Lebih baik berpecah dari derhaka kepada Allah

TEMERLOH, 21 Julai: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, itu PAS lebih rela Melayu berpecah dalam mentaati perintah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah.

Dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mempersoalkan, apakah apa yang dibuat oleh Umno sekarang untuk perpaduan bangsa atau Islam.

Beliau dipercayai mengulas usaha yang dibuat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang cuba mengheret PAS agar bersatu dengan Umno atas landasan untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Ia dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan Umno yang sedang karam dan cuba untuk menyeret PAS ke arah permasalahan itu.

“Isu perpaduan Melayu kembali bergema. Kali ini ianya melibatkan usaha golongan agama (Mufti) dan kepimpinan Umno,” tulis Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Pelbagai komentar dan pandangan dari pelbagai pihak diambil bagi menyokong usaha perpaduan Melayu ini; sekaligus seolah-olah sesiapa yang tidak inginkan perpaduan Melayu adalah golongan yang bertindak bertentangan dengan kehendak Islam.

Menurutnya, pelbagai ayat Quran dan hadis bergema bagi menyokong usaha ini.

“Sebagaimana biasa PAS menjadi sasaran bilamana dengan tegas menolak hasrat perpaduan dengan Umno,” katanya.

“Isu besar ialah apakah untuk perpaduan bangsa atau perpaduan Islam. Kalau perpaduan bangsa; kenapa hanya Melayu perlu berpadu, bagaimana bangsa lain dalam negara. Apakah kerajaan suka kalau bangsa lain berpecah yang juga akhirnya melemahkan negara,” kata Tuan Ibrahim, bekas pensyarah pengajian Islam UITM itu.

“PAS Menyatakan dengan tegas kita perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; iaitu “Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

“Lantaran itu PAS lebih rela melayu berpecah dalam mentaati perentah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah,” kata beliau.

PAS, katanya, tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam yang ditaja oleh Umno.

“Mereka sanggup menghalalkan perjudian di atas nama kebajikan dan sukan, serta pelbagai penyelewengan. Di saat rakyat tenderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS,” tambah beliau.

Katanya, di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS kerana lebih 50 tahun Umno diberi kepercayaan oleh orang melayu Islam.

“Umno membelakangkan soal perpaduan; kelantan terus ditindas bahkan negeri Pakatan Rakyat terus diserang saban waktu. Tangan kiri mengholor perdamaian, tangan kanan terus menekan dan menindas bangsa sendiri.

“Kami tidak mahu memikul pengkhianatan UMNO kepada agama. 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju,” katanya.

Rakyat miskin, katanya,  terus dibeban dengan kenaikan kos hidup; di waktu yang sama syarikat swasta kroni pemerintah terus menikmati subsidi luas biasa seperti  IPP (Independent Power Producers).

Syarikat konsesi tol pula tidak dipotong subsidi mereka bahkan   pembaziran terus berleluasa.

“Di saat negara berada dalam situasi paling buruk dalam sejarah dengan pelbagai isu besar spt penyerahan Blok L,M kepada Brunei, Tanah KTM di Singapura, Isu kemerosotan dana Felda yang mengejutkan, serta pelbagai gejala social yang berlaku menuntut rakyat membuat perubahan besar; bukan meminta PAS memikul sama  kemungkaran ini,” tegas beliau.

Harakahdaily

Retreat sahkan sokongan Melayu kekal kepada PAS

 
KUALA LUMPUR, 12 Julai: Pemukiman tiga hari PAS bermula Jumaat hingga Ahad lalu di Port Dickson merumuskan parti itu tidak mengalami penurunan sokongan Melayu seperti yang didakwa pihak tertentu.Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata berdasarkan analisis yang dibuat, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 sehingga PRU 2008, undi Melayu terhadap PAS konsisten dan menyaksikan sedikit peningkatan.

“Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan sehingga 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet.

“Pada PRU tahun 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus.

“Ini membuktikan bahawa PAS tidak kehilangan pengundi teras Melayu selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan pihak tertentu bahawa PAS mengalami kemerosotan sokongan Melayu ekoran kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat.

