Bertasbih tapi menghalalkan yang haram

Di antara perkara yang sangat-sangat menggembirakan saya ialah apabila pimpinan PAS yang tidak mempunyai latar pendidikan agama yang tinggi (termasuk yang tidak berpendidikan formal dalam bidang agama) telah menunjukkan kemampuan dalam menghurai sesuatu dalam konteks Islam dengan begitu baik. Yakin sungguh di hati kecil saya, inilah kesan daripada perjuangan PAS yang dipimpin golongan ulama’.

Hasilnya, golongan dilihat telah mampu memahami dan menghuraikan aspek kehidupan dari perspektif Islam dengan jelas. Ia merupakan hasil didikan dan tarbiyah yang diperolehi di dalam PAS. Berbeza dengan Umno yang dilihat membekukan golongan ulama’. Jika tidak, mana mungkin sesuatu yang haram seperti judi, boleh dilesenkan sebagai halal.

Saya menyentuh begini kerana ada peristiwa menarik hati saya sewaktu penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan tempoh hari (9 Rejab 1431/22 Jun 2010). Ia adalah sidang kali ke-2 bagi tempoh penggal ketiga Dun Kelantan yang Ke- 12.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PAS menghuraikan falsafah solat begitu tepat sekali, walaupun tidak mendapat pendidikan agama yang tinggi secara formal. Jika boleh saya nukilkan kembali bagaimana YB Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) menyebut betapa peliknya sesetengah Muslim yang sewaktu rukuk dan sujudnya menyebut tasbih meninggikan Allah SWT, tetapi di dalam masa yang sama menyokong judi dihalalkan.

Tidakkah terdetik di hati kecil mereka betapa salahnya apa yang mereka lakukan. Dahi sujud kepada Allah membisik tasbih, memuji Allah SWT dengan mengaku bahawa Allah SWT yang Maha Tinggi, tetapi di luar solat mengangkat tangan bersetuju dengan judi. Tidakkah terdetik rasa malu kepada Allah SWT?

Saya ingin menambah dalam coretan ringkas ini. Sebenarnya Kerajaan Umno/BN melesenkan judi untuk meraih pendapatan yang lebih. Dalam erti kata lain untuk mendapat kemakmuran. Sedar atau tidak, persoalan kemakmuran telah disebut jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Jika saya diberi peluang berkuliah kepada pimpinan Umno, ingin sekali saya membaca ayat daripada Surah Al A’raf, ayat 96 yang bermaksud:

…Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya…

Sudikah kiranya pemimpin Umno yang beragama Islam mengambil sedetik dua masa untuk menelaah ayat ini? Jika sudi, perhatikanlah bagaimana janji Allah untuk melimpahkan segala macam berkat hanya apabila manusia beriman dan bertakwa.

Kemakmuran ialah satu keberkatan. Kemakmuran bukannlah bermakna kemewahan semata-mata. Hidup kaya raya tetapi hati susah bukan makmur namanya. Negara mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat jelata begitu teruk. Itu bukan makmur namanya. Sedangkan kami di Kelantan percaya bahawa keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT, dan atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan.

Sayangnya, pimpinan Umno pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran di atas. Barangkali, jika masih ada golongan ulama’ yang berminat mahu berada di dalam kubang Umno, saya hanya mampu untuk bersimpati.

Nik Abdul Aziz Nik Mat – Harakahdaily

1:40 pengundi baru agenda politik Umno

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) cuba menjayakan agenda politik Umno untuk terus berkuasa di tanah air pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Beliau berkata demikian kerana SPR dilihat sengaja membiarkan isu nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak PRU12 lalu adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40) berpanjangan.

“Mereka sengaja tak mahu menggunakan daftar automatik. Ini lebih bersifat mahu menyelesaikan agenda politik Umno untuk terus kekal memerintah di Malaysia,” ujar beliau petang tadi selepas mesyuarat berkala Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, SPR sepatutnya boleh menangani masalah mendaftar pengundi baru di kalangan masyarakat Melayu dengan melaksanakan daftar undi secara automatik.

“Sebenarnya SPR boleh mengatasi masalah ini dengan cara yang baik, iaitu melalui daftar secara automatik,” ujar beliau.

Katanya lagi, kenyataan ‘1:40’ yang dibuat oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno itu sebenarnya langsung itu memberi kesan pada sensitiviti rakyat yang nyata menolak politik perkauman Umno.

Ini kerana, beliau berkata, rakyat tidak kira Melayu ataupun masyarakat bukan Melayu sejak tsunami politik PRU12 lalu sudah mulai menerima kuasa politik Melayu yang baru, iaitu kepemimpinan Pakatan Rakyat sebagai teras pada kuasa politik negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS serta Pakatan Rakyat mampu menggantikan Umno BN dengan sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu, termasuk para pengundi baru kelak.

