Makanan murah, penduduk mesra punca pelancong pilih Kelantan

KOTA BHARU, 29 Mei (Hrkh) ? Kalau diambil kira kedatangan pelancong yang semakin bertali arus ke sini terutamanya musim cuti persekolahan sekarang, tiada sebab matlamat mencapai enam juta pelancong tahun ini tidak menjadi kenyataan.

Bandar Kota Bharu sekali lagi menjadi sendat dengan kenderaan dari luar Kelantan. Di kawasan Kota Sultan Ismail deretan bas dan kenderaan lain kelihatan bersusun.

Malah di Pasar Besar Siti Khatijah dan Bazar Buluh Kubu, peniaga seperti tidak menang tangan. Itu belum diambil kita lagi dengan kawasan bebas cukai di Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.

Sejak Sabtu lalu sehingga ke hari ini, usah tanya lagi pasal bilik hotel atau rumah tumpangan di Kota Bharu. Malah ramai juga yang mengambil kesempatan menyewa premis-premis milik PAS.

Markaz Dewan Ulamak PAS Kelantan (Madu) yang mempunyai asrama di Machang menjadi pilihan mereka, kadar sewanya juga murah.

Lebih menghairanlah lagi kedatangan pelancong begitu mendadak selepas pilihan raya umum lalu.

Apa lebihnya Kelantan yang dikenali sebagai Negeri Serambi Mekah, Kota Bharu Kota Budaya, Zon Ilmu, Tanah Serendah Sekebun Bunga dan Cik Siti Wan Kembang.

Di sini terdapat juga permainan tradisional, tempat bersejarah, perkampungan kraftangan, seni budaya dan seni bina tempatan yang berpaksi kepada Islam.

Aktiviti agama

Terdapat juga pelbagai aktiviti agama, majlis ilmu di pondok, madrasah, sekolah agama dan Maahad Tahfiz Al-Quran dan sains.

Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC), Haji Mohd Arif Mohd Nor berkata, antara sebab pelancong luar berminat datang ke sini kerana tawar menawar ketika membeli belah di sini lebih mudah.

?Masyarakat Kelantan senang berkira. Peniaga boleh berunding terutama tentang harga barangan. Selain itu terdapat juga pelbagai jenis makanan enak harga murah,? katanya ketika ditemui semalam.

Selain membeli belah beliau juga mengajak pelancong berkunjung ke Gelanggang Seni di Jalan Mahmood yang mempamerkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan persembahan tradisional.

Antara persembahan tradisional yang diadakan di Gelanggang Seni iaitu seni silat, gasing uri, rebana ubi dan gasing pangkah setiap hari Isnin bermula jam 3.30 petang.

Setiap petang Rabu persembahan gasing pangkah, kertok, congkak dan sepak bulu ayam, manakala jam 8 hingga 11 malam diadakan persembahan Wayang Kulit.

Mohd Arif berkata, destinasi pelancongan menarik termasuk dari segi sejarah Islam pula terdapat di Masjid Kampung Laut di Nilam Puri dan Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Menurutnya, pusat pengajian tradisional pula terkenal di Pondok Pasir Tumboh, Pondok Beta Hilir, dan Pondok Tunjung di Kota Bharu.

Tempat menarik lain iaitu Kampung Kraftangan, Kota Bharu, Kampung Pantai Suri, Tumpat, Kampung Blok Ulu Kusial, Tanah Merah, Kampung Renuk Baru, Gua Musang, Kampung Bukit Jering, Jeli.

Kelantan juga mempunyai banyak muzium antaranya Muzium Negeri, Muzium Kraf/Balai Getam Guri, Muzium Islam, Muzium DiRaja/Istana Batu, Muzium Tradisi dan Adat Resam DiRaja, dan Muzium Perang.

Selain itu, terdapat tempat ibadat masyarakat Siam iaitu Wat Photivihan, Tumpat, Wat Machimmaram, Tumpat, Wat Mai Suvankhiri (Tokong Kapal Naga) dan Tokong Sweet Nyet Kong, Gua Musang.

Mahu Kedah tiru Kelantan

Sementara itu, Pengerusi Tetap PAS Cawangan Kampung Nai Teh, Kuala Nerang, Kedah Azalan Ab Rahman, 45 yang mengetuai 40 rombongan muslimat bersyukur dengan keadaan Kelantan yang ada sekarang.

Beliau berharap Kedah juga mengamalkan apa yang dilakukan di Kelantan termasuk mengenai dasar pelancongan negeri.

?Saya dan rombongan pertama kali datang ke Kelantan. Kami mendapati layanan masyarakat di sini baik, mesra dan mudah berkira.

?Selain itu makanan dan barangan keperluan di sini dijual dengan harga berpatutan dan makanannya pun sedap-sedap,? katanya.

Beliau dan rombongan bermalam di Markaz Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan. Rakannya, Ariffin Hassan, 63 berkata, kefahaman agama masyarakat Kelantan masih menebal.

Katanya ia dapat dilihat kepada amalan dan cara hidup mereka seharian. Beliau pernah datang ke Kelantan pada 1990 sebaik saja PAS memerintah negeri ini.

?Saya datang untuk melihat sendiri Kelantan kerana ada berita pada masa itu mengatakan pembangunan di Kelantan tidak ada dan air paip kotor. Tapi rupanya ia fitnah semata-mata,? ujarnya.

Musa Yet, 48 dari Perak yang datang bersama lima anggota keluarganya berkata, pembangunan di Kelantan lebih pesat berbanding Terengganu.

Menurutnya dalam masa hanya 10 tahun Kelantan banyak berubah dan pesat membangun.

Beliau juga menceritakan pengalaman terkandas bersama keluarga selama tiga jam dalam perjalanan dari Pasir Mas menuju ke Kota Bharu sejauh 18 km ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tiga tahun lalu. – Muhammad Yusri Amin

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s