Dakwaan itu dibuat ekoran serangan hebat terhadap PAS oleh Umno ketika parti itu berusaha untuk mengekalkan kedudukannya walaupun sokongan untuk rakan-rakannya dalam BN hilang.

Dalam pilihan raya 2008, sokongan pengundi luar bandar kepada PAS tidak tinggi bukannya kerana mereka Melayu tetapi kerana maklumat dari PAS dan rakan-rakannya tidak sampai kepada mereka.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PAS memperoleh 45 peratus sokongan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang sewaktu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin menjadi calon.

“Itu tidak termasuk sokongan Melayu di Kelantan, kalau diambil kira Kelantan, sokongan Melayu lagi la tinggi,” tambahnya lagi.

Pemukiman hujung minggu lalu itu disertai  ahli Majlis Syura PAS serta Presiden dan AJK PAS pusat yang lain.

Ianya antara lain bagi merangka persedian PAS menghadapi PRU ke-13.

Dalam pada itu retreat tersebut juga merumuskan bahawa yang menghakis kepentingan Melayu seperti termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan adalah Umno BN.

Menurutnya, isu memperkenal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan isu penukaran sistem kemasukan ke IPT dari kuota ke meritokrasi antara contoh penghakisan hak Melayu oleh Umno BN.

Sehubungan itu jelasnya, atas sebab itu PAS juga memutuskan akan memulakan usaha lebih konstruktif melindungi hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan tanpa menafikan hak kaum-kaum lain sebagai warga negara Malaysia.

“Teras kita adalah keadilan kepada siapa yang berhak.

“Semua parti dalam Pakatan Rakyat pada konvensyen lalu sebulat suara telah bersetuju mempertahan apa sahaja yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Nazri Abdullah – Harakahdaily

Debat: Shafie jangan berkokok melalui media

KOTA KINABALU, 7 Julai: PAS Sabah mendesak Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya bertindak sebagai anak jantan dan menyahut cabaran Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengadakan debat terbuka berhubung tuduhan PAS sebuah parti ajaran sesat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah berkata, jika benar Shafie mempunyai kredibiliti dan berwibawa, maka jalan terbaik untuk membuktikannya ialah berdebat dengah Salahuddin.

Beliau berkata, sekirannya Naib Presiden Umno itu menolak, membuktikan beliau seorang bacul dan hanya berani berkokok melalui media.

“Saya harap Shafie masih ingat ketika peristiwa beliau terpaksa membatalkan perjalanannya walaupun beliau sudah daftar masuk untuk penerbangan MAS dari Tawau ke Kuala Lumpur.

“Ini disebabkan beliau takut berdepan dengan Datuk Seri Anwar  yang berkebetulan daftar masuk untuk penerbangan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya lagi, tindakan Shafie jelas menunjukkan bahawa beliau sebenarnya gentar untuk bersekemuka pemimpin Pakatan Rakyat dan hanya berani secara ‘baling batu sembunyi tangan’.

“Pusat-pusat judi, karaoke, kelab malam, pusat urut dan pelbagai lagi  tumbuh dengan subur sekali di bawah Umno BN. Isu pembuangan bayi, kes zina, gugur anak merupakan budaya rutin yang semacam tiada penghujungnya akibat Umno BN menolak hukum Allah. Inilah kesesatan yang nyata,” tegasnya.

Azim Fitri  - Harakah daily

Biasalah pemimpin umNO/BN jaguh haprak

Najib ‘flip-flop’ lagi dalam hal ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya berbolak-balik ketika menggambarkan situasi ekonomi negara, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata demikian kerana Najib yang juga Menteri Kewangan I semalam dilaporkan mengaku bahawa ekonomi negara kemungkinan menguncup pada suku kedua tahun ini disebabkan beberapa faktor luaran.

Sedangkan, katanya lagi, Najib pada 30 Jun lalu menyuarakan rasa optimis bahawa ekonomi negara mampu tumbuh sebanyak 6 peratus pada tahun ini melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

“Sekajap yakin ekonomi kita tumbuh, sekejap kata menguncup, apa sebenarnya yang dia (Najib) nak beritahu kita,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena di lobi Parlimen, semalam.