“Umno sekarang dalam bimbang, mereka takut hilang kuasa dan mereka takut pengundi baik Melayu atau tidak pergi pada kuasa yang baru, iaitu Pakatan Rakyat,” tegas beliau.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu nisbah 1:40 tersebut mencerminkan kegagalan SPR dalam menguruskan urusan pilihan raya di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menyokong cadangan Abdul Hadi supaya daftar pengundi baru dibuat secara automatik.

Beliau turut mempertikai kaedah SPR dalam menyelesaikan masalah pengundi yang bermastautin di luar negara.

“Malahan, ratusan ribu rakyat Malaysia di luar negara sekarang seakan dinafikan hak untuk mengundi disebabkan masalah sulit ini,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, Pakatan Rakyat bercadang untuk menuntut semula SPR menerima cadangan mereka sebelum ini, iaitu daftar undi secara automatik.

“Ini yang akan kita tuntut dan sekiranya SPR jujur mahu memperkatakan tentang pilihan raya yang adil, telus dan demokratik, maka mereka perlu terima cadangan ini,” ujar beliau.

Bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula, selain mendakwa Pemuda Umno mendedahkan perangkaan yang palsu, beliau turut mencabar SPR untuk mendedahkan perangkaan yang sebenar berhubung isu nisbah 1:40 tersebut.

“Dari maklumat yang kita dapat, pendedahan Pemuda Umno itu saya fikir adalah tidak betul.

“Maka, kita nak cabar SPR untuk dedahkan angka yang sebenar, jumlah yang didaftar dan peratus penyusutan daftar pengundi baru mengikut bangsa,” ujar beliau.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan untuk menganjurkan konvensyen bersama peringkat kebangsaan pada Oktober ini.

Tetapi, Anwar sendiri tidak memberikan tarikh spesifik berhubung konvensyen tersebut ketika disoal oleh wartawan.

Dzulfikar Mashoor – Harakahdaily

PAS tidak gentar ribuan orang agama sertai Umno

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) menegaskan, parti itu tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai Umno.

Katanya, kalau beribu-ribu menyertai Umno pun PAS tidak takut, lebih-lebih lagi yang menyerahkan borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat. 

“Saya cuba hubungi rakan di Fakulti Islam UKM untuk bertanya seorang yang masuk menyertai Umno itu pensyarah Fakulti Islam, rakan saya beritahu, beliau pun tidak kenal,” ujarnya.

“Jikalau beliau yang menjadi pensyarah senior di Fakulti Islam UKM pun tidak kenal, macam mana pula Pak Mat di Dabong, Gua Musang dan Mak Minah di  Hulu Tembeling Pahang hendak kenal,” ujarnya sinis.

Tegasnya, perjuangan PAS bukan menentang peribadi tetapi menentang dasar Umno.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi mempertahankan dasar Umno yang  membawa perkara munkar dan mengkhianati amanah negara dan rakyat.

PAS, jelasnya tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul.

Beliau berkata, PAS yakin mereka yang berlatar belakang agama dalam Umno tidak ke mana akhirnya kerana hanya akan menjadi kupang tembaga yang digunakan ketika hendak melawan hujah PAS.

“Itu pun bukan secara berdepan. Mereka hanya berani bercakap ketika seorang diri tanpa di pihak lawan. Beberapa kali PAS ajak berdebat sampai hari ini tidak pernah disahut,” katanya lagi.

Tambahnya, PAS juga yakin bahawa Umno bukan tempat untuk orang agama berjuang.

Sekadar menyebut beberapa nama mereka di dalam Umno yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan pengaruh yang lebih hebat daripada 40 orang yang baru menyerah borang menyertai Umno, beliau bertanya ke mana perginya mereka yang berkenaan.

Antaranya ialah Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad di persada politik umno.

Justeru, ujarnya PAS merasa hairan ketika kapal Umno hendak tenggelam dan penyakit barah Umno sudah sampai kepada peringkat keempat untuk ditalqinkan, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang agama bersama-sama dengan Umno untuk karam sama.

“Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersekongkol dengan Umno.

“Parti yang  rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO  Yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunei,” katanya. 

Tegasnya, PAS yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.

Nazri Abdullah   -Harakahdaily

Pengganas: PAS tuntut kerajaan, PDRM, Zamihan mohon maaf

KUALA LUMPUR, 24 Jun: PAS menuntut kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Zamihan Mat Zin, meminta maaf kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan pengganas.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata pihak polis perlulah melengkapkan siasatan sebelum tuduhan sebegitu dijadikan bahan taklimat atau membuat sebarang pendakwaan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti mereka yang terbabit.

PAS, katanya tidak mahu imej polis terus tercemar kerana cara kerja yang tidak profesional.

“PAS mahu pihak Kerajaan BN dan Polis Diraja Malaysia memberikan penjelasan terhadap laporan Malaysiakini yang mengatakan Presiden PAS didakwa sebagai pengganas dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung Jamah Islamiah (JI) di Bukit Aman Isnin lalu. PAS memandang serius dakwaan ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Malaysiakini, Zamihan sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) mendakwa kononnya Tuan Guru Abdul Hadi bersama bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis sekarang, Dr Juanda Jaya dan mantan menteri besar, Datuk Seri Shahidan Kassim adalah pengganas dalam taklimatnya.

