Ucapan Dasar presiden fokus manifesto PRU 13

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menumpukan kepada manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Ustaz Hadi juga akan menjelaskan kaedah menawarkan ‘negara berkebajikan’iaitu manifesto yang dibawa parti itu pada PRU lalu.

Ianya juga termasuk tawaran terbaru Pakatan Rakyat iaitu tawaran 100 hari yang terkandung dalam Buku Jingga.

“Tentunya, ada beberapa agenda yang perlu dilaksanakan dalam mencapai maksud tersebut (negara berkebajikan), agenda untuk membetulkan pemikiran rakyat, membetulkan salah urus tadbir negara dan agenda untuk melaksanakan perubahan,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tambah beliau lagi, ucapan dasar Presiden juga akan menyentuh mengenai pemerkasaan gerak kerja pilihan raya di setiap peringkat bagi menghadapi pilihan raya.

Ia juga berbentuk seruan kepada seluruh ahli agar mempersiapkan mental dan fizikal ke arah PRU ke-13 yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

“PAS  juga menggunakan ruang ini untuk memperkasakan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya umum.

“Seluruh jentera termasuk lajnah-lajnah dan dewan-dewan perlu digerakkan ke arah itu dan segala yang disampaikan menjurus ke arah konteks pilihan raya umum ke 13,” katanya.

Ustaz Hadi akan menyampaikan ucapan dasar ini selepas majlis perasmian muktamar PAS Pusat pada 3 Jun di Dewan Utama Kolej Universiti Islam Zulkifli Ahmad (KUIZM), Taman Melewar untuk dibahaskan perwakilan dewan-dewan dan setiap negeri.

Muktamar penuh akan berlangsung 2 hingga 5 Jun sementara muktamar Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat akan berlangsung pada 2 Jun. - Hazayani Zakaria

Sumber HarakahDaily

Pemilihan PAS paling bersih, harmoni

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Pemilihan pucuk kepimpinan PAS kali ini menggambarkan kestabilan parti, ketelusan pimpinan, ketokohan yang ada dalam parti dan sekaligus kredibiliti calon-calon yang bertanding.

Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu, Nik Nasri Nik Malek berkata, ini kerana  pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam Muktamar Tahunan kali ini dibuat dalam keadaan negara menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Katanya, parti-parti lain menangguhkan pemilihan masing-masing atas alasan mahu menumpukan kepada pilihan raya.

Tambahnya, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan kesediaan PAS meneruskan pemilihan.

“Kesediaan ini menunjukkan pemilihan pucuk pimpinan peringkat pusat ini tidak akan mengganggu gerak kerja ke arah PRU 13 nanti,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, akhbar dan tv terutama yang menjadi tali hidung kepada Umno BN barang kali menunggu dan mencari isu-isu yang dirasakan boleh menggugat kestabilan parti dan kredibiliti calon-calon timbalan, naib presiden dan lain-lain.

“Alhamdulillah, tarbiyah PAS kepada pendokong jemaah dalam tempoh yang panjang dan berterusan menjadikan pemilihan PAS berjalan lancar dan cukup harmoni,” ujarnya.

Mungkin, katanya ada cakap-cakap tentang kecenderungan seorang kepada seseorang calon.

Namun, ujarnya ia adalah perkara biasa dalam sesebuah jemaah dan parti tetapi kecenderungan itu tidaklah sampai menjatuhkan yang lain dengan tidak beradab.

Tambahnya, ia boleh berlaku dalam parti sekular tetapi jika berlaku dalam parti Islam, maka ia amat asing.

“Alhamdulillah sekali lagi. Tiada calon terlibat dengan rasuah, skandal seks, menipu dan lain-lain perkara yang merobek kredibiliti,” tegasnya.

Ini, katanya tidak sebagaimana dalam pemilihan Umno terutamanya politik wang, calon dipalit dengan skandal seks, latar belakang peminum arak dan perasuah menjadi barah yang parah.

Tambahnya, ada akhbar yang cuba melihat pemilihan perwakilan PAS akan berdasarkan kredibiliti atau populariti tetapi ia adalah persepsi akhbar itu.

Tegasnya, pendukung PAS sudah diajar sebelum ini dan sekali lagi kepimpinan terus mengingatkan tentang tanggungjawab pemilihan di mana kesemua calon ada kredibiliti dan mereka juga popular.

Namun, katanya popular dalam PAS diajar oleh tarbiahnya bukan kerana mahukan populariti, tetapi kerana mereka terkehadapan dalam kerja-kerja al-amr bilmakruf wannahy anil-munkar, sama ada dalam konteks politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain, kerana itu mereka dicalonkan.

Beliau berkata, cuma fitrah manusia, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan di mana kelebihan dalam satu aspek dan kekurangan dalam aspek lain tetapi kelemahan itu tidaklah menghilangkan kredibiliti dan kelebihan yang ada secara total.

Dengan kata lain, ujarnya perwakilan akan memilih yang terbaik dari kalangan yang terbaik.

“Rakyat, terutama masyarakat Melayu perlu sedar bahawa pemilihan dalam pucuk pimpinan PAS sekarang dalam muktamar yang akan berlangsung ini yang tenang, harmoni, telus, penuh semangat ukhuwwah, menyedari jawatan bukan kemuliaan tapi pertanggungjawaban inilah yang boleh menjadi petunjuk bahawa PAS mampu memimpin dengan ertikata sebenar, bukan sahaja orang Melayu, bahkan rakyat dan sebagai pemimpin negara bagi menggantikan Umno BN yang sudah lama korup itu,” ujarnya.