Bagi beliau, pengakuan Najib itu sekaligus mencerminkan bahawa beliau tersilap perhitungan dalam menyediakan kerangka RMK10.

Dari segi yang lain, beliau berkata, Najib tidak seharusnya melihat faktor-faktor luaran seperti iklim ekonomi dunia semata-mata.

Tambahnya, selagi kerajaan tidak mempunyai iltizam politik dengan memulihara integriti mahkamah dan urus tadbir negara dari budaya kronisme, rasuah serta pembaziran, selagi itu pihak luar kurang yakin untuk datang melabur dalam negara.

Ini kerana, beliau berkata, para pelabur asing melihat semua segi tersebut selain melihat prospek yang ditawarkan oleh kerajaan melalui RMK10.

Sementara itu, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS berkata, kenyataan tidak konsistan Najib itu mencerminkan bahawa kebinet di bawah pimpinannya adalah kabinet berbolak-balik (flip-flop).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Najib sepatutnya membuat kajian mendalam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung ekonomi nasional.

“Buatlah sedikit  ‘homework’, dia Perdana Menteri, dia Menteri Kewangan I, kenyataan  ‘flip-flop’ seperti ini tentu meninggalkan impak pada iklim ekonomi negara,” jelasnya.

Ini kerana, beliau berkata, kenyataan berbelit-belit itu secara tidak langsung tentunya memberi gambaran tidak langsung di kalangan pelabur asing dan tempatan terhadap prospek ekonomi domestik.

Tuntas dari itu, beliau mendesak Najib sekali lagi tampil di Dewan Rakyat dengan penuh bertanggungjawab menjelaskan iklim ekonomi negara pasca RMK10.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sebelum ini telahpun mendakwa kabinet Najib sebagai ‘kabinet flip-flop’.

Dakwaan ini ekoran keputusan kabinet Najib membatalkan niat melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), lesen judi sukan sempena Piala Dunia 2010, menghapuskan subsidi minyak dan barangan kawalan tertentu seperti yang diumumkan Najib sejak dimahsyurkan sebagai Perdana Menteri.

Dzulfikar Mashoor   - Harakahdaily

Begitulah nasib rakyat malaysia akan terus ditipu dulu kini dan selamanya….kerana masih banyak yang tak nak berubah dan sanggup di tipu sampai mati….

Umno guna APCO serang saya – Anwar

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno menggunakan isu APCO Worldwide untuk menyerangnya semasa berada di luar negara.

“Masalahnya, Umno menggunakan APCO, yang diketahui mempunyai hubungan dengan Israel, untuk menyerang saya di luar negara,” ujarnya kepada media di Parlimen petang ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini berhubung perjumpaannya dengan beberapa pemimpin Yahudi di Washington sebagaimana laporan akhbar Washington Post, Isnin lalu.

Berita muka depan Utusan Malaysia hari ini melaporkan Anwar yangh dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi disahkan mengunjungi Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi ‘menjernihkan’ hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti Yahudi dalam isu APCO Worldwide, baru-baru ini.

Kunjungan Anwar itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post.

Berkenaan dengan zionis, Anwar menjelaskan, beliau ditanya kenapa menggunakan perkataan itu.

Jelasnya, mengikut fahamannya, zionis adalah berhubung kait dengan pencerobohan dan dasar imperial Israel yang terus memperluaskan wilayah Israel yang asal sehingga dalam keadaan sekarang.

Tetapi, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, mereka kata, bagi mereka zion adalah tanahair Yahudi.

“Saya kata jika itu istilah anda, ia berbeza dengan apa yang saya faham. Itu yang diputar belit oleh Utusan (Malaysia).

“Bila saya kata ‘dunia sudah hilang kesabaran terhadap Israel’, itu Utusan tak sebut. Bila yang membayar lebih RM70 milion kepada APCO, itu Utusan tak sebut, jadi kita fahamlah. Saya pun tak fikir RTM dan TV3 akan sebut, itu faktanya,” kata beliau lagi.