Justeru, PAS katanya amat mencurigai kredibiliti Zamihan yang mendakwa penglibatan Presiden PAS dalam gerakan Wahabi yang turut dikaitkan dengan Jamaah Islamiah yang dirangkumkan bagi membentuk persepsi bahawa beliau adalah pengganas.

“PAS melihat bahawa fitnah ini sengaja dicipta bagi memberikan imej buruk kepada beliau dan PAS. Perkara ini bukan kali pertama,” katanya lagi.

Menurutnya, pada tahun lepas Mossad memfitnah presiden PAS sebagai pengganas selepas Menteri Pertahanan Israel membuat rundingan sulit dengan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Pada tahun 2007, jelasnya Presiden PAS memenangi saman ke atas akhbar ternama Britain, Daily Mirror di mana akhbar itu telah bersetuju meminta maaf kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di Royal Court of Justice, ekoran penyiaran gambar dan berita berunsur fitnah yang mengaitkan beliau dengan pergerakan al-Qaeda.

Gambar Presiden PAS muncul di akhbar tersebut dengan tajuk “AL-QAEDA – Abdul Hadi” dan dinyatakan bahawa beliau adalah pemimpin nombor tiga al-Qaeda dan sedang ditahan di Guantanamo Bay.

PAS, tegas Idris tidak dapat menerima fitnah ketiga yang sengaja dicipta itu selepas kegagalan dua siri fitnah yang cuba menggugat PAS sebelum ini.

Katanya, PAS yakin sedikit sebanyak pengaruh nasihat APCO membawa kecenderungan kerajaan bagi mencipta krisis pengganas untuk dikaitkan dengan Presiden PAS dan parti itu.

Beliau menambah, PAS yakin fitnah itu juga sebagai serampang dua mata untuk menakutkan orang bukan Islam yang semakin jinak dengan parti itu.

Katanya, ketika sokongan orang bukan Islam telah yakin dengan wadah perjuangan PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS, maka musuh PAS cuba menggambarkan Presiden PAS sebagai pengganas.

“PAS yakin orang bukan Islam tidak akan terpedaya dengan fitnah ini. Mereka sudah lihat dengan mata kepala mereka sendiri pemimpin PAS bukan sebagaimana yang digambarkan sebagai seorang pengganas,” katanya lagi.

Katanya, Umno juga dilihat cuba mengajak Dr. Asri bersama dan tidak mustahil kewujudan tuduhan jahat itu akan dijadikan peluang oleh Umno untuk menggamit beliau bersama parti itu bagi mengelakkan ancaman ISA.

“Ini adalah tidak profesional dan memalukan,” ujarnya.

Harakahdaily

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR SEBAGAI PENGUNDI, SEGARAKAN JIKA BELUM

Dr Asri dan Dr Juanda dakwa “BN Bohong”

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Di tengah-tengah cerita bekas Mufti Perlis,  Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersama 100 ulama akan menyertai Umno Jumaat ini, beliau bersama rakannya, Dr Juanda Jaya yang kini Mufti Perlis menyifatkan BN bohong dalam mengaitkan mereka dengan kumpulan pengganas.

Dakwaan ini dibuat kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama yang diberikan tajuk “Mengapa Kerajaan BN Berbohong?” bagi mengulas langkah kerajaan BN yang cuba mengaitkan isu ancaman pengganas di negara ini dengan mereka berdua.

(Gambar: Empat yang didakwa ada kaitan dengan Wahabi oleh ILIM, Shahidan, Asri, Juanda dan Abdul Hadi)

Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya adalah Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Ahli Fatwa Kebangsaan, kini Visiting Fellow Oxford Universiti Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula adalah Bekas Mufti Perlis, Ahli Majlis Agama Islam Perlis dan kini Pensyarah Pengajian Islam USM.

Kedua-duanya mengulas laporan yang mengaitkan mereka berdua, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas MB Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan JIM dengan pengganas.

Kaitan itu dibuat dalam satu taklimat keselamatan negara anjuran Polis dan diberikan oleh Zamihan Mat Zain dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) yang diadakan di Bukit Aman 21 Jun lalu.

Sebelum ini, Presiden PAS juga menafikan dakwaan beliau terlibat dengan kegiatan yang didakwa itu.

Setiuasaha Agung Umno sebelum ini mendakwa, Dr Asri akan menyertai Umno Jumaat ini bersama dengan 100 ulama lagi.

Dr Asri dan Dr Juanda berkata, apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.

“Kerajaan Pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu,” kata kenyataan bersama itu.

Buktinya, kata mereka, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, yang dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri dan TNC-TNC seluruh negara.

Penceramah yang diundang oleh pihak polis Zamihan Mat Zain dari ILIM telah mendakwa dengan satu dakwaan yang sangat jahat iaitu Presidan PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Shahidan Kassim, mereka berdua berdua dan ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan Wahabi dan pengganas JI.

