kerajaan Kedah yang baru diterajui Pakatan Rakyat ini kononnya sama dengan kerajaan Taliban.

“Mereka cuba menghasut pelabur supaya menarik keluar pelaburan dari negeri ini, bagaimanapun kita berjumpa sendiri dengan pelabur dan memperjelaskan kepada mereka polisi pelaburan kerajaan baru.

“Alhamdulillah, pelabur bukan sahaja tidak menarik keluar pelaburan mereka malah ada beberapa syarikat yang menambah nilai pelaburan masing-masing, mereka berpuas hati dan gembira dengan polisi kita yang telus,” katanya ketika berucap pada majlis Ijtima PAS Kawasan Kuala Krau di Kerdau.

Menurut Amiruddin dalam pilihan raya lalu, Pakatan Rakyat memenangi 22 kerusi berbanding 14 kerusi dimenangi BN dan bagi menubuhkan kerajaan mestilah mempunyai 19 kerusi dan BN kekurangan lima kerusi.

BN katanya, berusaha keras untuk mendapatkan lima kerusi bagi mendapatkan majoriti mudah 19 kerusi untuk menyingkirkan Pakatan Rakyat.

“Namun sehingga kini mereka gagal mendapatkan lima kerusi yang diperlukan itu, dan berdoakan agar kerajaan Pakatan Rakyat terus kekal memerintah negeri Kedah yang kini hampir memasuki usia lapan bulan,” ujarnya.

Tambahnya, kejayaan Pakatan Rakyat menumpaskan BN adalah sesuatu yang luar biasa di mana rakyat memberanikan diri untuk menyokong BN sedangkan BN menggunakan pelbagai cara untuk mempertahankan kuasa di tangan agar terus kekal.

“Di Kedah proses peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat berjalan dengan licin dan cepat tidak sebagaimana di negeri lain yang dikusai BN sekalipun seperti di Terengganu dan Perlis,”katanya. – mks._ Basiron Abdul Wahab

Leave a comment