Anwar menjelaskan, tujuan beliau ke Washington adalah di atas jemputan Woodrow Wilson International Center untuk memberikan syarahan.

Selepas itu, katanya seperti biasa diadakan perjumpaan yang telah diatur untuk kakitangan editorial dan media antarabangsa.

“Ramai rakyat Amerika dan Yahudi merasakan ia adalah satu terjemahan yang tidak adil kerana bagi mereka, zion adalah negeri/kerajaan yang adil dan sah.

“Jadi saya katakan pada mereka, jika itu maksud mereka, saya tidak merasakan demikian, dan saya tetap dengan pendirian dan fahaman saya bahawa zion itu adalah pencerobohan dan penjajahan,” jelasnya.

Harakahdaily

1:40 pengundi baru agenda politik Umno

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) cuba menjayakan agenda politik Umno untuk terus berkuasa di tanah air pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Beliau berkata demikian kerana SPR dilihat sengaja membiarkan isu nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak PRU12 lalu adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40) berpanjangan.

“Mereka sengaja tak mahu menggunakan daftar automatik. Ini lebih bersifat mahu menyelesaikan agenda politik Umno untuk terus kekal memerintah di Malaysia,” ujar beliau petang tadi selepas mesyuarat berkala Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, SPR sepatutnya boleh menangani masalah mendaftar pengundi baru di kalangan masyarakat Melayu dengan melaksanakan daftar undi secara automatik.

“Sebenarnya SPR boleh mengatasi masalah ini dengan cara yang baik, iaitu melalui daftar secara automatik,” ujar beliau.

Katanya lagi, kenyataan ‘1:40’ yang dibuat oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno itu sebenarnya langsung itu memberi kesan pada sensitiviti rakyat yang nyata menolak politik perkauman Umno.

Ini kerana, beliau berkata, rakyat tidak kira Melayu ataupun masyarakat bukan Melayu sejak tsunami politik PRU12 lalu sudah mulai menerima kuasa politik Melayu yang baru, iaitu kepemimpinan Pakatan Rakyat sebagai teras pada kuasa politik negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS serta Pakatan Rakyat mampu menggantikan Umno BN dengan sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu, termasuk para pengundi baru kelak.

“Umno sekarang dalam bimbang, mereka takut hilang kuasa dan mereka takut pengundi baik Melayu atau tidak pergi pada kuasa yang baru, iaitu Pakatan Rakyat,” tegas beliau.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu nisbah 1:40 tersebut mencerminkan kegagalan SPR dalam menguruskan urusan pilihan raya di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menyokong cadangan Abdul Hadi supaya daftar pengundi baru dibuat secara automatik.

Beliau turut mempertikai kaedah SPR dalam menyelesaikan masalah pengundi yang bermastautin di luar negara.

“Malahan, ratusan ribu rakyat Malaysia di luar negara sekarang seakan dinafikan hak untuk mengundi disebabkan masalah sulit ini,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, Pakatan Rakyat bercadang untuk menuntut semula SPR menerima cadangan mereka sebelum ini, iaitu daftar undi secara automatik.

“Ini yang akan kita tuntut dan sekiranya SPR jujur mahu memperkatakan tentang pilihan raya yang adil, telus dan demokratik, maka mereka perlu terima cadangan ini,” ujar beliau.

Bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula, selain mendakwa Pemuda Umno mendedahkan perangkaan yang palsu, beliau turut mencabar SPR untuk mendedahkan perangkaan yang sebenar berhubung isu nisbah 1:40 tersebut.

“Dari maklumat yang kita dapat, pendedahan Pemuda Umno itu saya fikir adalah tidak betul.

“Maka, kita nak cabar SPR untuk dedahkan angka yang sebenar, jumlah yang didaftar dan peratus penyusutan daftar pengundi baru mengikut bangsa,” ujar beliau.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan untuk menganjurkan konvensyen bersama peringkat kebangsaan pada Oktober ini.

Tetapi, Anwar sendiri tidak memberikan tarikh spesifik berhubung konvensyen tersebut ketika disoal oleh wartawan.

Dzulfikar Mashoor – Harakahdaily