Pertubuhan JIM pula dikaitkan dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah.

“Dakwaan ini sangat jahat dan jelas sengaja diada-adakan” kata kenyataan bersama mereka berdua.

“Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan.

“Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamerkan Islam yang “tolerance” dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami,” katanya.

Justeru itu, kedua-dua berkata, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini.

“Bagi kami YB Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan. Beliau ialah bekas MB Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat. Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini,” kata kedua-duanya.

Mereka juga membela Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Bekas MB Perlis dan kini Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Naib Presiden PERKIM, Malaysia dan akvitis berbagai kebajikan rakyat. Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Nampaknya UMNO dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu,” kata mereka.

“Adapun JIM kami tidak mempunyai maklumat yang banyak mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu. Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai,” kata mereka lagi.

Sehubungan itu, mereka mendesak pihak polis memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini.

“Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini? Polis sepatutnya menyiasat beliau ini dan hubungannya dengan mentor yang selalu dirujuk kepadanya iaitu Hasan al-Saqqaf.

“Hasan al-Saqqaf yang terkenal suka menyesat dan mengkafirkan sesiapa yang berbeza pandangan dengannya itu, kini terbabit dengan isu keselamatan negara Jordan,” kata mereka berdua.

“Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan ini, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas,” katanya lagi.

Dengan ini, kata mereka, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

Bahkan ia berkemungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu.

“Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni,” tegas mereka berdua.

Di samping itu, mereka menyeru setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran. Dan juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit.

Harakahdaily

Ingat umNO/BN dalam keadaan kelemasan dan akan berpaut pada apa saja untuk survival kuasa mereka. Beringat dan bersedialah rakyat untuk menghadapinya. Apatah lagi dengan nasihat2 daripada APCO yang memang anti Islam.

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR SEBAGAI PENGUNDI. SEGERAKAN JIKA BELUM.

Trend terbaru kerajaan musnah bangunan warisan?

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Cadangan pemindahan dan pemusnahan bangunan yang dianggap warisan negara seperti Istana Negara, Parlimen dan terbaru perobohan Penjara Pudu dilihat sebagai trend terbaru kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional.

Di saat semuanya masih selesa dan berfungsi dengan sempurna, tindakan tersebut mengundang persoalan sama ada ianya satu keperluan, atau ada agenda lain.

“Saya melihat satu trend daripada kerajaan melenyapkan bangunan warisan di negara kita.

“Penjara Pudu contohnya, kenapa tidak dikekalkan sekurang-kurangnya pintu gerbang,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Ghazali ketika ditemui di parlimen hari ini.

Biarpun Penjara Pudu dianggap sejarah hitam, tetapi yang hitam juga, katanya perlu dikekalkan.

“Sama juga isu bangunan parlimen baru, apa nak dibuat dengan parlimen ini, kita selesa di sini, kenapa perlu di ubah,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar pula, trend tersebut mungkin berpunca daripada sikap pemimpin yang mahu mengejar keuntungan.

Dengan pembinaan baru, kos tender katanya sengaja diperbesarkan untuk mereka yang terlibat khususnya pemegang keputusan termasuk ahli politik.

 “Seperti yang dinyatakan Tengku Razaleigh baru-baru ini, tahap politik wang di negara ini terus meningkat, kos dan nilai tender sengaja dibesarkan dari kos sebenar untuk keuntungan pemimpin politik yang terlibat,” katanya.

Nazri Abdullah – Harakahdaily

SUDAH KAH ANDA BERDAFTAR SEBAGAI PENGUNDI….SEGERAKAN JIKA BELUM.

JI: PAS cabar kerajaan dedah bukti di Parlimen

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mengeluarkan kenyataan rasmi di Dewan Rakyat dalam masa terdekat berhubung kewujudan semula gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI) di beberapa universiti tempatan.

“Kami semua selaku Ahli Parlimen PAS kesal dan kami minta suatu kenyataan rasmi oleh menteri dibuat di Parlimen dalam kadar segera yang kononnya wujud JI ini yang melibatkan pelajar-pelajar IPTA kita,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mewakili Ahli Parlimen PAS pada sidang media di lobi Parlimen, pagi tadi.

Menurut beliau, dari maklum balas yang diberikan oleh universiti, KDN dalam suatu taklimat bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkaitan isu JI, pihak KDN gagal menjelaskan bukti-bukti wujudnya gerakan bawah tanah tersebut di beberapa universiti tempatan.

“Dalam satu taklimat tentang terorisme pada KPT, saya diberitahu bahawa tidak ada satu pun bukti yang kukuh tentang isu wujudnya JI ini, semuanya lebih untuk mewujudkan persepsi kononnya ada gerakan keganasan di negara kita,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa akan wujud tangkapan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas ahli politik pembangkang dan tokoh-tokoh agama.

“Mungkin akan ada tokoh-tokoh tertentu, tokoh politik atau tokoh-tokoh agama tertentu yang akan ditangkap disebabkan isu ini (JI) dan itulah yang menjadi kebimbangan kami semua,” ujar beliau.

