Orang Melayu dibiarkan mundur agar terus sokong Umno-BN – Presiden PAS

Dianggarkan lebih 190 bas dan 2000 kereta masuk ke Terengganu, didakwa membawa pengundi hantu sebelum hari mengundi pada 8 Mac lalu. Ia merupakan projek Pengerusi BN Terengganu, Dato� Seri Idris Jusoh meneruskan pemerintahan BN.

<!–

Bagi Idris, beliau tidak kisah sebilangan besar rakyat Terengganu tidak menyokong BN memerintah kerana projek tersebut sudah cukup untuk mengembalikan kekuasaannya sepertimana pilihan raya umum 2004.

Kerja beliau itu bukan bersendirian malah mendapat restu kerajaan Pusat bersama dengan projek tawan Kelantan. Hasilnya BN yakin mampu tinggal satu kerusi untuk PAS di Terengganu dan Kelantan jatuh kepada BN.

Sementara PAS menyifatkan pengundi hantu itu telah menggagalkan usahanya menawan kembali Terengganu yang pernah dikuasai ketika pilihan raya 1999.

Apakah kemasukan pengundi hantu menjadi faktor utama kegagalan PAS? Ikuti pandangan Presiden PAS, DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG ketika ditemu bual wartawan Harakahdaily di rumahnya, di Rusila.

HARAKAHDAILY: SPR mendakwa kemenangan PAS, KeADILan dan DAP serta mengusai lima negeri menunjukkan pilihan raya negara ini bersih, mengikut lunas demokrasi? SPR dakwa mereka telus?

DATO’ SERI: Bukan keputusan pilihan raya menjadi ukuran tetapi perjalanan pilihan raya yang dipersoalkan. Daftar pemilih yang belum bersih diakui SPR dan memang berlaku. Undi pos dengan jumlah yang tidak wajar. Penggunaan jentera-jentera kerajaan termasuk SPR sendiri untuk menjamin kemenangan BN. Kemenangan yang belaku adalah kebangkitan rakyat yang besar. Apa yang berlaku adalah kebangkitan rakyat menolak BN. Apa yang menarik rakyat yang disogokkan dengan pembangunan yang dianggap maju seperti Selangor dan Perak. Kemenangan PAS di negeri ini adalah kawasan di bandar. Kawasan yang mendapat maklumat alternatif melalu internet dan pelbagai saluran. Kawasan yang tidak mendapat maklumat kawasan miskin dan tetap menjadi sasaran penipuan pilihan raya yang berlaku dengan beberapa perkara. Saya tetap menganggap pilihan raya ini masih kotor. BN menggunakan alat kerajaan dengan cara yang tidak demokratik menggunakan media, jabatan kerajaan antaranya polis, SPR dan kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Kita melihat banyak kawasan yang peratus mengundi terlalu tinggi mengatasi negara paling maju dalam dunia. Ini dapat dibuktikan adanya pengundi-pengundi hantu yang didaftarkan mengikut pertolongan SPR dan JPN melalui kad pengenalan yang disediakan. Kita dapat bukti yang banyak di seluruh negara sama ada pengundi dari luar yang dihantar melalui bas dengan jumlah besar dengan dikawal oleh Polis dengan alasan mereka adalah pengundi yang sah. Memang mereka ada nama dalam daftar pemilih tetapi mengapa tidak disemak kad pengenalan dan alamat mereka. Di sana masih banyak pengundi pos dengan jumlah yang tidak patut dan luar biasa. Undi pos yang menjadi undi penentu untuk memenangkan BN, yang jelas di Belatik, Kedah. Undi Pos di kawasan yang tidak ada tentera, tidak ada kem yang boleh jadi alasan pengundi pos. Politik wang juga masih berjalan.

Apakah pengundi hantu berlaku di kawasan tertentu atau bagaimana?

Pengundi hantu dilakukan di seluruh Malaysia iaitu kawasan tumpuan. Saya melihat sendiri bas yang berderet-deret dikawal polis macam VIP. Petugas kita dapat mengesan melalui perisikan kita sendiri dan mendapat maklumat yang sah.

Kecelaruan undang-undang iaitu peraturan dakwat dibatalkan. Ia menandakan SPR benar-benar menjadi alat BN. Dalam negara demokrasi yang adil apabila Parlimen dibubarkan tidak ada parti kerajaan dan pembangkang semua parti adalah sama.

Tetapi media-media perdana elektornik dan cetak telah menonjolkan BN adalah parti kerajaan bila-bila masa saja. Ini adalah satu cara yang tidak adil dalam laporan media.

Apa perbezaan antara rakyat Kelantan dengan Terengganu kerana kedua-dua negeri ini mempunyai pengundi hantu yang besar tetapi Kelantan tidak boleh ditembusi pengundi hantu?

Saya tetap berkeyakinan majoriti rakyat Terengganu menyokong PAS sama dengan Kelantan. Tetapi jumlah pengundi hantu lebih besar daripada Kelantan di setiap di peti undi.

Begitu juga dengan jumlah bas yang datang. Mereka ditempatkan lebih awal di balai polis, pusat tahanan pendatang tanpa izin, chalet untuk masuk ke pusat pengundi.

Dato’ Seri, bagaimana dengan sokongan pengundi di saluran satu?

Itu belum dapat maklumat sebab post-mortem belum dibuat. Kita akan buat satu post-mortem secara menyeluruh tapi penglibatan golongan muda dalam kerja pilihan raya menandakan kebangkitan golongan muda menyokong PAS sangat hebat.