Sumber HarakahDaily

Muktamar PAS bakal lonjak semangat jihad

PARIT BUNTAR, 30 Mei: Muktamar Tahunan PAS ke-57 yang berlangsung pada 2 hingga 5 Jun ini akan melonjakkan semangat jihad semua petugas parti untuk melakukan sesuatu yang terbaik bagi memenangkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Justeru, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim(gambar) ingin menarik perhatian mengenai beberapa persiapan yang sebaiknya dilakukan oleh perwakilan PAS seluruh negara sebelum mereka melangkah ke muktamar PAS tahun ini sebagai perwakilan bagi memenuhi amanah yang ditetapkan oleh kawasan masing-masing.

“Mungkin saya tidak selayaknya untuk memberi pandangan seperti di bawah namun paling kurang ianya memberi ingatan kepada diri saya sendiri,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau mengira semua perwakilan sewajarnya memastikan membawa setiap seorang atau sekurang-kurangnnya bagi setiap kawasan senaskah buku Perlembagaan PAS.

Ini, katanya penting sebagai rujukan semasa timbul kekeliruan sepanjang pengendalian sidang terutamanya sesuatu yang berkaitan dan peraturan yang sedia ada.

Menurutnya, membawa naskah perlembagaan parti setiap kali muktamar adalah sesutu yang sangat penting terutamanya semasa ada usul berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

Perwakilan juga, katanya hendaklah membudayakan untuk mencatat perkara penting berupa usul, cadangan, amanat pimpinan dan sebagainya sepanjang tempoh muktamar berlangsung seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Kerana itu, katanya bahan catatan secukupnya hendaklah dibekalkan oleh panitia atau di bawa sendiri oleh setiap perwakilan.

“Khusus bagi perwakilan yang mengidap penyakit yang memerlukan rawatan pemakanan ubat secara rutin maka saya ingatkan supaya perwakilan yang terlibat untuk membawa bekalan ubatan secukupnya,” ujarnya.

Ini, ujarnya adalah untuk mengelak gangguan kesihatan dan menjejaskan prestasi kehadiran selama sidang.

Beliau yang juga Adun Titi Serong menambah, bagi yang ditugaskan sebagai pembahas bagi setiap negeri, dicadangkan adalah sebaiknya disediakan teks perbahasan supaya perbahasan pada muktamar lebih berkualiti dan menepati masa yang telah ditetapkan.

Tambahnya, perlulah diingatkan bahawa perbahasan tersebut menjadi perhatian dan dinilai oleh banyak pihak termasuk kawan dan lawan dan sekaligus meletakkan PAS sebagai parti yang lebih disegani dan dihormati dipersada politik tanah air.

“Semoga penginapan yang sepatutnya telah ditempah sekitar Taman Melewar dan Kuala Lumpur bagi memastikan kesihatan dan stamina perwakilan juga menjadi keutamaan.

“Akhirnya saya mengharap semua perwakilan dan pemerhati diberikan keselamatan oleh Allah SWT sepanjang perjalanan pergi dan balik dari muktamar,” katanya.

Sumber HarakahDaily

Nasharudin kekal; Salahuddin,Mahfuz dan Tuan Ibrahim menangi Naib Presiden

SHAH ALAM, 6 Jun (Hrkh) – Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Muktamar PAS ke-55, Dato’ Mustafa Ali mengumumkan, Ustaz Nasharudin Mat Isa menang jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan, Dato’ Husam Musa dan Mohamad Sabu.

ImageSementara, bagi jawatan Naib Presiden, Salahudin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato’ Mahfuz Omar menewaskan dua lagi pencabar, Mujahid Yusof Rawa dan Nik Amar Nik Abdullah.

 

Di bawah ialah keputusan penuh pemilihan PAS sesi 2009/2011:

Presiden

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, (480)

Naib Presiden

1)Tuan Ibrahim Tuan Man, (871)
2)Salahuddin Ayub, (824)
3)Mahfuz Omar, (636)

ImageAhli Jawatankuasa Kerja

1) Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, (854)
2) Ustaz Idris Haji Ahmad, (799)
3) Dato’ Kamarudin Jaffar (769)
4) Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak, (653)
5) Dato’ Dr Hasan Mohd Ali (642)
6) Dr Mohd Hatta Md Ramli (638)
7) Ustaz Abdul Ghani Samsudin, (637)
8) Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik (622)
9) Mohamed Hanipa Maidin, (619)
10) Ir Amiruddin Hamzah, (606)
11) Dr Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali, (589)
12) Ustaz Ab Ghani Abdul Rahman,(584)
13) Dr Dzulkefly Ahmad, (576)
14) Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, (536)
15) Ustaz Hashim Jasin, (522)
16) Mazlan Aliman, (513)
17) Ustaz Taib Azamudden Md Taib, (508)
18) Dr Mujahid Yusof Rawa, (488)/wann. _ _

Perwakilan PAS WP Labuan di Muktamar PAS ke 55

Seramai 5 orang perwakilan dan 4 orang pemerhati dari PAS WP Labuan datang menghadiri  Perhimpunan Muktamar Tahunan PAS ke 55 di Stadium Malawati Shah Alam Selangor pada 05 – 07 Jun 2009.

Perhimpunan kali ini mendapat perhatian bukan sahaja media tempatan tetapi juga antarabangsa kerana di Perhimpunan tahun ini akan diadakan pemilihan kepimpinan PAS untuk tahun 2009 – 2011. Pengundian yang telah selesai petang tadi ( 05 Jun ) akan diketahui keputusannya pada pagi 06 Jun bila sidang hari kedua bermula.

Gambar-gambar perhimpunan

DSC06329DSC06341

DSC06342DSC06343

mukta2