Senada dengan beliau, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Hishammuddin turut dicabar mendedahkan di Dewan Rakyat berhubung aktiviti pihak pengganas sebenar yang mahu menyerang berhala Dewi Kuan Yin di Air Itam serta berhala Dewa Murugan di Batu Caves, sebagaimana yang beliau jelaskan kepada media massa sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa, tindakan Hishammuddin bersama-sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan itu semata-mata mencerminkan budaya politik menggila di kalangan orang-orang gila.

“Inilah yang saya panggil amalan politik menggila-gila oleh orang gila, kegilaan mereka semata-mata untuk menakut-nakutkan rakyat,” ujar beliau sebagai menjawab tohmahan Hishammuddin sebelum ini kononnya pembangkang adalah gila kerana menganggap tujuan kerajaan mendedahkan isu JI semata-mata suatu sandiwara untuk mengelirukan rakyat.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta kerajaan menyelesaikan dahulu kes demonstrasi mengarak kepala lembu di Shah Alam beberapa bulan lalu.

Menurut beliau, mereka yang terbabit dalam aktiviti keganasan itu rata-ratanya didalangi oleh pemuda Umno Shah Alam sendiri.

Bagi beliau, isu JI yang digembar-gemburkan kebelakangan ini sebenarnya bertujuan untuk mewujudkan kondisi Islamphobia serta budaya takut di kalangan rakyat.

Isu tersebut, menurut dakwaan beliau lagi, merupakan persiapan Umno BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Katanya lagi, langkah memetakan lanskap politik negara dengan menimbulkan isu JI dan anti-keganasan tersebut seakan sama dengan kondisi anti-Islam yang pernah dicetuskan di Amerika Syarikat pasca tragedi  perlanggaran WTC pada tahun 2001 lalu.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa di sebalik isu JI itusebenarnya didalangi oleh syarikat komunikasi penuh lantikan kerajaan, iaitu Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) yang nyata diketahui umum sebagai proksi pada Amerika Syarikat dan Zionis Israel.

Dari segi yang lain, beliau berkata, tindakan kerajaan mencipta isu JI akhirnya merugikan negara.

Ini kerana, katanya lagi, kenyataan tidak bertanggungjawab oleh Hishammuddin dan Musa sudah tentu menghalang minat para pelabur asing, khususnya dari Timur Tengah untuk datang melabur di tanah air ini.

“Mereka mungkin tak sedar yang isu ini (JI) sebenarnya mengakibatkan para pelabur dari Timur Tengah tak berminat untuk melabur di dalam negara kita kononnya ada pengganas dan sebagainya,” ujarnya.

Dzulfikar Mashoor  - Harakahdaily

SUDAH KAH ANDA BERDAFTAR SEBAGAI PENGUNDI….SEGERAKAN JIKA BELUM.

Rakyat waras tidak dapat terima mansuh biasiswa

KUALA LUMPUR, 16 Jun: “Tidak ada rakyat Malaysia yang waras yang dapat menerima keputusan kerajaan untuk menidakkan peluang pelajar cemerlang Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana kekurangan sumber dana,” kata Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) membantah keras keputusan kerajaan untuk memansuhkan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar cemerlang secara berperingkat-peringkat seperti yang diumumkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, keputusan itu bercanggah dengan falsafah dan semangat yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-10.

“Dapsy merasakan keputusan ini sangat tidak adil kepada generasi muda Malaysia kerana pengurusan kewangan yang boros dan tidak berhemah oleh Kerajaan Barisan Nasional menyebabkan generasi muda Malaysia terpaksa menangung akibat dan implikasinya,” katanya.

Beliau juga berkata, rakyat tidak dapat menerima keputusan kerajaan memansuhkan pemberian biasiswa itu sedangkan kerajaan mengumumkan cadangan untuk membina bangunan Parlimen yang baru bernilai RM800 juta dan kos pembinaan Istana Negara mencecah RM811 juta.

“Kerajaan mengatakan pemberian biasiswa ini tidak dapat diteruskan kerana pembiayaan kewangan yang tinggi dan kerajaan tidak mampu menanggungnya. Ini adalah satu asalan yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Tatkala apabila kerajaan mengumumkan cadangan untuk membina bangunan Parlimen yang baru bernilai RM800 juta dan kos pembinaan Istana Negara mencecah RM811 juta, tidak ada rakyat Malaysia yang waras yang dapat menerima keputusan kerajaan untuk menidakkan peluang pelajar cemerlang Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana kekurangan sumber dana,” katanya.

Katanya, Dapsy turut mempersoal keikhlasan kerajaan dalam ‘membentuk belia untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang dinamik dan berinspirasi’ seperti yang terkandung dalam RMK ke-10 yang dibentangkan.