Kita melihat perubahan yang berlaku dalam masyarakat Cina dan India sebalik tempat majoriti Melayu masih sokong BN?

Masyarakat Cina dan India banyak duduk di kawasan bandar dan banyak mendapat maklumat. Masyarakat Melayu dibiarkan tinggal di kawasan pedalaman. Kawasan jauh daripada maklumat. Kawasan yang mundur. Memang BN lebih suka orang Melayu jadi begitu supaya mereka lebih mudah ditipu.

Sepatutnya Umno hendaklah mengambil satu tanggungjawab dan berasa berdosa kerana menjahilkan orang-orang Melayu bukan saja dalam bidang agama bahkan politik. Yang penting mereka boleh berkuasa sampai bila-bila.

BN mungkin memerlukan 14 kerusi lagi untuk capai dua pertiga. Bagaimana sekiranya berlaku pembelian wakil rakyat bagi meneruskan penguasaan BN?

Saya yakin BN akan melakukan politik wang macam dia amal dalam parti dia sendiri dalam masa pilihan raya. PAS memastikan wakil-wakil rakyatnya dengan sumpah secara Islam supaya tidak khianat terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Jika mereka mengkhianati PAS mereka akan dilaknat oleh seluruh makhluk. Parti-parti lain kita nasihatkan supaya teguh dan setia pada perjuangan masing-masing. Saya percaya semua parti politik dapat melahirkan calon-calon yang berwibawa, Insy-Allah tidak lagi dalam tahun 50-an.

Biarlah mereka yang boleh dibeli ini hanya dalam BN. Saya kesal dengan BPR kerana tidak dapat memainkan peranan yang telus dan berkesan untuk menghapuskan rasuah. Umno sengaja mengekalkan BPR dalamm keadaan tidak ada kuasa. Mereka kekalkan OSA dan ISA untuk melindungi mereka yang terlibat dengan penyediaan kad pengenalan palsu.

Sebenarnya bukan untuk menangkap tetapi untuk melindungi pihak yang terlibat dengan penyediaan kad pengenalan itu supaya tidak terdedah. Jika terdedah mereka akan ditangkap tetapi selepas itu mereka dibebaskan. Itu hanya lakonan.

Apakah PAS akan mengambil tindakan undang-undang?

Insya-Allah kita akan mengumpulkan maklumat yang sebanyak-banyaknya. Saya sudah baca Harakahdaily, Perlis akan mengambil tindakan undang-undang di Parlimen dan Dun.

Bagaimana dengan Idris Jusoh mahu membuat petisyen terutama di Marang kerana menyekat pengundi?

Kita cabar dia. Saya minta satu siasatan telus diadakan kalau boleh biar ada satu suruhanjaya bebas menyiasat. Kita ada bukti mengapa polis mengambil kad pengenalan dan melindungi pengundi hantu. Saya minta polis juga disiasat.

Umno mempersoalkan kemenangan PAS dan KeADILan sehingga Pulau Pinang jatuh kepada DAP?

Itu kegagalan dan permainan Umno. Kita percaya hubungan antara PAS, KeADILan dengan DAP lain dengan apa yang berlaku dalam hubungan Umno. Kita percaya tokoh-tokoh PAS dan PKR dapat bersama dengan DAP kerana perjuangan kita adalah menyeluruh bukan untuk satu kaum saja.

Melayu perlu dibela tanpa menjejaskan masyarakat Cina. Apa yang berlaku ialah kesalahan Umno sendiri kerana mereka mengamalkan politik rasuah, kronisme dan nepotisma sehingga mereka membiarkan bangsa mereka sendiri. Itu yang sebenarnya.

Kalau orang Melayu zaman Umno boleh menerima Ketua Menteri Gerakan yang bukan Melayu mengapa mereka tidak boleh terima DAP. Kita minta tunggu dan lihat dahulu apa yang dilakukan, jangan cepat menghukum.

Ramai penganalisis politik mengatakan keputusan pilihan raya menunjukkan berlakunya ‘tsunami politik’, bagaimana dengan Dato� Seri?

Memusnahkan kezaliman dan mereka yang bersengkokol dengannya. Insya-Allah kita akan dapat menyuburkan kerajaan berteraskan kepada keadilan, amanah dan berkebajikan sebagaimana yang kita perjuangkan.

Walaupun kita tidak boleh menunaikan semua janji kerana kita tidak menguasai kerajaan Pusat. Saya percaya di bidang kuasa kerajaan negeri banyak janji-janji yang boleh ditunaikan. Cuma saya berharap kerajaan Pusat jangan melanggar perlembagaan dan prinsip Fedralisme sebagaimana yang pernah dilakukan kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Saya telah memberikan surat pengesahan yang ditandatangani oleh saya sendiri bahawa PAS menyokong Menteri Besar diberikan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mungkin Dato’ menaruh harapan kepada negeri-negeri yang dikuasai PAS?

Memang harapan kita tinggi sebagaimana kita berjaya di Kelantan, insya-Allah kita berjaya di empat negeri. Mungkin membawa satu perubahan di seluruh negara.

Kita mengharapkan Umno dan komponen BN menyokong banyak negeri yang kita kuasai. Mereka mesti menerima hakikat keputusan pilihan raya.

Bagaimana dengan Timbalan Menteri Besar Selangor?

Itu terpulang kepada budi bicara negeri Selangor dan tidak semestinya ada Timbalan. Nak pakai exco saja pun boleh.

Kedah kita bagi satu exco kepada DAP ini menunjukkan satu pembentukan kerjasama kita. Exco ini untuk menguatkan kerajaan sebab kita nak lawan dengan BN. – lanh

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s