PERUTUSAN TG NIK AZIZ DARI TANAH SUCI. {BERSIH 2.0}

Saat ini saya sedang berada di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah menunggu waktu solat Zohor dan menghadap wajah saya ke Kaabah. Insya Allah selepas Asar, saya akan bertawaf wida’ dan akan meninggalkan Tanah Suci. Baru sebentar tadi saya dimaklumkan tentang penahanan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Saya juga dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden PAS dan beberapa orang pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat adalah antara beratus-ratus orang yang telah ditangkap oleh polis kerana menyertai Bersih 2.0 pada hari ini.

Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi oleh sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini. Saya menuntut agar dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap oleh polis. Jangan menyangka gari dan peluru boleh menakutkan semua orang.

Saya tegas untuk menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap Umno. Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui bahawa alat kawalan jauhnya dipegang oleh Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga merupakan Presiden Umno. Padahal, apa masalahnya dengan berhimpun?

Bukankah Presiden Umno baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa ada sedikitpun halangan? Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini hanya untuk mengumpulkan 300 ribu orang dibalas dengan gari dan semburan gas? Bukankah orang yang sama juga pernah menjanjikan bahawa himpunan akan dibenarkan jika dibuat di dalam stadium bahkan diberikan keizinan untuk ‘melalak sampai pagi’?

Saya yakin, apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada Umno. Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja. Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah SWT. Kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah SWT nanti. Umno barangkali tidak tahu bahawa orang yang dizalimi mempunyai senjata yang ampuh iaitu doa.

Saya menyeru kepada semua umat Islam agar marilah bersama-sama berdoa di dalam sujud kita kepada Allah SWT agar dilaknat kezaliman yang dilakukan pada hari ini. Yakinlah, perjuangan menuntut keadilan ini pasti akan berjaya. Umno pasti akan jatuh tersembam juga akhirnya. Tentangan dan penindasan ini hanyalah tanda perjuangan keadilan akan berjaya. Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan!

Allahu Akbar!

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT.

Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.

Dicatat pada: 12.00 tengah hari (5.00 petang waktu tempatan).

7 Syaaban 1432/9 Julai 2011

Hilang sejak 4 hari lepas: Doakan PJ PAS Wilayah selamat

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Ahli dan  Penyokong PAS di Wilayah Persekutuan di pohon supaya berdoa agar pesuruhjaya mereka, Haji Mohamad Nor berada dalam keadaan selamat selepas tidak dapat dihubungi sejak Jumaat 12 Februari lepas.

Kali terakhir beliau dilihat adalah dalam mesyuarat Koperasi Muslimin Berhad dan beliau dilihat keluar dengan Unser merahnya, WJD 4469.

Demikian beritahu anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali kepada Harakahdaily.

Menurut Lo’ Lo’, salah seorang ahli mesyuarat itu memberitahu, Haji Mohamad memberitahu, dia mahu berjumpa dengan kawan pada tengah malam itu.

Namun, sehingga kini beliau tidak pulang dan tidak juga dapat dihubungi, kata Lo’ Lo’.

Sehubungan itu, beliau memohon ahli PAS berdoa agar PJ Wilayah Persekutuan itu berada dalam selamat dan dapat menghubungi keluarganya dengan segera.

“Saya memohon Unit Amal dan Briged Amal agar membuat skuad mencari segera,” cadang Dr Lo’ Lo’.

Dalam pada itu anaknya, Umar Mohamad Nor berkata, kali terakhir ayahnya dilihat adalah di kawasan rehat dan rawat Maran, Pahang pada Jumaat malam yang lalu.

Pada pagi esoknya kira-kira jam 8.00 pagi, telefon beliau dikesan berada di Temerloh, Pahang.

“Sejak itu kami tidak ada sebarang maklumat lagi tentang ayah,” kata Umar kepada Harakahdaily.

Menurut Umar, perkara ini tidak pernah lagi berlaku ke atas ayahnya kerana dia akan memberitahu kemana sahaja dia akan pergi.

Sumber Harakahdaily

Isteri Datuk Kamarudin meninggal dunia

KELANA JAYA, 11 Nov: Isteri Datuk Kamarudin Jaffar, Datin Kamariah Kamarudin meninggal dunia jam 6 pagi ini selepas sekian lama melawan kanser.

Datin Kamariah meninggal di rumahnya di No 2, Jalan SS 7/4, Kelana Jaya, di hadapan anak-anaknya kerana suami beliau, Datuk Kamarudin, anggota Parlimen Tumpat yang juga AJK PAS Pusat  masih dalam perjalanan pulang dari Qatar.

Beliau bergegas pulang ke Malaysia selepas mengetahui isterinya tidak sihat malam tadi. Kamarudin, bekas Setiausaha Agung PAS, dijangka akan sampai ke KLIA tengahari ini.

Allahyarhamah Datin Kamariah, 50-an, telah sekian lama menghidap kanser usus dan sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) termasuk kimoterapi.

Suami beliaulah, walaupun dalam keadaan sibuk,  sentiasa berada di sisinya termasuk berada bersama beliau setiap kali mendapatkan rawatan kimoterapi di SJMC.

Menjelang Mutamar PAS Jun lalu, Kamarudin telah memberitahu pucuk pimpinan PAS agar tidak lagi melantik beliau menjadi setiausaha agung. Alasan yang diberikan adalah untuk membolehkan beliau mempunyai lebih banyak masa dengan isterinya itu.

Datuk Kamarudin juga adalah Pengarah Urusan Harakah sehingga kini. Beliau mempunyai empat anak, dua lelaki dan dua perempuan, sepanjang perkongsian hidupnya dengan Allahyarhamah.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah kepada Datuk Kamarudin Jaffar di atas pemergian isterinya, Datin Kamariah Kamarudin pagi tadi.

“Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ingin  merakamkan ucapan takziah kepada YB Datuk Kamarudin Jaafar di atas pemergian isteri beliau, Datin Kamariah Kamarudin, ke rahmatullah pagi ini 11 November 2009.

“Sudah tentu pemergiaan isteri beliau ini bukan sahaja dirasai oleh Datuk Kamarudin Jaafar, tetapi juga seluruh anggota keluarga yang senantiasa bersabar dengan ujian dari Allah ini.

“Semoga Datuk Kamarudin Jaafar bersabar dengan ketentuan Allah ini. Kita juga mendoakan agar roh isteri beliau itu berada dalam rahmat dan keampunan Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan.

Seluruh warga PAS, kakitangan Harakah dan Harakahdaily serta anak-anak syarikat mengucapkan takziah kepada Datuk Kamarudin dan keluarga. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan solehah.

Alfatihah

Sumber harakahdaily

N-31 Bagan Pinang: SPR Menipu Dalam Undi Pos

PAS menuntut Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menghentikan serta merta proses pembuangan undi pos kerana badan pelaksana itu tidak menggunakan daftar pemilih rasmi yang sah.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pagi tadi menegaskan tindakan SPR itu bertentangan dengan Peraturan 14A Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981.

Continue reading

Markas Pemuda PAS diceroboh, petugas ditumbuk

BAGAN PINANG, 8 Okt: Lebih enam orang petugas Dewan Pemuda PAS (DPP) dipukul sekumpulan lelaki ketika sedang bertugas di beberapa tempat termasuk di markas induk DPP di Bagan Pinang.

Dalam kejadian malam tadi, sekumpulan lelaki terbabit dipercayai penyokong BN telah menyerbu dan menceroboh markas induk DPP dan menumbuk petugas yang berada di situ.

Continue reading