“Apakah isi kandungan yang tertera dalam RMK10 yang dibentangkan sendiri oleh Perdana Menteri sekadar indah khabar dari rupa? Perdana Menteri semakin hari semakin dikenali sebagai ‘Perdana Menteri flip-flop’. Namun kita tidak menjangkakan bahawa beliau begitu cepat ‘flip-flop’ dalam dasar yang dibentangkan oleh beliau sendiri di Parlimen kurang dari semingu yang lepas,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Dapsy menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa pemilih khas Parlimen untuk mengkaji semula secara menyeluruh setiap aspek pelaksanaan dan sistem pemilihan penerima biasiswa JPA termasuk dua cadangan iaitu memberikan biasiswa kepada semua pelajar cemerlang SPM yang mendapat A dalam semua mata pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Selain itu, penajaan biasiswa ke luar negara mengikut pengkhususan bidang pengajian hanya ditetapkan selepas menilai keputusan akademik di peringkat pra-universiti.

Hazayani Zakaria – Harakahdaily

Mustapa ganti Najib rasmi Kelantan Fiesta 2010

KOTA BHARU, 16 Jun: Di sebalik pemulauan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada perasmian Kelantan Fiesta 2010 malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak hadir pada majlis itu.

Walaupun mengikut jadual asal, majlis itu akan dirasmikan oleh Najib, tetapi beliau digantikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Lebih mengecewakan penganjur bersama program itu, Red Carpet Worldwide, apabila hanya kira-kira 300 sahaja yang hadir dalam suasana hujan lebat yang turun mencurah-curah selepas Maghrib.

Bahkan, ada di kalangan pengunjung yang berpatah balik kerana tidak selesa berada pada majlis itu, ditambah pula bekalan elektrik turut terputus.

Ini menyebabkan sistem pembesar suara gagal berfungsi yang memaksa Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri berucap menggunakan loud hailer.

Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, kerajaan negeri akan memulau majlis perasmian itu yang sepatutnya disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Najib Tun Razak di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV.

Ini kerana, katanya pihak penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berucap.

Tambahnya, penganjur bersama majlis itu, Red Carpet Worldwide Sdn Bhd telah melanggar syarat-syarat perjanjiannya dengan kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau yang juga Adun Bunut Payong berkata, mengikut perjanjian asal, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra akan merasmikan fiesta itu dan Menteri Besar turut berucap, tetapi keputusan terbaru tidak membenarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berucap di samping tidak dirasmikan oleh Pemangku Raja.

Ekoran itu, jelasnya semua acara melibatkan kerajaan negeri seperti persembahan 1,001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar turut dibatalkan.

Sementara itu, Perdana Menteri yang membatalkan untuk merasmikan Kelantan Fiesta itu bergegas pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan pada 10.30 malam.

Ekoran itu, RTM turut membatalkan untuk mengadakan siaran langsung.

Namun, RTM dalam Berita Jam 8 masih lagi mewar-warkan keberangkatan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan untuk merasmikan program Kelantan Fiesta 2010 di samping menyatakan akan menyiarkan program itu secara langsung melalui TV1.

Tindakan terus menghebahkan keberangkatan Pemangku Raja sebagai strategi untuk menarik rakyat Kelantan ke majlis tersebut dan dilihat sebagai tindakan terdesak serta tidak menghormati institusi istana yang jelas melalui surat memaklumkan ‘atas sebab-sebab tertentu’ di mana Pemangku Raja membatalkan hasrat untuk merasmikan karnival itu.

Tindakan Umno negeri yang menaikkan banner dan bunting gambar Najib dan 1Malaysia sebenarnya suatu tindakan menderhaka walapun merasakan itu perancangan terbaik mereka, sebenarnya lebih memualkan rakyat Kelantan yang sememangnya tidak menyahut seruan 1Malaysia.

Yusri Amin – Harakahdaily

Kesombongan yang memakan diri sendiri sehingga lupa mereka adalah pembangkang di Negeri Kelantan.

Komen Husam Musa

UMNO DAHULUKAN UNTUK RAKYAT DENGAN ……..

·       Yuran pelajar di asrama naik daripada RM30 kepada RM90 sebulan (200% naik)

·       Peruntukan sekolah semakin berkurangan sehingga kipas hanya boleh dibuka selepas jam 9 pagi.

·       Guru hanya makan nasi bungkus ketika berkursus kerana tidak ada duit.

·       Menaikkan harga minyak petrol 30 sen menjadi RM2.05 seliter untuk RON 97.

·       Menjual minyak RON 95 yang kualiti rendah untuk rakyat dengan harga RM1.80. Maklum pada rakyat minyak hanya naik 5 sen. Sedangkan ini minyak jenis baru.  Satu  Malaysia kena tipu.

·       RM 52 Bilion (RM 52 ribu juta ) saham bumi putera lesap sehingga gagal mencapai  ekuiti 30%

·       Harga barang dapur seperti ikan, sayur makin mahal

·       Insyuran kenderaan 3rd party naik 200 peratus.

·       Harga air sentiasa naik

·       Tarif letrik akan naik

·       Menaikkan cukai pintu

·       Tambang bas naik 30%

·       Harga gula naik 20 sen sekilo bermula 1/1/2010

·       Harga beras naik melambung kerana kena import.

·       Mengurangkan peruntukan kepada MARA RM 374,537 juta sahaja bagi tahun 2010 berbanding RM883,785 juta pada 2009 (kurang RM 509,248 juta), 

·       Harga tol sentiasa naik

·       Melesapkan RM150,000 wang untuk memperbaiki SRKT Bukit Darah Sg Buluh Selangor.

·       Cukai GST menyebabkan semua rakyat miskin kena bayar cukai ketika membeli barang

·       Merampas royalti rakyat Kelantan dan Trengganu

·       Menghalau peneroka bandar di Denai Kempas Johor dan Kg Plentong Pasir Gudang walaupun mereka penyokong tegar umno

·       Menghalau macam anjing penduduk di Berembang Ampang Jaya walaupun mereka penyokong tegar umno

·       Gagal memberi peluang pekerjaan sehingga ramai rakyat menganggur.

·       Menurunkan elaun guru takmir Melaka RM10 sejam, sebelumnya RM40 sejam.

·       Kerajaan Terengganu merampas tanah rakyat ynag diberikan semasa pemerintahan Pas.

·       Merampas royalti Kelantan dan Terengganu

·       Mengambil tindakan kepada pegawai pertanian yang memberi kerjasama kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

PAS haramkan semua bentuk perjudian, Mahathir dan Umno jangan prejudis pada Cina

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan komentar Tun Mahathir Mohamad berhubung dengan isu judi yang dihalalkan oleh Kerajaan Umno-BN. Tuduhan beliau bahawa PAS hanya mengharamkan judi bola sahaja adalah suatu fitnah yang jelas dan isu judi bukanlah isu politik seperti apa yang beliau fikirkan. PAS menolak dan mengharamkan semua aktiviti judi dinegara ini dan bukan melibatkan perjudian bola sahaja.
PAS jauh berbeza dengan Umno. Umno telah perintah negara selama 12 penggal, namun belum ada usaha dilakukan bagi menghapuskan judi. Selepas PAS memerintah, Kelantan berjaya menutup premis-premis judi. Di Kedah usaha menghapuskan judi berjalan secara berperingkat, begitu juga dengan Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah Pakatan. Kita serius untuk menghapuskan judi dan mendidik rakyat ke arah kehidupan yang bebas dari maksiat. 
Rakyat juga tahu, bahawa lesen perniagaan judi diluluskan oleh Kerajaan Pesekutuan, bukan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri hanya meluluskan lesen premis dan iklan yang kebanyakannya diperolehi oleh tokey judi semasa zaman pemerintahan BN.
Mahathir sebenarnya dibayangi dosa-dosanya yang meluluskan judi dinegara ini semasa pemerintahannya dan rakyat akan terus mengingati beliau sebagai tokoh pemimpin yang memimpin negara dengan duit hasil judi. Beliau mungkin berfikir, Jika beliau tidak menyokong dasar Najib hari ini, pastinya orang-orang dalam Kerajaan akan mengutuk beliau kerana selama ini beliaulah orang nombor satu yang membantu membangunkan industri judi dalam negara ini.
PAS juga amat kesal kerana beliau masih bersikap prejudis kepada masyarakat Cina dinegara ini yang dalam pemikiran beliau dianggap sebagai kaum yang suka berjudi. Beliau hadir dan berucap dalam perhimpunan ‘Melayu Bangkit’ di Kuala Terengganu semalam dan mencipta prasangka buruk terhadap orang Cina. Perkara ini tidak wajar kerana masyarakat Cina juga bukanlah masyarakat yang suka berjudi, dan ucapan beliau ini adalah satu penghinaan. 
Tabiat judi ini adalah masalah yang dicipta dalam masyarakat bagi melalaikan mereka. Dan Kerajaan mengambil kesempatan dari golongan yang tidak berilmu ini dengan mengeluarkan lesen bagi mengaut untuk hasil perjudian.
Sewajarnya Kerajaan memberikan pendidikan kepada rakyat, memberikan maklumat dan berusaha memerangi gejala judi dalam masyarakat sama macam memerangi gejala dadah.
Bila judi diharamkan maka rakyat juga tidak akan berani berjudi. Aktiviti judi haram perlu dilihat sama seperti sindiket pengedaran dadah dan hukuman berat wajib diberikan kepada penganjur aktiviti judi. Rakyat perlu diberitahu akan keburukan judi ini dan mengajak mereka bersama-sama memerangi judi.
Kerajaan harus menjadi Kerajaan yang membantu membina rakyat dan masyarakat ke arah yang lebih positif dan proaktif, bukannya menjadi kerajaan yang meruntuhkan akhlak rakyat.Jika kerajaan BN dikekalkan, maka sampai bila pun masyarakat dinegara ini akan terus dipersendakan dengan dasar-dasar yang tidak progreasif dan hilang sifat holistiknya.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Judi : Rasuah Kebajikan RM 525 juta Oleh Vincent Tan Menghina Rakyat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap sumbangan duit hasil judi bernilai RM 525 juta yang diberikan oleh Tan Sri Vincent Tan  bagi tujuan kebajikan melalui Yayasan Better Malaysia Foundation adalah satu rasuah dan penghinaan kepada rakyat yang menentang kelulusan judi bola baru-baru ini.


Sumbangan ini diberikan dengan harapan rakyat menutup mulut mereka dari menentang kelulusan judi bola yang diberikan Kerajaan kepada syarikat beliau.

PAS melihat bahawa beliau cuba mempermain-mainkan tuntutan rakyat yang mahu lesen judi ditarik balik. Sumbangan beliau ini adalah datang dari sumber yang haram dan sesuatu yang haram tidak boleh digunakan untuk melakukan perkara kebaikan kerana ia diperolehi melalui penindasan kepada orang lain.

Kaki-kaki judi dinegara ini bertambah setiap tahun berikutan pertambahan pusat-pusat judi dan jenis lesen judi yang diluluskan Kerajaan. Masalah sosial, beban hutang, kemiskinan, keruntuhan keluarga dan masyarakat akibat gejala judi adalah antara sumbangan lain Vincent Tan kepada masyarakat yang tidak diceritakan oleh media.

PAS berharap agar Kerajaan serius menangani masalah masyarakat ini dan menarik balik kelulusan judi yang diberikan. 

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Hubungan kerjasama PAS dengan bukan Islam berbeza dengan Umno

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan kerjasama PAS dengan orang bukan Islam adalah berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Umno dengan parti komponen dalam Barisan Nasional.

Beliau sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada muktamar PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini berkata, kerjasama PAS dengan orang bukan Islam sehingga tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong Cina (DHPP) berkata, perkara itu adalah ajaran Islam.

“Penubuhan DHPP berdasarkan Islam dan konsep kerjasama PAS dengan bukan Islam, tidak sama dengan kerjasama Umno dengan rakan-rakan mereka.

“Kerjasama kita adalah tahaluf siyasi, tapi kerjasama Umno dengan parti lain sehingga menggadai prinsip,” katanya.

Menurutnya juga, Islam mengizinkan kita membenarkan penglibatan orang bukan Islam dalam politik,” katanya lagi.

Beliau berkata, penubuhan DHPP itu juga menandakan dua tongkat Umno iaitu sokongan orang Cina dan India sudah hilang, namun orang Melayu masih menyokong Umno.

“Sekarang Alhamdulillah dua tongkat yang menjadi pergantungan Umno sudah rapuh. Cuma orang Melayu masih menyokong Umno. Nak membela orang Melayu dengan ISlam, bukan dengan Melayu. Rasulullah membela orang Arab dengan Islam, bukan dengan Arab,” katanya.

Beliau turut melahirkan kegembiraan dengan sokongan yang ditunjukkan oleh semua perwakilan terhadap penubuhan DHPP.

Sedangkan ujarnya, suatu ketika dahulu PAS pernah dicemuh tidak dapat mentadbir negara kerana Malaysia mempunyai masyarakat majmuk.

Namun katanya, hari ini PAS berjaya membuktikan keupayaan PAS menarik sokongan bukan Islam.

“Semua perwakilan menyatakan sokongan kepada penubuhan DHPP dan dapat ulasan yang baik dari pemerhati luar termasuk media. Pada tahun 50-an dan 60-an dahulu, ramai yang kata PAS tak boleh perintah negara kerana Malaysia rakyatnya majmuk,” katanya.

Hazayani Zakaria - Harakahdaily

PAS yakin ke Putrajaya

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang optimis PAS dan Pakatan Rakyat mampu menawan Putrajaya suatu hari nanti.

Beliau sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan di muktama PAS kali ke-56, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini berkata, tidak mustahil suatu hari nanti Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara melihat kepada sokongan yang biberikan oleh rakyat termasuk orang bukan Islam terhadap PR.

“Ke Putrajaya InsyaAllah, kita membawa kemenangan. Orang kata kita bermimpi, tapi kta bermimpi yang soleh,” katanya disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Beliau juga berkata, sekiranya syariat Islam benar-benar diamalkan di negara ini, segala permasalahan sosial yang melanda negara dapat diselesaikan.

“Jika benar-benar kita mengamalkan syariat Allah, insyaAllah segala permasalan sosial dan moral dapat diseesaikan,” katanya.

Beliau berkata, PAS berada dalam bahtera yang selamat bersama rakan-rakan Pakatan yang lain.

“Yakinlah, kita sekarang ini berada dalam bahtera yang selamat. Teruslah besama Pakatan rakyat untuk ke Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji mutu perbahasan seluruh perwakilan yang disifatkan sebagai matang dan menepati isu.

“Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh perwakilan yang menyampaikan perbahasan yang mutunya semakin meningkat,” katanya.

Hazayani Zakaria  - Harakahdaily